Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar: Tekanan haba jejas kesihatan mental pekerja

Jan 9, 2025 | 2:51 PM
Di rantau ini, kelembapan tinggi menghalang tubuh manusia daripada menurunkan suhu badan secara optimum kerana peluh tidak dapat menyejat dengan baik. 
Di rantau ini, kelembapan tinggi menghalang tubuh manusia daripada menurunkan suhu badan secara optimum kerana peluh tidak dapat menyejat dengan baik.  - Foto ST

Kesan haba tidak memberi tanda yang ketara ke atas kesihatan mental.

Namun ia isu yang perlu diberi perhatian oleh penduduk Asia Tenggara ketika dunia semakin panas, menurut pakar di persidangan mengenai haba pada 8 Januari, lapor The Straits Times.

Apabila suhu meningkat, pekerja boleh menjadi lebih terdedah kepada masalah kesihatan mental, yang menimbulkan konflik di tempat kerja, menjejas keputusan yang dibuat dan mengurangkan daya penghasilan, kata Dr Ken C. Shawa, seorang pakar ekonomi kanan di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan ketua unit analisis ekonomi dan serantau di Pejabat Serantau ILO untuk Asia dan Pasifik.

“Tekanan haba adalah ‘pembunuh senyap’. Ramai orang tidak sedar bahawa mereka terjejas oleh haba.

“Pendedahan haba yang berpanjangan boleh menjejas kesihatan mental anda... Jika anda berasa terganggu, marah, atau murung, ia boleh menjejas daya penghasilan kerja anda, dan kadang-kadang, anda mungkin tidak sedar bahawa anda terjejas oleh haba,” tambahnya.

Dr Shawa berkongsi pandangannya pada hari kedua Forum Kesihatan Hab Rangkaian Maklumat Kesihatan Haba Sejagat (GHHIN) Asia Tenggara yang pertama, yang diadakan di Parkroyal di Beach Road pada 7 hingga 10 Januari.

Persidangan ini adalah kali pertama pakar dari pelbagai sektor rantaian tindak balas haba – termasuk organisasi kemanusiaan, pakar saintis cuaca, dan pakar perubatan – berkumpul di bawah rangkaian ini untuk membincangkan cabaran dan penyelesaian berkaitan haba di Asia Tenggara.

Salah satu matlamat utama GHHIN adalah menyelaraskan tindak balas serantau terhadap peningkatan suhu haba.

Di rantau ini, kelembapan tinggi menghalang tubuh manusia daripada menurunkan suhu badan secara optimum kerana peluh tidak dapat menyejat dengan baik. 

Ini boleh menyebabkan rasa tidak selesa yang berterusan pada individu.

Perbincangan pada 8 Januari itu menekankan bagaimana jutaan pekerja di rantau ini boleh terkesan oleh haba yang melampau, menekankan perlunya bertindak segera.

Dr Cyrus Ho, perunding kanan psikiatri di jabatan perubatan psikologi Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata kenaikan suhu boleh menyebabkan perasaan negatif dan mudah marah.

Berucap di forum tersebut, beliau menerangkan bagaimana perubahan iklim mempengaruhi kesihatan mental.

“Apabila seseorang merasa panas, beliau mungkin berasa resah, cemas, dan lebih mudah bertindak balas terhadap sesuatu. 

“Ini reaksi normal. Tetapi jika anda berada dalam ‘tekanan’ ini terlalu lama, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius seperti pemikiran berlebihan dan kemurungan,” katanya.

Dr Ho turut menambah kesihatan mental yang terjejas boleh membawa kepada kemerosotan kesihatan fizikal dalam jangka panjang.

Dr Shawa menjelaskan cabaran kesihatan mental yang dihadapi oleh pekerja dalam keadaan haba melampau termasuk tekanan emosi, kemarahan, keletihan mental, dan kebimbangan.

Menurutnya, masalah-masalah tersebut boleh menyebabkan pelbagai isu di tempat kerja, seperti kesilapan dalam hasil kerja, konflik antara rakan sekerja, semangat kerja yang rendah, dan pekerja tidah hadir.

Walaupun mereka yang bekerja di bawah terik matahari lebih berisiko terdedah kepada haba, pekerja dalam bangunan – terutamanya mereka yang bekerja di tempat dengan pengudaraan yang kurang baik atau berhampiran mesin yang menghasilkan haba – juga tidak terkecuali.

Beliau turut menambah bahawa suhu yang semakin meningkat boleh menyebabkan kualiti tidur yang merosot dan kurangnya daya penghasilan kerja apabila pekerja tidak mendapat rehat yang mencukupi.

Dr Shawa menggalak pekerja untuk berehat secara cukup dan menyeru majikan untuk menyediakan sesi kaunseling di tempat kerja, bagi memberi ruang selamat kepada pekerja untuk membincangkan kesan haba yang mungkin dialami mereka.

Dr Ho menekankan bahawa majikan perlu peka terhadap kesihatan mental dan fizikal pekerja mereka. 

Beliau mencadangkan agar majikan menyediakan ruang selamat bagi pekerja untuk berkongsi dan memberi maklum balas mengenai keperluan mereka, yang dapat membantu pekerja lebih terbuka dalam menyuarakan masalah mereka.

Berbeza dengan kesan fizikal akibat pendedahan kepada haba, masalah kesihatan mental yang berkaitan dengannya kurang dibincangkan dan dikaji, kata Dr Shawa.

Beliau menegaskan lebih banyak kajian diperlukan dalam bidang tersebut.

“Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan tekanan haba terhadap kesihatan mental supaya apabila seseorang mengalami simptom tertentu, mereka akan sedar bahawa ia mungkin berpunca daripada kesan haba,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg