Sifat kemanusiaan teras keharmonian rentas agama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sifat kemanusiaan teras keharmonian rentas agama

Feb 23, 2026 | 8:37 PM

Sifat kemanusiaan teras keharmonian rentas agama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pengerusi, keharmonian rentas agama, RRG, Masjid Khadijah, IRO
Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, berucap di majlis berbuka puasa tahunan anjuran badan tersebut yang berlangsung di Masjid Khadijah pada 23 Februari. - Foto BH oleh KHALID BABA

Konsep kemanusiaan bukanlah milik satu-satu kepercayaan sahaja, sebaliknya ia merupakan nilai sejagat yang bergema dalam ajaran pelbagai agama lain, kata Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali.

Berucap di majlis berbuka puasa tahunan anjuran badan tersebut yang berlangsung di Masjid Khadijah pada 23 Februari, Ustaz Dr Mohamed berkata semua agama pada terasnya menyeru kembali kepada sifat kemanusiaan.

“Konsep kemanusiaan ini turut bergema dalam ajaran agama-agama lain. Rakan-rakan Kristian kita bercakap tentang menyayangi jiran. Rakan-rakan Buddha kita bercakap tentang kasih sayang dan meringankan penderitaan.

“Rakan-rakan Hindu kita bercakap tentang dharma dan ahimsa. Rakan-rakan Sikh kita bercakap tentang seva, iaitu khidmat tanpa mementingkan diri sendiri,” ujar beliau.

Dharma mencakupi aspek kebajikan, tugas, kewajipan, hak, dan perilaku yang sesuai dengan aturan semesta, manakala ahimsa pula mencakupi pemikiran jahat, kebencian, kata-kata kasar, dan ketidakjujuran.

Menurut Ustaz Dr Mohamed, nilai-nilai ini bukanlah cita-cita yang bersaing, sebaliknya ia adalah aspirasi moral yang saling melengkapi dalam membina masyarakat yang harmoni.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh tetamu kehormat, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, serta para pemimpin agama dan masyarakat.

Bertemakan “Keharmonian Antara Agama: Kemanusiaan dalam Agama”, majlis itu turut dihadiri wakil daripada sembilan agama di bawah Pertubuhan Antara Agama (IRO).

Dalam ucapannya, Ustaz Dr Mohamed menjelaskan dalam konteks masyarakat majmuk di Singapura, nilai rahmah harus diterjemahkan ke dalam bentuk tanggungjawab sivik yang nyata.

Ini bermakna masyarakat perlu bercakap dengan penuh berhati-hati, membetulkan maklumat salah dalam masyarakat sendiri, serta mempunyai keberanian untuk menangani perbualan yang sukar secara tenang, hormat, dan membina.

Beliau menarik perhatian kepada sifat Nabi Muhammad saw yang dianggap sebagai “rahmat bagi seluruh alam”.

“Justeru, Islam menggambarkan rahmah sebagai sesuatu yang merangkumi semua dan tidak selektif. Ia merangkul bahkan (meliputi) mereka yang berbeza daripada kita,” tambah beliau.

Ustaz Dr Mohamed turut memetik ayat Al-Quran yang menyatakan: “Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

Oleh kerana semua manusia adalah keturunan Adam, beliau berkata penghormatan ini tidak terhad kepada bangsa, bahasa, atau kepercayaan tertentu, tetapi berakar pada asal-usul manusia yang dikongsi bersama.

Menyentuh tentang usaha RRG, beliau berkata badan tersebut terus memainkan peranan kritikal dalam membetulkan ideologi ekstremis yang memesongkan ajaran agama.

Ustaz Dr Mohamed menyatakan pembelajaran agama yang sahih adalah penawar kepada ekstremisme, namun perpaduan antara agama juga tidak kurang pentingnya.

“Apabila masyarakat daripada pelbagai kepercayaan berdiri bersama, golongan ekstremis kehilangan naratif perpecahan mereka,” tegasnya.

Mengulas mengenai suasana harmoni di Singapura, beliau menyifatkan majlis berbuka puasa itu sebagai manifestasi “penghargaan” dan bukannya sekadar “toleransi.”

Toleransi, menurut beliau, hanya bermaksud masyarakat “bertahan” antara satu sama lain, tetapi beliau berpendapat Singapura telah bergerak lebih jauh ke arah menghargai kehadiran satu sama lain.

“Hakikat bahawa kita — individu daripada pelbagai akidah, ritual, dan sejarah — boleh makan bersama bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

“Dalam dunia yang berpecah-belah, majlis ini adalah bukti kepada apa yang boleh dicapai,” kata beliau sambil merujuk kepada semangat perpaduan di majlis tersebut.

Majlis berbuka puasa itu turut diperkayakan dengan perkongsian daripada wakil agama lain yang menekankan peri pentingnya perpaduan dan kasih sayang sesama insan.

Reverend Gabriel Liew daripada wakil agama Kristian di IRO, menyeru masyarakat untuk menjadi “pembina jambatan” dan bukannya “pembina dinding”.

Beliau juga menekankan jiran bukan sekadar mereka yang tinggal berdekatan, tetapi merangkumi mereka yang berbeza kepercayaan.

“Pada zaman ini, kita tidak boleh berfikiran sempit dan mementingkan daerah sendiri. Kita tidak boleh berhimpit di kawasan perkampungan suci kita, terasing dan terpisah daripada masyarakat majmuk kita dan dunia sebenar,” kata Reverend Liew.

Wakil agama Buddha, Venerable Seck Kwang Phing, pula menekankan walaupun manusia mempunyai perbezaan budaya dan bahasa, semua orang berkongsi emosi yang sama seperti kegembiraan dan kesedihan.

Beliau menegaskan tiada sesiapa berhak mencederakan orang lain atas nama agama.

“Adalah penting untuk kita mengambil inisiatif untuk mengambil berat antara satu sama lain, menghormati perbezaan dan kepercayaan masing-masing, serta memupuk persefahaman bersama,” katanya.

Wakil agama Taois, Encik Terrence Lee, membincangkan tentang belas kasihan sebagai salah satu daripada Tiga Harta (Three Treasures) dalam ajaran Taoisme yang membawa kepada keberanian.

Encik Sengkuttuvan Kanniyappan, wakil agama Hindu, pula mengingatkan hadirin bahawa cabaran sejagat adalah cabaran buatan manusia dan pilihan untuk menyelesaikan keamanan terletak di tangan semua manusia.

“Kita semua diberi peluang untuk berperikemanusiaan kerana itulah satu-satunya kata laluan kita ke pintu gerbang keharmonian,” katanya.

“Konsep kemanusiaan ini turut bergema dalam ajaran agama-agama lain. Rakan-rakan Kristian kita bercakap tentang menyayangi jiran. Rakan-rakan Buddha kita bercakap tentang kasih sayang dan meringankan penderitaan. Rakan-rakan Hindu kita bercakap tentang dharma dan ahimsa. Rakan-rakan Sikh kita bercakap tentang seva, iaitu khidmat tanpa mementingkan diri sendiri.”
Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali.

“Pada zaman ini, kita tidak boleh berfikiran sempit dan mementingkan daerah sendiri. Kita tidak boleh berhimpit di kawasan perkampungan suci kita, terasing dan terpisah daripada masyarakat majmuk kita dan dunia sebenar. Kita bersyukur kepada Tuhan atas keharmonian agama yang kita usahakan dengan susah payah di Singapura.”
Reverend Gabriel Liew, wakil agama Kristian, Pertubuhan Antara Agama (IRO).

“Apabila kita melihat manusia hidup menderita, kita secara semula jadi terdorong untuk membantu meringankan kesukaran mereka. Belas kasihan mengalir dari pemahaman bahawa semua benda adalah satu dan saling berkaitan. Apabila kita menyedari bahawa kita mempunyai zat yang sama dengan semua benda, rasa identiti kita secara semula jadi mula berkembang untuk merangkumi semua makhluk.”
Encik Terrence Lee, wakil agama Taois, Pertubuhan Antara Agama (IRO).

“Kita semua menghargai nyawa kita sendiri, mengambil berat tentang keselamatan diri kita, dan mencari perlindungan untuk harta benda kita, keluarga kita. Inilah kemanusiaan. Oleh itu, kita tidak berhak untuk merampas hak orang lain untuk hidup atau menyebabkan sebarang bahaya kepada nyawa, keselamatan atau harta benda mereka dalam apa jua cara terutamanya atas nama agama.”
Venerable Seck Kwang Phing, wakil agama Buddha, Pertubuhan Antara Agama (IRO).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg