Singapore Oceanarium akan memperkukuh sektor pelancongan negara sambil menyumbang kepada matlamat alam sekitar Singapura, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Daya tarikan yang sebelum ini dikenali sebagai S.E.A. Aquarium dan kini telah diperbaharui itu, merupakan sebahagian daripada resort bersepadu Resorts World Sentosa (RWS).
Ia turut mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi pelancongan utama, kata Cik Fu semasa majlis pelancaran Singapore Oceanarium pada 23 Julai, selepas kerja pengubahsuaian secara meluas dijalankan.
“Sebagai satu pencapaian penting dalam projek peluasan RWS, oseanarium ini akan mengukuhkan daya tarikan kita kepada pelawat tempatan dan antarabangsa menerusi pengalaman baru yang lebih menyeluruh.
“Pada masa yang sama, tumpuannya terhadap pendidikan marin, penyelidikan dan pemuliharaan, menyokong matlamat kemampanan Singapura yang lebih luas,” tambah Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.
Ketika ia mula dibuka pada 2012, daya tarikan itu merupakan oseanarium dan akuarium awam terbesar di dunia, lapor The Straits Times (ST).
Selepas ditutup untuk kerja pengubahsuaian pada 30 April, ia kini dibuka semula dengan keluasan tiga kali ganda lebih besar berbanding sebelum ini.
Ia menempatkan ribuan haiwan marin di 22 zon pameran, termasuk ubur-ubur laut, kuda laut bertompok serta pelbagai spesies jerung.
Ia turut menerima pentauliahan daripada Persatuan Zoo dan Akuarium, bahkan merupakan anggota Persatuan Zoo dan Akuarium Dunia serta Persatuan Zoo dan Akuarium Asia Tenggara, iaitu badan yang berperanan memperkukuh usaha pemuliharaan dan pengurusan taman haiwan dan akuarium.
Operasi oseanarium tersebut turut disokong oleh sebuah pusat penyelidikan dan pembelajaran yang terletak bersebelahannya, menerusi makmal pembelajaran meresap, ruang kerjasama dan bilik seminar.
Pusat itu, yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga suria, menyokong usaha penyelidikan saintis marin dan memacu projek melibatkan masyarakat berkaitan sains marin.
Oseanarium itu turut menjalin kerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam satu projek penyelidikan gunaan selama lima tahun, serta dengan Balai Cerap Bumi Singapura (EOS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam bidang daya tahan iklim dan pemuliharaan marin.
“Singapore Oceanarium serta pusat penyelidikan dan pembelajaran baru kami menegaskan aspirasi kami untuk menjadikan Singapura sebagai hab utama di Asia dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi marin, perlindungan ekosistem dan pemulihan,” kata Pengerusi Eksekutif Genting Singapore, syarikat induk RWS, Encik Lim Kok Thay.
“Ia merupakan kesinambungan usaha asas lebih sedekad di bawah S.E.A Aquarium, sekali gus memperkukuh komitmen kami yang berterusan terhadap pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan,” tambah Encik Lim.
Dalam satu kenyataan media, RWS memaklumkan bahawa pelancaran Singapore Oceanarium merupakan sebahagian daripada pelan peluasan bernilai $6.8 bilion, yang akan “memperkukuh kedudukan Singapura sebagai destinasi wajib dilawati”.
Usaha peluasan itu turut merangkumi pelancaran tarikan Minion Land di Universal Studios Singapore (USS) pada Februari, serta pembukaan pusat beli-belah mampan tiga tingkat, Weave, pada awal Julai.
Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Cik Melissa Ow, menggambarkan oseanarium itu sebagai satu “pencapaian penting” dalam peta hala tuju Pelancongan Singapura 2040, yang bertujuan untuk meningkatkan permintaan pelancongan masa depan dan memperkukuh daya tarikan negara ini sebagai satu destinasi pelancongan.
“Daya tarikan bertaraf dunia RWS ini mencerminkan iltizam kami untuk mencipta pengalaman yang pelbagai dan unik, sesuai dengan pelancong yang mencari perjalanan yang memberi inspirasi dan bermakna,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg