Tertipu oleh janji kosong pulangan tinggi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tertipu oleh janji kosong pulangan tinggi

Feb 3, 2026 | 9:46 PM

Tertipu oleh janji kosong pulangan tinggi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Skim penipuan pelaburan membentuk jumlah kerugian tertinggi – kira-kira $145.4 juta, daripada jumlah keseluruhan kerugian penipuan pada separuh pertama 2025.
Skim penipuan pelaburan membentuk jumlah kerugian tertinggi – kira-kira $145.4 juta, daripada jumlah keseluruhan kerugian penipuan pada separuh pertama 2025. - Foto ISTOCKPHOTO

Ia kelihatan seperti satu peluang yang sukar didapati untuk menjana pendapatan tinggi.

Seorang menteri Singapura dipaparkan bercakap di hadapan kamera, kononnya menyokong satu skim pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan tinggi.

Justeru, Encik Victor, 75 tahun, menyangka skim itu mempunyai pengesahan kredibiliti. Beliau mahu menambah dana persaraannya.

Namun, video tersebut sebenarnya adalah satu rekaan palsu daripada platform deepfake.

Pada Januari 2025, pesara itu disertakan dalam sebuah kumpulan sembang WhatsApp oleh nombor yang tidak dikenalinya.

Dalam kumpulan itu, ahli-ahlinya berbincang tentang skim pelaburan mata wang kripto yang kelihatan menguntungkan. Video palsu itu dikongsi oleh salah seorang ahli kumpulan itu.

Encik Victor, yang enggan mendedahkan nama penuhnya, berkata beliau mempercayai maklumat itu selepas melihat seorang “menteri” mempromosikan skim tersebut.

Pelabur baru itu kemudian mengklik pautan yang disertakan bersama video tersebut, mengisi butiran peribadi dan membayar bayaran pendaftaran $250 melalui pemindahan bank.

Beberapa jam kemudian, Encik Victor menerima panggilan daripada seorang yang mendakwa menjadi wakil Coinbase, yang daripada penyelidikannya sendiri beliau dapati adalah sebuah bursa kripto sah berpangkalan di Amerika Syarikat.

Bercakap dalam bahasa Inggeris, pemanggil itu menerangkan faedah berdagang melalui Coinbase dan berkata seorang rakan sekerjanya akan menghubungi Encik Victor untuk membimbing beliau mengenai proses tersebut.

Lima hari kemudian, “rakan sekerja” itu menghubungi Encik Victor melalui panggilan video dan memintanya berkongsi skrin telefon pintarnya.

Beliau mengarahkan Encik Victor log masuk ke akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan akaun banknya, serta mengeluarkan $4,400 daripada Akaun Biasa CPF-nya ke akaun bank untuk membiayai pelaburan tersebut.

Pengeluaran wang itu berjaya dilakukan selepas had pengeluaran harian akaun CPF Encik Victor dinaikkan, yang tertakluk pada tempoh bertenang selama 12 jam.

Seminggu kemudian, Encik Victor menerima satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) amaran daripada banknya: $3,999 telah dikeluarkan daripada akaun simpanannya. Transaksi itu tidak dibenarkan olehnya.

Tidak lama selepas itu, pemanggil tersebut membuat satu lagi panggilan video dan menghantar lebih banyak pautan. Kali ini, beliau berasa curiga.

Encik Victor enggan meneruskan transaksi dan mula menyoal lelaki itu. Pemanggil tersebut, yang kelihatan seperti warga tempatan berusia sekitar 30-an, tiba-tiba memutuskan panggilan, sambil berkata beliau akan menghubungi semula dalam masa tiga hari mengenai perkembangan terkini “hasil perdagangan”.

Mengesyaki ia satu penipuan, Encik Victor menghubungi bank untuk menyekat akaunnya. Beliau juga membuat laporan polis. Siasatan masih dijalankan.

Encik Victor kerugian $4,249, namun beliau lega kerana menyedari ia adalah satu penipuan lebih awal dan berjaya mengelakkan kerugian lebih besar.

“Seluruh simpanan saya boleh hilang,” katanya.

Skim penipuan berasas kripto

Encik Victor salah seorang daripada 2,698 mangsa penipuan pelaburan pada separuh pertama 2025.

Jenis penipuan ini mencatatkan jumlah kerugian tertinggi, iaitu kira-kira $145.4 juta, walaupun jumlah kes berkurangan 19.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Penolong Pengarah Jabatan Operasi Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, Superintenden Polis Rosie Ann McIntyre, menyatakan kerugian bagi setiap kes penipuan pelaburan telah meningkat.

Menurutnya, mangsa sering terpedaya oleh testimoni palsu yang dipaparkan dalam iklan penipuan pelaburan dan kumpulan sembang, seperti kumpulan yang disertai Encik Victor.

“Pada peringkat awal, mangsa menerima sedikit pulangan pelaburan,” kata Superintenden McIntyre.

“Ini meyakinkan mereka bahawa pelaburan itu sah, lalu mereka terus memasukkan lebih banyak wang,” ujarnya.

Dalam sesetengah kes, penipu mengambil masa hampir sebulan untuk membina kepercayaan sebelum memperkenalkan peluang pelaburan.

“Bagi mengekalkan hubungan itu, mangsa mungkin didesak supaya melabur jumlah yang semakin besar,” katanya.

Tanda penipuan

Menurut jurucakap Penguasa Kewangan Singapura (MAS), berikut adalah beberapa tanda amaran biasa penipuan pelaburan yang perlu diperhatikan oleh pengguna:

Pulangan tinggi dengan risiko rendah atau tiada risiko

Berhati-hati mengenai peluang dan skim pelaburan yang mendakwa modal dijamin atau dilindungi sambil menawarkan pulangan tinggi.

Taktik mendesak

Penipu sering menggunakan tawaran masa terhad, hadiah atau rebat untuk memaksa mangsa bertindak dengan segera.

Rekod prestasi palsu

Penipu sering mendakwa mempunyai pengalaman bertahun-tahun, mempunyai pelbagai pengiktirafan dan rekod prestasi kukuh. Ada juga yang menggunakan testimoni daripada kononnya “pelanggan yang berpuas hati” untuk membina kepercayaan. Pelabur harus mengesahkan dakwaan tersebut dengan pihak ketiga yang bebas, jika boleh.

Bagi maklumat tentang cara melindungi diri daripada penipuan, layari scamshield.gov.sg dan go.gov.sg/sureornot.

Superintenden McIntyre turut menarik perhatian mengenai peningkatan dalam transaksi penipuan berkaitan mata wang kripto.

Beliau mengatakan penipu mengeksploitasi persepsi mata wang kripto sebagai pelaburan berisiko tinggi dengan pulangan tinggi untuk mendesak mangsa agar “merebut peluang keemasan ini” dengan melabur jumlah lebih besar bagi “mengembangkan pelaburan” dengan lebih cepat.

Laporan polis menunjukkan kerugian berkaitan mata wang kripto membentuk 17.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian penipuan pada separuh pertama 2025, iaitu kira-kira $81.6 juta.

Sifat mata wang kripto yang berpencar-pencar (decentralised atau tidak terpusat di sesuatu tempat) dan tanpa nama menjadikan siasatan serta usaha mendapatkan semula dana amat mencabar, kerana sukar menjejaki aliran wang dan mengenal pasti penerima tersebut, kata Superintenden McIntyre.

Transaksi mata wang kripto juga pantas dan tidak boleh dikembalikan, membolehkan penipu memindahkan hasil jenayah merentasi sempadan dengan cepat tanpa melalui perantara perbankan tradisional.

Setahun setelah kejadian itu, Encik Victor terus berhati-hati apabila melihat pautan peluang pelaburan yang kelihatan “lumayan”.

“Jika ia terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, saya akan abaikannya sahaja,” kata beliau.

Lindungi diri anda dan kongsi panduan antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan.
Lindungi diri anda dan kongsi panduan antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg