Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura komited wujudkan masyarakat inklusif melalui dasar, pendidikan, ruang bersama

Feb 4, 2025 | 9:45 PM
Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua. - Foto MDDI

Singapura menggunakan pendekatan pelbagai aspek untuk mempromosi pendekatan inklusif melalui undang-undang, dasar, dan ruang bersama yang dibina melalui pendidikan dan pengalaman bersama, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.

Namun, beliau menambah bahawa pemerintah hanya menyediakan asas, dengan setiap individu perlu membentuk naratif positif untuk membina masyarakat yang terangkum.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab usul penangguhan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi, untuk melindungi rakyat Singapura daripada diskriminasi jika ingin terus kekal kukuh dan mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi.

Dr Syed Harun berkata penting agar usaha menentang diskriminasi dimulakan sejak usia muda dan di sekolah.

Beliau berkata usaha untuk mendedahkan golongan muda kepada pengalaman yang pelbagai termasuk individu yang mempunyai kecacatan atau keperluan khas; atau pelbagai bangsa, agama dan budaya harus bermula di sekolah.

Sesuai dengan itu, Encik Chua berkata pemerintah komited bekerjasama dengan rakan kongsi dalam menangani diskriminasi dan membina masyarakat yang inklusif.

Antaranya, pelbagai dasar telah diadakan untuk memupuk penyepaduan sosial dan melindungi kepentingan golongan minoriti.

Menurutnya, sekolah di Singapura membentuk identiti bersama sejak usia muda sambil memelihara warisan budaya yang pelbagai.

“Tanpa mengira kaum, bahasa atau agama, kita semua menyanyikan Lagu Kebangsaan, melafazkan Ikrar Negara, dan mempelajari kurikulum negara.

“Kita semua belajar Bahasa Inggeris supaya kita mempunyai bahasa perantara yang sama dan mempelajari Bahasa Ibunda untuk memelihara warisan budaya setiap kumpulan etnik.”

Beliau turut menggariskan terdapat juga usaha khusus untuk meningkatkan penyertaan bagi individu dengan kecacatan dan keadaan kesihatan mental seperti Pelan Induk Keupayaan 2030 dan Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Negara.

Selain daripada dasar, undang-undang Singapura juga disokong prinsip tanpa diskriminasi.

“Perlembagaan kita menetapkan bahawa semua individu adalah sama di hadapan undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di bawah undang-undang,” jelas Encik Chua.

Antara usaha dalam menangani diskriminasi ialah Akta Pemeliharaan Keharmonian Agama yang memelihara keharmonian kaum dan agama serta Akta Pendidikan Wajib yang memastikan setiap pelajar di Singapura mendapat akses kepada pendidikan.

Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja juga telah diluluskan di Parlimen pada 8 Januari, menguatkan lagi struktur undang-undang diskriminasi.

Dr Syed Harun turut mengetengahkan dasar insurans sebagai satu cabaran bagi individu yang mempunyai kecacatan fizikal dan masalah kesihatan mental.

Mengulas mengenai isu tersebut, Encik Chua berkata tanpa mengira keadaan sedia ada atau kecacatan, Singapura memastikan “semua rakyat Singapura mempunyai perlindungan insurans kesihatan asas sejagat di bawah MediShield Hayat”.

Rakyat lebih muda juga mempunyai insurans penjagaan jangka panjang menerusi CareShield Hayat.

Encik Chua menambah, Singapura turut komited untuk memperluas ruang bersama agar semua rakyat Singapura mampu tinggal, bekerja, dan bermain bersama.

Menurutnya, di sekolah, pelajar dipupuk nilai empati dan penghormatan dalam kalangan pelajar yang pelbagai.

Di tempat kerja pula pemikiran tentang manfaat tempat kerja yang adil dan inklusif melalui perundangan dan usaha pendidikan terus digalakkan.

Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama juga diadakan di setiap kawasan, menghubungkan pemimpin pelbagai masyarakat untuk menganjurkan kegiatan bersama.

Sukan dan seni juga diberi penekanan dengan mengembangkan sektor tersebut agar dapat melibatkan lebih ramai individu daripada pelbagai latar belakang dan kemampuan, tambah Encik Chua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg