Rampasan dadah sintetik yang mencatatkan angka rekod di Asia Timur dan Asia Tenggara telah mencetuskan kebimbangan, susulan laporan peningkatan pengeluaran dadah di Myanmar, di tengah-tengah ketidakstabilan negara akibat perang saudara.
Terdapat kebimbangan bahawa sindiket jenayah terancang di sana sedang mengurangkan harga methamphetamine, pil Ecstasy, ketamin dan yaba (sebuah campuran methamphetamine dan kafein), untuk memperluas pasaran produk haram di rantau ini.
Wilayah Shan di Myanmar dikenali sebagai sumber utama dadah sintetik di rantau ini, manakala Thailand menjadi laluan penghubung utama bagi dadah haram dari kawasan ‘Segitiga Emas’ (Golden Triangle), yang menghubungkan utara Thailand, Laos dan Myanmar.
Laporan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) 2024 melaporkan bahawa pihak berkuasa Thailand telah merampas sejumlah 648.9 juta tablet yaba dan 26.4 tan methamphetamine kristal, yang lebih dikenali sebagai Ice, pada 2023, satu peningkatan besar berbanding 395 juta tablet yaba dan 17.6 tan Ice pada 2019.
Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) memberitahu The Straits Times (ST) bahawa keadaan di negara itu kini lebih teruk berbanding 2019, di mana Asia Tenggara merupakan pasaran methamphetamine terbesar dan paling berkembang pesat di dunia, dengan rampasan meningkat lebih lapan kali ganda antara 2007 dengan 2017.
Menurut ONCB, sepanjang 2024 hingga September sahaja, pihak berkuasa Thailand telah merampas 488 juta tablet yaba dan hampir 10 tan Ice di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.
Mengulas tentang penyeludupan dadah di rantau ini, ONCB berkata:
“(Penyeludupan) Ice semakin berleluasa sejak tiga tahun kebelakangan ini... Kami lihat terdapat penyeludupan ke selatan Thailand untuk diedarkan ke negara ketiga.”
Ia menambah bahawa sindiket jenayah terancang telah memanfaatkan perang saudara di Myanmar untuk meningkatkan jumlah pengeluaran, dengan “potensi untuk menghasilkan dadah dalam jumlah yang tidak terhad”.
Menurut laporan UNODC, rampasan methamphetamine dalam pelbagai bentuk di Asia Timur dan Asia Tenggara meningkat daripada sekitar 140 tan pada 2019 kepada 190 tan pada 2023 – jumlah tertinggi yang pernah direkodkan di rantau ini.
Laporan itu menambah bahawa kumpulan jenayah terancang sedang menurunkan kos pengeluaran dan meningkatkan pengeluarannya dengan menggunakan bahan kimia yang tidak dikawal.
Kumpulan jenayah ini juga menghasilkan dadah sintetik dengan tahap ketulenan yang lebih tinggi, menjadikannya lebih berbahaya.
“Dengan peningkatan pengeluaran, penghantaran melibatkan lebih satu tan dadah kini menjadi lebih kerap, menyebabkan penurunan harga seiring dengan peningkatan ketersediaan dan kemudahan untuk membeli,” kata UNODC.
Laporan UNODC menunjukkan bahawa harga borong methamphetamine untuk negara seperti Kemboja, Thailand dan Malaysia, jatuh daripada antara AS$10,000 (sekitar $13,400) dengan AS$12,000 setiap kilogram (kg) pada 2019, kepada harga terendah antara AS$4,000 dengan AS$7,000 pada 2023.
Mengulas trend dadah yang membimbangkan di rantau ini, jurucakap Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) berkata:
“Memandangkan Singapura mudah terdedah kepada ancaman penyeludupan dadah kerana sifatnya yang transnasional (menghubungkan banyak negara), Singapura terus memainkan peranan dengan memperuntukkan sumber untuk usaha seperti perkongsian maklumat serantau.”
CNB turut aktif dalam usaha antarabangsa dan serantau, seperti menjadi sebahagian daripada pasukan bertindak Penyekatan Lapangan Terbang dan Pelabuhan Asean, yang menyediakan saluran bagi agensi-agensi penguatkuasa untuk bekerjasama dan menghentikan penyeludupan dadah di rantau ini.
Menurut CNB, berbanding negara lain, situasi dadah di Singapura sedang diurus dengan baik dan penguatkuasaannya kekal teguh.
Laporan CNB pada awal 2024 menunjukkan jumlah Ice yang dirampas turun sebanyak 13.4 peratus pada 2023, manakala yaba turun sebanyak 91.5 peratus.
Mereka yang ditangkap kerana menggunakan methamphetamine, ketamin, dan pil Ecstasy boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda maksimum $20,000.
Individu yang terlibat dalam penyeludupan lebih daripada 250 gram methamphetamine boleh dikenakan hukuman mati, manakala mereka yang disabit menyeludup ketamin atau pil Ecstasy boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan 15 kali sebatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg