Berikut ucapan penuh Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar, di majlis penyampaian Anugerah Jauhari di Hotel Four Seasons pada 6 November.

Melati dipetik di hujung desa, 

Harum semerbak di taman permata, 

Jauhari disanjung kerana jasa, 

Menjadi teladan buat kita.

Hadirin yang saya hormati. Selamat datang ke Anugerah Jauhari Berita Harian (BH).  

Pertama, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Maybank Singapura yang telah tampil untuk menjadi penaja utama Anugerah Jauhari tahun ini. 

Penyertaan Maybank sebagai penaja utama menandakan satu lagi perkembangan penting bagi anugerah tahunan ini. 

Terima kasih juga kepada penaja lain iaitu AMP Singapura, Persatuan Bank di Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA). 

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-28 Anugerah Jauhari.

Selama hampir tiga dekad, anugerah ini telah meraikan kejayaan cemerlang anak Melayu/Islam Singapura dalam pelbagai bidang.  

Tahun ini, kami berbangga dapat memperkenalkan satu lagi anugerah baru iaitu Anugerah Perkasa BH-Maybank. 

Anugerah Perkasa ini meraikan dua warga Singapura, tanpa mengira bangsa, yang menunjukkan ketabahan luar biasa untuk bangkit daripada kesusahan dan mengubah nasib hidup.  

Kami berharap pengiktirafan ini dapat memperkasa sesiapa sahaja yang sedang berdepan dengan ujian kehidupan.

Ia membawa mesej jelas bahawa setiap rintangan boleh diatasi, dan tiada apa yang mustahil jika kita terus berusaha keras dan tidak mudah berputus asa. 

Kepada para penerima anugerah malam ini, tahniah atas pencapaian anda. Semoga kejayaan anda memberi inspirasi kepada masyarakat kita untuk terus mengejar impian. 

Malam ini, saya ingin menyentuh secara ringkas tiga perkara: pertama, kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap kewartawanan; kedua, kemajuan BH sepanjang setahun lalu; dan akhir sekali, rancangan kita untuk ulang tahun ke-70 BH tahun depan.

Kewartawanan dan AI

Izinkan saya mulakan dengan AI.

AI telah mengubah cara kita bekerja sebagai wartawan.

Kita menggunakan AI untuk menukar rakaman temu bual kepada teks, menterjemah bahan, menganalisis data dan menulis berita dengan lebih cekap.

Tugas yang dahulu mengambil masa berjam-jam kini boleh disiapkan dalam beberapa minit.

Memang benar, AI menjadikan wartawan kita lebih produktif.

Tetapi AI tidak dapat menggantikan kewartawanan yang baik.

AI tidak boleh pergi ke tempat kemalangan, bercakap dengan mangsa dan keluarga mereka, atau melihat sendiri apa yang berlaku di lapangan.

Lebih penting lagi, AI tidak mempunyai perasaan dan empati manusia.

Ia juga tidak dapat memahami sepenuhnya kepekaan dan kebimbangan masyarakat yang kita layani.

Dan kita tahu, AI boleh memberi jawapan yang salah namun dengan penuh keyakinan.

Sebab itulah pertimbangan dan campur tangan manusia tetap penting.

Kita masih memerlukan wartawan dan editor untuk menyemak fakta, mempersoalkan maklumat dan membuat pertimbangan yang baik. 

Apabila menggunakan AI dalam menghasilkan berita, kita perlu memaklumkan perkara itu kepada pembaca dengan jelas dalam artikel.

Ketelusan ini penting sebagai tanda tanggungjawab kita kepada pembaca. 

Pada akhirnya, kewartawanan bukan sekadar menghasilkan lebih banyak berita atau mengejar klik.

BH sebagai rakan masyarakat

Sekarang, izinkan saya beralih kepada BH.

Sepanjang setahun lalu, BH terus berubah untuk menjangkau lebih ramai pembaca, terutamanya dalam talian. 

Pada Mac, kita melancarkan edisi kompak selepas hampir 70 tahun dalam format helaian lebar (broadsheet).

Sambutan pembaca positif.

Mereka mendapati ia lebih mudah dibaca dan dibawa ke mana-mana.

Kita juga mengembangkan tawaran digital, dengan lebih banyak video, podcast dan kandungan media sosial.

Baru-baru ini, kita melancarkan semula platform belia kita, OMG, singkatan untuk Orang Muda Gitew, dengan membawa masuk bakat baharu dan memperkenalkan kandungan yang segar.

Sekitar 40 peserta bergambar di Auditorium SPH Media pada 16 September selepas menyertai sesi perbincangan kumpulan fokus anjuran Berita Harian (BH) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperbaharui kandungan dalam wadah digital khas untuk belia, ‘Orang Muda Gitew’ (OMG).
Sekitar 40 peserta bergambar di Auditorium SPH Media pada 16 September selepas menyertai sesi perbincangan kumpulan fokus anjuran Berita Harian (BH) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperbaharui kandungan dalam wadah digital khas untuk belia, ‘Orang Muda Gitew’ (OMG). - Foto fail

Tadi saya bercakap tentang kepercayaan.

Saya gembira melaporkan bahawa BH menunjukkan prestasi yang amat baik dalam bidang ini. 

Satu tinjauan persepsi oleh GfK tahun ini menunjukkan bahawa BH terus mendapat kepercayaan dan kepuasan yang tinggi daripada pembacanya, malah mendahului penerbitan berita tempatan yang lain.

Kepercayaan ini amat kami hargai dan tidak akan kami pandang ringan. 

Kepercayaan akan menjadi lebih penting dalam landskap media hari ini yang sesak dan kompetitif.

Dengan begitu banyak maklumat salah dan berita palsu tersebar, orang ramai memerlukan sumber yang boleh dipercayai. 

Di sinilah BH mempunyai peranan penting.

Pada akhirnya, soalnya bukan siapa yang menyiarkan berita dahulu, tetapi siapa yang dipercayai orang ramai untuk menyiarkannya dengan betul.

Selain melaporkan berita, kita juga mahu BH memainkan peranan yang bermakna dalam masyarakat. 

Misalnya, kita memperkenalkan Dermasiswa BH-AMP untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan bantuan kewangan dan peluang bimbingan dalam bidang media, komunikasi dan pengajian bahasa Melayu.

Pada November, BH akan bekerjasama dengan Singa Legends, kumpulan bekas pemain bola sepak kebangsaan yang diketuai Fandi Ahmad, untuk mengadakan klinik bola sepak untuk kanak-kanak.

BH bakal bekerjasama dengan Singa Legends, kumpulan bekas pemain bola sepak kebangsaan untuk mengadakan klinik bola sepak untuk kanak-kanak sempena sambutan BH70. Editor BH, Encik Nazry Mokhtar (tiga dari kiri) bersama (dari kiri) bekas pemain negara, Ernie Sulastri Sontaril, Nazri Nasir, Fandi Ahmad dan pengerusi Singa Legends, Farehan Hussein serta Editor Berita BH, Encik Nazri Hadi Saparin.
BH bakal bekerjasama dengan Singa Legends, kumpulan bekas pemain bola sepak kebangsaan untuk mengadakan klinik bola sepak untuk kanak-kanak sempena sambutan BH70. Editor BH, Encik Nazry Mokhtar (tiga dari kiri) bersama (dari kiri) bekas pemain negara, Ernie Sulastri Sontaril, Nazri Nasir, Fandi Ahmad dan pengerusi Singa Legends, Farehan Hussein serta Editor Berita BH, Encik Nazri Hadi Saparin. - Foto fail

Hasil kutipan akan disumbangkan kepada badan amal.

Ini merupakan antara usaha kecil namun bermakna untuk kami menyumbang semula kepada masyarakat dan membantu melahirkan bakat baharu.

Kami mahu menunjukkan bahawa BH bukan sekadar sebuah akhbar.

Kami sebahagian daripada masyarakat dan ingin turut menyumbang kepada kemajuannya. 

Sambutan BH70

Itu membawa saya kepada perkara terakhir.

Pada 2027, BH berusia 70 tahun. Ini pencapaian yang sangat penting bagi mana-mana organisasi.

Sejak 1957, BH telah melaporkan perubahan Singapura, meraikan pencapaian masyarakat kita dan membantu memelihara bahasa dan budaya Melayu. 

Dalam banyak hal, sejarah BH berkait rapat dengan sejarah masyarakat Melayu.

Ini sejarah yang kita banggakan.

Untuk menandakan ulang tahun ke-70 ini, kita merancang beberapa aktiviti, termasuk sebuah buku peringatan, pameran bergerak dan majlis makan malam.

Tetapi kita tidak mahu BH70 sekadar menjadi sambutan untuk akhbar kita.

Lebih daripada itu, kita mahu meraikan betapa jauh masyarakat Melayu/Islam telah berkembang sepanjang tujuh dekad lalu.

Sambil meraikan masa lalu, kita juga mesti melihat ke hadapan.

Media sosial telah mengubah cara kita berbual dan mendapatkan berita.

Apa yang popular hari ini mungkin dilupakan esok. 

Namun, walaupun platform dan trend datang dan pergi, satu perkara tidak akan berubah – BH akan sentiasa ada untuk masyarakat kita.

Kita sudah berada di sini hampir 70 tahun, dan saya yakinkan anda, kita tidak ke mana-mana.

Kami berharap rakan kongsi kami akan menyertai kami dan membantu menjadikan BH70 sambutan yang benar-benar bermakna.

Dan saya harap anda semua di sini akan turut serta.

Izinkan saya menamatkan ucapan ini dengan mengucapkan tahniah kepada penerima Jauhari malam ini. 

Pencapaian anda menjadi sumber kebanggaan, bukan sahaja untuk diri dan keluarga anda, tetapi untuk masyarakat yang lebih luas.

Kami harap kisah anda akan menggalakkan lebih ramai anak muda mengejar cita-cita dan menyumbang kepada masyarakat.

Terima kasih kepada semua yang telah menyokong BH selama ini.

Saya harap kita dapat terus bekerjasama rapat pada tahun-tahun mendatang.

Terima kasih.

AI TIDAK BOLEH GANTIKAN WARTAWAN BAIK

“

“AI tidak boleh pergi ke tempat kemalangan, bercakap dengan mangsa dan keluarga mereka, atau melihat sendiri apa yang berlaku di lapangan. Lebih penting lagi, AI tidak mempunyai perasaan dan empati manusia. Ia juga tidak dapat memahami sepenuhnya kepekaan dan kebimbangan masyarakat yang kita layani... Sebab itulah pertimbangan dan campur tangan manusia tetap penting.”
MEDIA DIPERCAYAI

“

“Kepercayaan ini amat kami hargai dan tidak akan kami pandang ringan.  Kepercayaan akan menjadi lebih penting dalam landskap media hari ini yang sesak dan kompetitif. Dengan begitu banyak maklumat salah dan berita palsu tersebar, orang ramai memerlukan sumber yang boleh dipercayai.  Di sinilah BH mempunyai peranan penting. Pada akhirnya, soalnya bukan siapa yang menyiarkan berita dahulu, tetapi siapa yang dipercayai orang ramai untuk menyiarkannya dengan betul.”
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian.