Berita Harian (BH) telah mengadakan beberapa siri perbincangan kumpulan fokus bersama pihak berkepentingan, rakan kongsi dan pembaca mengenai masa depan penerbitan akhbar tersebut.

Diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-70 BH, sebanyak tiga sesi perbincangan bersama mantan wartawan BH, pakar sastera dan ahli akademik telah berlangsung dari September hingga November bagi mengumpul idea serta maklum balas.

Antara topik yang dibincangkan termasuk penyampaian kisah berakar umbi budaya yang unik kepada masyarakat Melayu/Islam, memanfaatkan kaedah digital dalam menyampaikan berita, meletakkan BH sebagai penghubung budaya di seluruh Nusantara, serta menyediakan bahan bacaan yang kritis dan merangsang minda yang disesuaikan dengan minat golongan belia.

Penulis mapan, Isa Kamari, yang menghadiri sesi pada 8 Oktober, menyarankan strategi serampang dua mata, iaitu kandungan digital untuk Gen Z dan akhbar cetak bagi isu berat dan serius yang memerlukan pendokumentasian.

“Strategi ini memberi peluang untuk mendekati dua khalayak yang berbeza minat dan keperluan.

“Namun kedua-dua kandungan digital dan cetak harus memuatkan berita semasa yang penting sebagai maklumat umum,” kongsi Isa yang pernah menerima beberapa anugerah termasuk Anugerah SEA Write dari Thailand pada 2006, Pingat Budaya pada 2007, Anugerah Tun Seri Lanang pada 2009, dan Anugerah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) pada 2018.

Isa menyarankan agar sasterawan dapat dijemput dan didedahkan melalui wadah seperti vodcast untuk memberi ulasan karya sastera.

Menurutnya, strategi demikian diharap dapat memancing minat anak muda untuk lebih mengenali dan menghayati sastera Melayu tempatan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Di samping itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim Alwee, yang turut menyertai sesi perbincangan pada 19 November, berkongsi bahawa amat bermanfaat sekiranya BH berperanan sebagai saluran penghubung yang memudahkan aliran berita kepada khalayak yang lebih luas di rantau ini.

Menurutnya, media di Semenanjung Malaysia dan provinsi Riau serta Kepulauan Riau atau Kepri, tertumpu kepada liputan berita di negara dan daerah masing-masing.

“Adalah baik sekiranya BH menjadi sumber dan penyalur berita untuk kedua-dua, yakni sekarang pembaca Indonesia tidak mendapat berita dari Malaysia dan sebaliknya.

“Di sinilah peranan BH menjadi ‘orang tengah’ yang membenarkan saluran berita terdedah kepada lebih ramai dari rantau serumpun ini atau daerah Selat Melaka,” ujar Dr Azhar.

Justeru, liputan berita tentang warisan budaya sejarah dan tradisi intelektual boleh menjadi sasaran berita yang mungkin menarik perhatian, tambahnya.

Berita yang kritis dan terbuka, yang disampaikan secara kreatif, turut menjadi kunci untuk meningkatkan tahap pendidikan anak muda, kata Dr Azhar sambil menambah bahawa kemampuan anak muda tidak harus dipandang remeh.

Bagi penggiat yang mungkin berminat menjadi ‘wartawan kontrak’, termasuk mahasiswa, adalah penting jika asas kewartawanan mereka digilap dahulu, kata Dr Azhar.

Selain itu, beliau turut mempertahankan nilai naskhah cetak, meskipun terdapat keghairahan pada dunia digital.

“Sayang kalau tidak disediakan, ke depan hari ia tidak akan dapat dihidupkan lagi,” kata Dr Azhar.