Rakaman video pemandu yang melanggar peraturan jalan raya seperti memasuki laluan bas semasa waktu operasi tidak lama lagi akan dianalisis oleh sistem baharu yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI).

Sistem tersebut – yang akan menggunakan rakaman daripada kamera yang dipasang pada bas – bakal dilaksanakan secara berperingkat mulai suku keempat 2026 oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). 

Sewaktu percubaan dijalankan, sistem itu mencatat kadar ketepatan purata sekitar 90 peratus, ujar LTA.

Pihak berkuasa itu menambah, ia sedang bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam bagi memperluaskan pelaksanaannya ke semua laluan bas menjelang 2030.

Timbalan Pengarah Inovasi dan Analitik LTA, Cik Germain Tay, berkata:

“Sistem ini boleh mengesan pemandu yang melakukan kesalahan memasuki laluan bas, meletakkan kenderaan secara haram di jalan raya, serta isu lain seperti kerosakan jalan dan kerja penyelenggaraan jalan yang tidak mematuhi piawaian.”

LTA berkata empat bas – yang merangkumi laluan bas sepanjang 126 kilometer secara keseluruhan – telah dipasang dengan sistem Analitik Video AI sewaktu tempoh percubaan.

“Menerusi pelbagai senario yang diuji, empat bas berkenaan mengesan purata tujuh kenderaan sehari yang mencerobohi laluan bas,” tambah LTA.

Dalam tempoh tiga tahun lalu dari 2023 hingga 2025, LTA mengeluarkan sebanyak 36,800 saman tahunan secara purata atas kesalahan mencerobohi laluan bas.

Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, berkata pengurangan pencerobohan di laluan bas akan membantu mengelak keadaan di mana pemandu bas terpaksa menekan brek secara mendadak bagi mengelak pelanggaran dengan kenderaan di laluan tersebut.

Ini akan membantu melindungi diri mereka serta para penumpang, tambah beliau.

Cik Sun berkata demikian di majlis Anugerah Keselamatan dan Kesejahteraan Pengangkutan Awam (PTSSA) tahunan di One Punggol, pada 21 Ogos.

Dalam ucapannya, beliau menyebut tentang inisiatif perintis di mana pengumuman keselamatan berasaskan audio dimainkan di dalam bas bagi 11 laluan sejak Ogos 2025.

Pengumuman tersebut mengingatkan penumpang supaya memegang pemegang tangan dan tiang sebelum bas mula bergerak.

Cik Sun berkata: “Ciri ini telah diterima baik, dan LTA akan mula melaksanakan ciri pengumuman keselamatan automatik menjelang 2027.”

Penyelesaian berasaskan teknologi boleh memainkan peranan penting dalam meringankan tugas kapten bas, serta meningkatkan cara pihak berkuasa menilai risiko keselamatan, tambah Cik Sun.

Majlis tersebut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 5,364 pemandu bas yang mengekalkan rekod cemerlang bebas kemalangan bagi tempoh sekurang-kurangnya satu hingga 10 tahun, mengikut kategori berbeza.

Setiap pemandu menerima lencana pemanduan selamat dan wang tunai bernilai antara $200 dengan $2,000.

Dalam ucapannya, Cik Sun berkata Pasukan Bertindak Tiga Pihak Keselamatan Bas telah menyelesaikan semakannya pada 2025 dan usulan yang dicadangkannya kini dilaksanakan.

Sekitar 99 peratus daripada keseluruhan pemandu bas telah menyelesaikan Program Ulang Kaji Pandu Selamat Kapten Bas, dan menjelang Oktober, semua pemandu bas dijangka selesai mengikuti kursus berkenaan, jelas Cik Sun.

Tempoh pemanduan bagi pemandu bas untuk 10 laluan yang mengambil masa melebihi dua jam juga telah dikurangkan.

Langkah itu diambil bagi mengurangkan kelesuan akibat pemanduan berterusan serta meningkatkan keselamatan, kata Cik Sun.

“Ini termasuk menyesuaikan laluan atau memperkenalkan pertukaran pemandu di pertengahan laluan bagi membolehkan kapten bas kita berehat,” tambah beliau.

Pameran keselamatan bas di One Punggol, yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran keselamatan awam, diadakan dari 21 Ogos hingga 22 Ogos.