Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singapura alami antara cuaca paling panas pada 2024

Khidmat Kaji Cuaca Singapura berkata S’pura juga terima lebih banyak hujan pada 2024
Jan 10, 2025 | 4:42 PM
2024 merupakan tahun keempat berturut-turut suhu purata Singapura selama sedekad mencapai paras tertinggi baru.
2024 merupakan tahun keempat berturut-turut suhu purata Singapura selama sedekad mencapai paras tertinggi baru. - Foto ST

Penduduk Singapura mengalami salah satu tahun paling panas sejak tahun-tahun kebelakangan ini pada 2024, apabila suhu mencecah purata tahunan 28.4 darjah Celsius, kata pakar cuaca.

Ia terikat dengan 2019 dan 2016 sebagai tahun-tahun paling panas di Singapura yang pernah direkodkan, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam satu kenyataan pada 10 Januari.

Namun, pada masa yang sama, Singapura juga menerima lebih banyak hujan, dengan jumlah hujan tahunan mencecah purata 2,739.8mm – iaitu 8.1 peratus lebih tinggi berbanding purata jangka panjang 2,534.3mm, dan ke-12 tertinggi sejak 1980, menurut The Straits Times.

Purata jangka panjang merujuk kepada tempoh 30 tahun antara 1991 dengan 2020.

Fenomena cuaca El Nino dari 2023 hingga 2024 adalah salah satu penyebab suhu yang lebih panas di sini, kata MSS.

El Nino boleh mengakibatkan Asia Tenggara, termasuk Singapura, mengalami cuaca lebih panas dan kering akibat perubahan pada suhu permukaan laut dan angin permukaan di Lautan Pasifik tropika.

Satu lagi fenomena cuaca, La Nina, pula membawa keadaan yang lebih basah dan sejuk.

Kedua-dua corak cuaca itu berlaku secara bergilir-gilir setiap beberapa tahun.

Tahun 2024 juga menandakan tahun keempat berturut-turut purata suhu Singapura selama sedekad mencapai satu paras tertinggi baru.

Ia mencecah 28.11 darjah Celsius – iaitu 0.05 darjah Celsius lebih tinggi berbanding rekod sebelumnya dari 2014 hingga 2023.

Purata suhu bulanan pada 2024 juga melebihi purata jangka panjang dalam semua bulan kecuali Januari.

April dan Julai ialah bulan paling panas di Singapura pada tahun itu, dengan purata suhu masing-masing 29.4 darjah Celsius dan 29.3 darjah Celsius.

Walaupun Disember salah satu bulan yang lebih sejuk pada 2024, ia adalah salah satu bulan Disember yang paling panas pernah direkodkan. Bulan itu mencatatkan purata suhu 27.7 darjah Celsius, sejajar dengan suhu pada 2015 dan 2021.

MSS berkata Singapura menerima hujan pada awal 2024, tetapi purata hujan di seluruh pulau untuk Februari, Mac dan April turun sedikit di bawah purata jangka panjang masing-masing.

Terdapat lebih banyak hujan pada Mei dan Jun, diikuti tempoh panas dan kering selama 18 hari antara 13 Julai dengan 30 Julai.

Hujan turun dengan lebat pada November dengan purata hujan di seluruh pulau sebanyak 419mm. Itu menjadikannya November paling basah sejak 1980.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg