Singapore Flyer menggantung operasinya selepas masalah teknikal dikesan semasa pemeriksaan penyelenggaraan rutin.
Operasi dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga, kata jurucakap Singapore Flyer pada 10 September, tanpa menyatakan jenis masalah teknikal yang berlaku.
Namun, kedai-kedai dan restoran di Singapore Flyer tetap beroperasi seperti biasa, lapor The Straits Times (ST).
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk melakukan pemeriksaan, pembaikan, dan kerja-kerja pembetulan yang diperlukan,” kata jurucakap itu.
“Kami memohon maaf kepada tetamu dan rakan perniagaan kami atas sebarang kesulitan yang timbul.”
Pengunjung yang mempunyai tempahan boleh menghubungi customer_service@singaporeflyer.com atau menelefon 6333-3311.
Maklumat terkini akan dimuat naik di laman web dan wadah media sosial Singapore Flyer.
Dilancarkan pada 2008, Singapore Flyer yang setinggi 165 meter dan mempunyai diameter 150 meter pernah mengalami kerosakan sebelum ini.
Pada Januari 2022, masalah teknikal menyebabkan ia ditutup selama hampir tiga bulan dan hanya dibuka semula pada 15 April tahun yang sama.
Operasi turut dihentikan selama empat bulan selepas masalah kabel jejari roda ditemui pada November 2019, yang mengakibatkan semua 39 pelanggan di dalamnya terpaksa dipindahkan.
Pada 2018, masalah teknikal juga menyebabkan Singapore Flyer ditutup selama dua bulan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg