Radikalisasi dalam talian: Pakar saran pertingkat celik digital belia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Radikalisasi dalam talian: Pakar saran pertingkat celik digital belia

Jan 28, 2026 | 8:35 PM

Radikalisasi dalam talian: Pakar saran pertingkat celik digital belia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Remaja 14 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada November 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menggunakan platform permainan dalam talian seperti Roblox dan Gorebox menghasilkan semula senario serangan dan hukuman mati ISIS.
Remaja 14 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada November 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menggunakan platform permainan dalam talian seperti Roblox dan Gorebox menghasilkan semula senario serangan dan hukuman mati ISIS. - Foto ISD

Lebih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan kecelikan digital dalam kalangan belia memandangkan terdapat banyak kandungan bahaya yang didapati dalam talian yang boleh mempengaruhi minda orang muda dengan mudah.

Mengulas tentang kes terkini remaja 14 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada November 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Pegawai Penyelidik Kanan, Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak, Cik Afra Alatas, berkata laporan tersebut membimbangkan.

Ini kerana trend kebelakangan ini menunjukkan mereka yang menjadi radikal sendiri semakin muda, dengan anak muda dalam kes terkini itu mula terdedah kepada kandungan ekstremis pada usia 12 tahun.

“Ini membimbangkan kerana ia bererti belia yang kemahiran pemikiran kritikal atau kecerdasan emosi mereka belum terbentuk sepenuhnya sudah mempunyai akses kepada naratif ekstremis melalui aktiviti harian mereka, seperti penggunaan platform permainan dan media sosial,” katanya.

Cik Afra menambah bahawa kecelikan digital dan kesedaran terhadap bahaya dalam talian adalah sangat penting, dan pihak berkepentingan perlu bekerjasama untuk memastikan anak muda dapat dilindungi.

“Memandangkan belia yang terdedah mudah mengakses kandungan ekstremis, pengesanan awal dan kesedaran tentang literasi digital dan bahaya dalam talian adalah penting.

“Syarikat media sosial dan pihak berkuasa harus terus bekerjasama antara satu sama lain dalam menapis atau membuang kandungan bahaya dan memastikan algoritma tidak memberi pengguna muda bahan berbahaya sedemikian.

“Ini boleh dilakukan seiring dengan larangan media sosial berasaskan umur, kerana kedua-dua dasar ini tidak cukup kuat dengan sendirinya,” ulas Cik Afra.

Pengasas Membina Community & Impactivity Pte. Ltd, yang bekerjasama dengan belia, Encik Jihad Suhaimi, turut menyuarakan pandangan serupa.

“Penguatkuasaan penting, namun pencegahan perlu bermula lebih awal melalui literasi digital, bimbingan emosi dan hubungan kepercayaan dengan orang dewasa yang relevan,” katanya.

Zamil Kanan Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk di RSIS, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Ustaz Dr Mohamed Ali, yang juga Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), pula menganggap kes terkini itu patut mendorong orang dewasa untuk melihat dengan lebih mendalam perbuatan dalam talian golongan muda.

“Saya fikir (kes) ini adalah mesej yang kuat bagi pemerintah, guru dan ibu bapa untuk benar-benar mengkaji cara mengawal selia, mengurus dan memantau penggunaan media sosial oleh golongan muda kita,” katanya.

Sementara itu, Encik Jihad berpendapat isu radikalisasi belia merupakan isu kompleks.

“Kes ini menggambarkan realiti isu belia yang semakin kompleks, dengan radikalisasi sering bermula daripada kekeliruan identiti, emosi, serta ketiadaan ruang selamat untuk membincangkan isu semasa walaupun ia sensitif,” katanya.

Beliau berkata sekolah, keluarga dan masyarakat boleh memainkan peranan dengan menjadi “ruang dialog yang selamat” agar anak muda dapat bertanya, memahami konteks sebenar, dan dibimbing sebelum mereka dipengaruhi oleh ideologi ekstrem.

Ustaz Mohamed menyeru pendekatan yang lebih holistik melibatkan pemerintah, keluarga, sekolah dan masyarakat dalam menangani isu radikalisasi diri dalam kalangan belia hari ini.

Ibu bapa dan institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membantu menangani masalah radikalisasi belia, katanya.

Bukan sahaja mereka mempunyai tanggungjawab untuk memantau apa yang dilakukan anak muda dalam talian, mereka juga patut masuk campur apabila ada perkara yang tidak kena.

“Institusi keluarga berperanan memantau aktiviti dalam talian anak mereka. Kita sebagai ibu bapa jarang melihat apa yang dilayari anak kita di Internet, sebab kita bersangka baik.

“Tetapi saya rasa perlu untuk ibu bapa pantau supaya mereka tahu. Institusi keluarga adalah barisan pertama pertahanan terhadap radikalisasi,” ujar Ustaz Mohamed.

Cik Afra turut mengetengahkan kepentingan sokongan keluarga, masyarakat dan sekolah dalam hal ini.

“Inisiatif boleh dilaksanakan untuk memberitahu pelajar tentang literasi digital dan bahaya dalam talian. Ini boleh dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah, contohnya.

“Keluarga, sebagai orang yang paling rapat dengan anak muda, harus kerap menyemak aktiviti permainan dan media sosial anak dan lebih peka terhadap perubahan dalam tingkah laku psikologi atau sosial mereka. Dan jika perubahan sedemikian diperhatikan, ibu bapa, guru, atau organisasi masyarakat dan agama boleh campur tangan dengan cara yang lembut,” katanya.

Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata kes terkini melibatkan remaja lelaki itu menunjukkan radikalisasi merentasi semua peringkat usia.

“Ia merupakan satu trend membimbangkan apabila individu yang terpengaruh dengan fahaman radikal semakin muda. Ia juga menjadi peringatan bahawa radikalisasi merupakan satu fenomena berulang dalam masyarakat berbilang kaum kita, yang semakin dipengaruhi oleh media sosial,” katanya.

Dr Mustafa menambah bahawa bahaya permainan video yang semakin ganas dan canggih tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi kerana ia berupaya menyebabkan pemain mengakibatkan keburukan pada diri sendiri dan orang lain dalam kehidupan nyata.

“Langkah yang boleh dipertimbangkan ialah meneliti pendekatan negara lain dalam menangani bahaya permainan video dalam talian dan menyesuaikannya dengan konteks Singapura. Radikalisasi, termasuk daripada permainan video dalam talian, merupakan masalah global.

“Oleh itu, adalah adalah penting bagi pemerintah untuk menyesuaikan pendekatan dengan realiti yang berubah, termasuk risiko berpunca daripada permainan video, demi memastikan keselamatan masyarakat daripada sebarang kemudaratan,” tambahnya. – Laporan tambahan INSYIRAH MOHD SHUKOR

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg