Satu siri webinar yang akan mengupas mengenai perancangan legasi Islam dan kepentingan perancangan harta pusaka akan dianjurkan oleh Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) dengan kerjasama Berita Harian (BH).
Webinar empat bahagian itu akan diadakan secara percuma menggunakan wadah webinar BH.
Webinar pertama akan diadakan pada Rabu, 25 Jun dari jam 8 hingga 9.30 malam.
Dengan topik “Perancangan Legasi Islam: Bagaimana nak mula?, ia akan mengupas asas perancangan legasi dan konsep sedekah jariah.
Tiga ahli panel yang dijemput ialah pengasas IlmHub, Ustazah Shameem Sultanah; Ketua Pegawai Eksekutif SSA Group dan Barakah Capital, Encik Suhaimi Salleh; serta Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas.
Encik Suhaimi dan Encik Ahmad Nizam juga merupakan anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam.
“Kerjasama dengan Berita Harian ini bertujuan untuk meluaskan lagi jangkauan dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura. Sebagai wadah media utama masyarakat Melayu, BH mempunyai platform digital dan cetak yang dapat membantu menyampaikan mesej tentang kepentingan perancangan legasi Islam kepada masyarakat dengan lebih berkesan,’‘ ujar WMS.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar gembira WMS memanfaatkan ciri webinar yang dilengkapkan dalam laman web BH sebagai wadah untuk mengongsi mengenai topik penting ini.
“Melalui webinar ini, kami berharap masyarakat Melayu/Islam dapat menimba pengetahuan dan maklumat baru daripada pakar-pakar dalam keselesaan rumah mereka atau di mana sahaja mereka berada,’‘ kata Encik Nazry.
Ditanya mengenai matlamat yang ingin dicapai melalui webinar ini, WMS berkata:
“Webinar ini bertujuan untuk memperkenalkan konsep-konsep asas perancangan legasi Islam dan sadaqah jariyah kepada masyarakat. Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan perancangan harta pusaka dari perspektif Islam untuk kehidupan di Singapura termasuk pilihan untuk menyumbang kepada Wakaf Masyarakat Singapura.”
Selain itu, webinar ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan merancang harta pusaka. Ia juga bertujuan untuk membetulkan tanggapan bahawa perancangan harta pusaka hanya untuk golongan berada.
“Hakikatnya, perancangan harta pusaka merupakan satu langkah penting untuk memastikan hak ahli keluarga dan orang tersayang kita terpelihara, tanpa mengira jumlah harta yang dimiliki,’‘ tambah WMS.
Setakat ini, WMS telah berjaya mengumpul dana sebanyak $2.25 juta daripada sumbangan masyarakat. Ia menyasarkan untuk mencapai kutipan sebanyak $6 juta menjelang akhir tahun ini.
Bagi webinar pertama, WMS menampilkan pakar-pakar dari tiga bidang utama - agama, perundangan dan kewangan - untuk memberi pandangan yang menyeluruh tentang perancangan legasi Islam.
Ustazah Shameem akan membincangkan perspektif agama dalam perancangan legasi.Encik Ahmad Nizam pula merupakan pakar dalam aspek perundangan, manakala Encik Suhaimi merupakan penyumbang tetap ruangan Aset di BH, yang akan membincangkan aspek perancangan kewangan
Ketiga-tiga penceramah ini dipilih kerana kepakaran dan pengalaman mereka dalam
bidang masing-masing. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat kompleks dengan cara yang mudah difahami oleh masyarakat umum. Untuk mendaftar bagi webinar pertama, sila ke https://www.tinyurl.com/wmsxbh. (Sila rujuk poster dalam muka 2)
Berikut adalah tarikh dan topik bagi tiga webinar selanjutnya:
30 Julai : Cara Mudah Rancang Legasi Anda: Penamaan CPF dan Insurans
28 Ogos: Wakaf: Wadah Pahala Berkekalan
24 September: Lindungi Keluarga Melalui Wasiat
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg