Lebih $2,000 telah dikumpulkan melalui perlawanan bola sepak amal bagi menyokong program bantuan untuk individu dan keluarga memerlukan di Singapura yang dijalankan oleh Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

Dalam satu kenyataan TAA pada 29 Jun, hasil yang terkumpul itu akan disalurkan kepada bantuan kewangan, barangan keperluan dan makanan asas bagi golongan sedemikian.

Perlawanan yang diadakan di The Arena@Woodleigh pada 28 Jun itu menyaksikan pertembungan antara pasukan Team Studs Up – yang diwakili pempengaruh tempatan – dengan barisan pelakon Melayu tanah air daripada Kelab Sukan Dramatis Singapura.

Perlawanan itu menyaksikan Team Studs Up menang 4-3 ke atas Kelab Sukan Dramatis Singapura.

Acara itu disokong syarikat tempatan yang mengedarkan jenama minuman pelbagai perisa Hausboom, HSG Global.

Menurut badan amal itu lagi, usaha sedemikian mencerminkan bagaimana sukan dapat “mengubah usaha daripada masyarakat kepada hasil yang ketara”.

Apabila kumpulan atau individu daripada segenap lapisan masyarakat bersatu ke arah satu matlamat, kesannya menjangkau permainan bola sepak itu sendiri dan terus memberi manfaat kepada golongan yang betul-betul memerlukannya.

Pengurus Besar TAA, Cik Huda Aljunied, berkata: “Perlawanan amal ini lebih daripada sekadar permainan bola sepak, sebab ia adalah peringatan bahawa tindakan kolektif boleh mewujudkan kesan yang nyata dan berkekalan.

“Apabila individu, pertubuhan dan masyarakat bersatu, kita bukan sahaja menangani keperluan paling mendesak, tetapi juga memperkukuhkan harapan dan daya tahan bagi mereka yang paling memerlukannya.”

Sentimen ini turut dikongsi oleh pengurus pasukan bagi barisan pelakon, Encik Azhar Noor Lesta.

Pelakon veteran itu berkata bola sepak bukan sekadar kegiatan sukan, tetapi wadah yang dapat menyatukan masyarakat serta menyemai sifat ihsan dan semangat bantu-membantu.

“Kami berharap jumlah yang terkumpul akan memberi manfaat kepada penerima dan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk terus menyokong usaha amal pada masa hadapan,” ujarnya.

Hal sedemikian juga ditekankan oleh Pengarah Urusan HSG Global, Encik Abdul Latip Isnin, bersama pengasas Studs Up SG, Encik Ahmad Romzi Zailee, Encik Zulkarnaen Mohamed dan Encik Muhammad Faris Mashwari.

Mereka berkata lebih daripada sekadar menyemai semangat setiakawan dan kesukanan, acara sedemikian dapat menyatukan individu demi matlamat yang murni.