Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) mengalu-alukan sumbangan masyarakat sempena Ramadan ini bagi membina dana wakaf tersebut yang disasarkan sebanyak $6 juta pada 2025.
Bagi mencapai matlamat tersebut, WMS melancarkan satu kempen bagi menggalak orang ramai menyumbang secara bulanan.
Usaha itu merupakan inisiatif pertama wakaf tersebut sejak ia dilancarkan pada Ogos 2024 sebagai wakaf masyarakat berbilang aset pertama Singapura.
WMS merupakan sebuah dana masyarakat mampan yang bertujuan memenuhi keperluan jangka panjang masyarakat Islam Singapura.
Sebagai sebuah wakaf, setiap sumbangan yang dihulurkan masyarakat dan membentuk dana wakaf itu akan dikekalkan.
Sebaliknya dana tersebut akan dilaburkan dan hasil pulangan dana itu diagihkan kepada penerima wakaf.
Bagi WMS, tiga matlamat telah ditetapkan untuk mendapat manfaatnya – menyokong masjid dan madrasah termasuk pembaharuan pajakan tanah; memperkukuh sektor asatizah termasuk menyediakan program latihan dan peningkatan kemahiran seperti mengadakan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS); dan menyokong program sosioagama untuk memartabatkan masyarakat Islam setempat.
Menurut Ketua Pembangunan Dana Masyarakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Cik Nur Ayuni Affandi Salleh, dengan hanya $30 sebulan, Muis ingin menggalak masyarakat menghidupkan amalan berwakaf sebagai satu norma memberi.
“Amalan berwakaf sebenarnya telah berakar umbi dalam tradisi masyarakat Islam sejak zaman-berzaman.
“Namun, kita mendapati amalan mulia ini semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat moden.
“Melalui WMS, kami berhasrat untuk mengembalikan semangat berwakaf dalam kehidupan seharian umat Islam,” kata Cik Nur Ayuni.
Berbeza dengan amalan berinfak, seperti derma tabung masjid, apabila dana yang diberi digunakan langsung, dana wakaf tidak digunakan tetapi dilaburkan.
Hanya hasil pulangan pelaburan itu yang diagihkan kepada penerima.
“Pendekatan ini memastikan dana wakaf kekal utuh dan berkekalan. Ia bukan sahaja menjamin kelestarian dana tersebut untuk generasi akan datang, malah membolehkan manfaatnya terus mengalir tanpa henti,” tambah Cik Nur Ayuni.
Pada masa ini, membolehkan WMS “melengkapi dana-dana sedia ada seperti dana pembinaan masjid dan dana zakat”.
WMS mula disebut-sebut seawal 2020 sebagai sebuah instrumen yang membolehkan masyarakat memiliki sebuah dana yang mampan dan kekal.
Selama hampir empat tahun, pihak Muis telah membuat perancangan teliti, termasuk mendapatkan pandangan pakar dan agamawan serta maklum balas masyarakat, sebelum melancarkannya pada Ogos 2024.
Antara usaha awal bagi memastikan WMS dapat dibangunkan dengan teratur termasuk membentuk Panel Penasihat WMS yang dipengerusikan usahawan dan pemimpin masyarakat, Encik Abu Bakar Mohd Nor.
Pemerintah juga telah meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) bagi membolehkan Muis mentadbir fungsi dan tugasnya dengan lebih baik untuk menyokong masyarakat Islam, termasuk menubuhkan sebuah wakaf.
Menyusuli pelancarannya, Muis membentuk Jawatankuasa Sementara WMS bagi melakarkan struktur pentadbiran WMS.
Jawatankuasa itu dipengerusikan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari.
Selain menyumbang wang kepada WMS, baik sekali sahaja mahupun secara berkala, WMS turut diketengahkan sebagai wadah yang membolehkan seseorang individu Muslim membuat perancangan legasi untuk mendermakan aset setelah pemergian mereka.
“Pada masa dahulu, seseorang Muslim selalunya menulis wasiat dan meninggalkan asetnya, seperti rumah dan tanah, untuk dijadikan sebagai wakaf.
“Amalan ini mungkin tidak begitu lazim hari ini di Singapura. Justeru kita mengadakan WMS sebagai sebuah wakaf masyarakat yang mana orang ramai boleh mewasiatkan atau menghibahkan sebahagian harta mereka untuk dijadikan wakaf,” jelas Cik Nur Ayuni.
Selain mewasiatkan harta mereka kepada WMS, orang ramai juga boleh pertimbang mencalonkan sebahagian dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka atau agihan pampasan insurans mereka kepada WMS menggunakan instrumen pencalonan
Bagi pencalonan CPF, individu Muslim boleh melungsuri laman CPF untuk melakukannya, manakala bagi pencalonan insurans, mereka boleh mendapatkan butiran untuk membuat pencalonan daripada syarikat insurans masing-masing.
Dari sudut pandangan Islam, Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa kededua pencalonan CPF dan insurans (yang boleh dimansuhkan) diperbolehkan dalam agama dan merupakan hadiah kepada seseorang atau mana-mana pertubuhan, seperti WMS.
Ia tidak tertakluk pada nisbah faraid dan boleh diberikan dalam sebarang jumlah yang diinginkan.
“Besar harapan dan aspirasi kami agar melalui WMS ini, setiap Muslim Singapura berpeluang meninggalkan legasi yang bermakna dan berkekalan untuk generasi mendatang, termasuk cucu-cicit kita nanti.
“Selain memberi manfaat kepada orang lain, wakaf juga membawa bersama ganjaran untuk kita di akhirat kelak dan sempena Ramadan ini, diharap ganjaran tersebut menerima gandaan yang berlipat ganda,” kata Cik Nur Ayuni.
Orang ramai boleh menyumbang kepada WMS menerusi laman wakaf.sg/ramadan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg