Topic followed successfully
Go to BHkuSimpanan seumur hidup lesap ditipu menerusi panggilan telefon
Simpanan seumur hidup lesap ditipu menerusi panggilan telefon
Wanita 29 tahun hilang wang $20,000 kepada ‘polis’ palsu selepas diugut akan ditahan
Simpanan seumur hidup lesap ditipu menerusi panggilan telefon
Seorang wanita memindahkan hampir $20,000 kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis selepas diugut akan ditahan.
‘Polis’ memberinya dua pilihan: serahkan simpanannya untuk siasatan atau ditahan dua bulan dalam penjara.
Cik Marilyn, bukan nama sebenar, panik. Ketika itu, warga Singapura berusia berusia 29 tahun itu tidak bekerja dan ada temu duga kerja pada minggu berikutnya pada Februari 2025.
Dalam keadaan terdesak, beliau, yang kini bekerja dalam sektor kewangan, memindahkan $19,500 ke akaun bank yang tidak dikenali.
“Kalau saya tiada temu duga kerja minggu itu, mungkin saya tidak akan ditipu,” kata Cik Marilyn, yang kini bekerja dalam sektor kewangan.
Pada pagi kejadian, beliau dikejutkan oleh satu panggilan telefon pada 8 pagi. Pemanggil, yang kedengaran seperti berasal dari Filipina, memperkenalkan dirinya sebagai pegawai bank DBS. Dia berkata ada transaksi mencurigakan pada akaun Cik Marilyn. Beliau sebenarnya tidak menggunakan akaun DBS itu dan telah mengosongkannya beberapa tahun lalu.
Beliau kemudian berkongsi maklumat peribadi, termasuk nombor kad pengenalan (NRIC), dengan ‘pegawai bank’ itu kerana ingin menutup akaun tidak aktif tersebut. Namun, panggilan tersebut kemudian dipindahkan kepada ‘polis’ untuk membuat laporan mengenai transaksi mencurigakan itu.
Beliau berkata: “Masih awal pagi. Saya mengantuk dan fikir kalau boleh buat laporan polis melalui telefon, kenapa tidak?”
Mengeksploitasi rasa takut
Yang berlaku selepas itu ialah perbualan dua jam melalui dua panggilan WhatsApp dengan individu yang menyamar sebagai polis dan bertutur seperti warga tempatan, menggunakan nama seperti Lee Kok Fai dan Foo Shi Hao.
Mereka mendakwa bahawa nama dan nombor NRIC Cik Marilyn dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram. Satu waran tangkap palsu yang memaparkan logo Pasukan Polis Singapura (SPF) turut dihantar kepadanya melalui WhatsApp.
Penipu itu memberitahu Cik Marilyn untuk mengelakkan ditahan, beliau perlu memohon “siasatan penilaian kewangan”, yang memerlukan beliau memindahkan wang ke dalam “akaun keselamatan” yang disediakan mereka bagi tujuan pemeriksaan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS). Beliau menurut arahan itu.
Cik Marilyn antara 3,363 mangsa penipuan penyamaran pegawai pemerintah pada 2025.
Walaupun jumlah keseluruhan kes penipuan dan nilai kerugian berkurangan pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, kes penipuan jenis ini menunjukkan peningkatan ketara. Statistik tahunan SPF menunjukkan jumlah kes meningkat lebih dua kali ganda daripada 1,504 kes pada 2024.
Mangsa penipuan jenis ini kehilangan $242.9 juta pada 2025 – kerugian kedua tertinggi antara semua jenis penipuan selepas penipuan pelaburan.
Penolong Pengarah Jabatan Operasi Pejabat Pendidikan Awam Antipenipuan, Superintenden Polis Rosie Ann McIntyre, berkata penipu menyasarkan kepercayaan mangsa terhadap pihak berkuasa.
“Mereka melemahkan keupayaan mangsa menilai keadaan secara rasional dengan menimbulkan rasa takut dan mendesak agar mangsa bertindak segera,” katanya.
Rasa cemas dan takut – bahawa maklumat peribadinya disalah guna – menyebabkan Cik Marilyn meneruskan perbualan dalam panggilan tersebut.
“Pada awalnya saya fikir ia satu penipuan, Tetapi mereka kedengaran begitu profesional; semakin lama saya berada dalam panggilan itu, semakin saya percaya,” katanya.
Walaupun pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan, penipu terus menyesuaikan taktik mereka. Mereka mengeksploitasi kelemahan mangsa serta infrastruktur tempatan seperti talian telefon, akaun bank dan syarikat palsu melalui akaun tempatan untuk menipu.
Dalam kes Cik Marilyn, penipu meminta tangkap layar akaun banknya dan mengarahkannya memindahkan jumlah yang lebih rendah daripada transaksi tertinggi yang pernah dilakukannya sebelum ini. Polis percaya ini bertujuan mengelakkan pengesanan segera.
Mereka juga menyuruhnya menamakan akaun penerima menggunakan namanya sendiri bagi mewujudkan rasa yakin wang itu boleh dipulangkan.
Hanya setelah Cik Marilyn memaklumkan perkara itu kepada adik perempuannya, barulah beliau menyedari dirinya telah ditipu. Beliau kemudian membuat laporan polis, namun wang tersebut tidak dapat diselamatkan.
Kini, Cik Marilyn hanya menyimpan jumlah minimum dalam akaun banknya dan mengunci sebahagian besar simpanan dalam produk pelaburan bagi mengelakkan pengeluaran segera. Beliau juga akan merujuk kepada adiknya sebelum membuat transaksi melebihi $1,000.
“Dia (adiknya) seperti pengesahan dua faktor dalam kehidupan sebenar saya,” kata beliau.

