Sim Ann: Kadar nahas libat kenderaan berat turun pada 2025
Sim Ann: Kadar nahas libat kenderaan berat turun pada 2025
Bilangan kemalangan berkaitan aksi memecut di jalan raya yang melibatkan kenderaan berat, termasuk yang membawa maut, telah berkurang sebanyak 28 peratus, daripada 25 kes pada 2024 kepada 18 kes pada 2025, dedah Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann.
Dengan lori terpaksa memasang alat pengehad kelajuan pada 2025, angka itu dijangka terus menurun, tambahnya semasa ucapan penutupnya di Parlimen pada 4 Februari berkenaan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan.
Rang undang-undang itu yang diluluskan di Parlimen selepas dua hari perbahasan menyaksikan 24 Anggota Parlimen (AP) berucap mengenai rang undang-undang tersebut yang antara lain akan mewajibkan semua lori dipasang dengan alat pengehad kelajuan menjelang Julai 2027.
Ini termasuk lori yang bakal dilupuskan, selagi ia terus menggunakan jalan raya Singapura selepas tarikh akhir pemasangan, kata Cik Ann sebagai menjawab pertanyaan Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol).
“Kita perlu menetapkan had di satu tempat, dan akan sentiasa ada lori yang bertujuan untuk dilupuskan selepas tarikh akhir.
“Oleh itu, kami telah memutuskan untuk mengekalkan pendekatan yang konsisten dengan tidak melanjutkan tarikh akhir bagi mana-mana kumpulan,” tambahnya.
Selain memasang alat pengehad kelajuan, Cik Ann berkata disiplin memandu mengikut lorong yang baik adalah penting kerana terdapat perbezaan kelajuan kenderaan.
Dalam hal ini, beliau berkata Polis Trafik akan terus mendidik pemandu tentang kepentingan mengekalkan disiplin lorong dan langkah penguatkuasaan terhadap pelanggaran.

