Kempen dana amal Sinaran Hati 2026 Tabung Amal Aidilfitri (TAA) menyasarkan kutipan sebanyak $350,000 bagi membantu lebih 3,500 keluarga berpendapatan rendah di Singapura.

Usaha itu akan dilancarkan pada 22 Ogos sempena Celebfest 2026 di Dewan 403 dan 404 Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 21 hingga 23 Ogos, menurut Pengurus Besar TAA, Cik Huda Aljunied.

Sinaran Hati diperkenal pada 2006 sebagai usaha bersepadu tahunan bagi mengumpul dana secara lebih berkesan dan menjadi sokongan kepada kempen dana amal TAA pada Ramadan.

“Tujuannya bukan sekadar mengumpul dana, malah memastikan TAA sentiasa berada di hati dan minda para dermawan serta golongan prihatin di Singapura, dan bukan pada Ramadan sahaja,” ujar Cik Huda. 

TAA, yang ditubuhkan hampir 35 tahun lalu, juga berusaha memupuk amalan bersedekah dan semangat kebersamaan dalam masyarakat terhadap golongan memerlukan.

Cik Huda memberitahu Berita Harian Celebfest dipilih sebagai platform pelancaran Sinaran Hati 2026 kerana acara itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya keluarga dan golongan muda.

“Ramai penderma TAA membesar dengan mengenali program dan kempen kami sejak TAA ditubuhkan pada 1992. Namun, masih ramai anggota generasi muda belum mengenali TAA. Celebfest memberi peluang kepada kami untuk mendekati mereka dalam suasana lebih mesra dan santai,” kata beliau. 

Menurut Cik Huda, penerima bantuan TAA terdiri daripada lebih 3,500 keluarga berpendapatan rendah. Sebanyak 78 peratus daripada mereka tinggal di rumah sewa satu dan dua bilik HDB, manakala 85 peratus mempunyai pendapatan per kapita di bawah $600 sebulan.

Lebih 40 peratus pula merupakan golongan berkerusi roda, kurang upaya atau terlantar di katil yang berdepan pelbagai penyakit kronik, termasuk angin ahmar, kencing manis dan barah.

Bagi mendekati generasi muda, TAA turut memanfaatkan media sosial. Pelancaran Sinaran Hati 2026 pada 22 Ogos akan disiarkan secara langsung menerusi YouTube TAA, @taatrustfundSG, dari tengah hari hingga 2 petang.

Siaran itu akan dihoskan Sahabat TAA dan DJ Radio Warna942FM, A. B. Shaik Banafe, dengan persembahan oleh Duta Muzik TAA, Art Fazil.

Cik Huda berkata cabaran utama TAA ialah memastikan kesinambungan bantuan dalam keadaan kos sara hidup terus meningkat. Keadaan ini turut menjejas keupayaan sebahagian penderma untuk terus menyumbang, sedangkan keperluan keluarga yang memerlukan sokongan semakin mendesak. 

“Setiap sumbangan, tidak kira jumlahnya, jika diberi dengan keikhlasan akan membawa berkat dan kesan bermakna, bukan kepada penerima bantuan TAA sahaja, malah diri yang menghulurkan derma,” katanya.

Beliau berharap Sinaran Hati dapat dikenali generasi muda sebagai gerakan kebajikan dinamik, berkesan dan relevan dengan peredaran zaman.

“Tanpa sokongan ikhlas daripada orang ramai, TAA tidak mampu terus bertahan menjalankan tanggungjawab kami membantu penerima bantuan ini,” tambah Cik Huda. 

CARA MENYOKONG TAA:

1. Layari portal rasmi www.TAA.sg untuk menghulurkan sumbangan anda.

2. Derma sebanyak $50 dan ke atas layak mendapat potongan cukai Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) sebanyak 250 peratus.

3. Penderma boleh memilih menderma melalui PayNow dengan UEN T06CC1974E, perbankan Internet, cek atau kad kredit. 

4. Ikuti TAA dalam membantu insan memerlukan di Instagram: taatrustfund; Facebook: TAA Trust Fund; atau Youtube: TAA Trust Fund.