Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem ERP guna kamera dalam ujian hingga Okt

Belum ada rancangan lancar teknologi, masih di peringkat penerokaan
May 13, 2025 | 11:58 AM
ERP
Sistem berasaskan kamera yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dapat membaca nombor pendaftaran kenderaan untuk menguruskan caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP). - Foto ST

Satu projek eksperimen menggunakan kamera yang dipasang di jalan raya dan teknologi pengenalan nombor plat kenderaan untuk mengira kadar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) sedang diuji.

Percubaan teknologi itu telah bermula pada November 2024 dan akan berlangsung sehingga Oktober 2025.

Belum ada rancangan untuk melancarkan teknologi itu kerana ia masih di peringkat penerokaan.

Dikenali sebagai ERP X, eksperimen ini dijalankan oleh Produk Pemerintah Terbuka (OGP), sebuah bahagian bebas di bawah Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) yang membina teknologi untuk kebaikan awam, lapor The Straits Times (ST).

Di bawah percubaan ERP X itu, sembilan kamera telah dipasang di beberapa lokasi berbeza di kawasan Bras Basah.

Kamera-kamera ini secara automatik mengenal pasti nombor plat kenderaan, dan bayaran tol diproses secara automatik melalui satu aplikasi telefon pintar.

Sebaliknya, caj ERP diproses melalui perkakasan yang dipasang pada kenderaan dalam sistem semasa.

Seorang jurucakap OGP berkata percubaan ini bertujuan mengumpul maklum balas yang akan membantu pasukan itu memahami teknologi ini dengan lebih baik, dan ia sedang bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam percubaan itu.

Jurucakap tersebut berkata: “Kami masih di peringkat awal untuk memahami bagaimana teknologi ini boleh digunakan dengan berkesan bagi meningkatkan operasi jalan raya dan kenderaan, termasuk penguatkuasaan. Banyak lagi pembangunan, ujian serta pengesahan diperlukan sebelum kami mempertimbangkan penggunaan berskala besar.”

Walaupun OGP melihat potensi teknologi ini, jurucakap itu berkata pasukan itu sedang mencari cara untuk menguji pelbagai idea dan situasi di mana teknologi ini boleh digunakan dalam perkhidmatan pemerintah.

Seorang jurucakap LTA berkata kajian itu berada di “peringkat penerokaan” dan ia tiada maklumat lanjut untuk dikongsikan.

Selain mengenakan caj kepada pengguna apabila kenderaan melintasi sesuatu lokasi, seperti dalam sistem ERP sekarang, ERP X juga boleh membolehkan caj dikenakan mengikut jarak.

“Dengan jumlah kamera yang mencukupi, kami boleh menjejak laluan kenderaan dan mengenakan caj berdasarkan jarak yang dilalui,” kata laman web ERP X.

ERP X diwujudkan sebagai tindak balas terhadap “cabaran praktikal” dengan sistem ERP 2.0 berasaskan satelit generasi akan datang, yang akan menggantikan sistem gantri sedia ada, menurut pasukan tersebut.

Beberapa pemandu merasakan ERP 2.0 agak “mengganggu dan tidak mesra pengguna,” tambah pasukan itu.

Terdapat keprihatinan tentang saiz terlalu besar unit tiga komponen dalam sistem baru ini, yang merangkumi unit pemproses, antena dan skrin sentuh.

Dalam kemas kini suku pertama 2025 bagi percubaan ERP X itu, OGP berkata sebuah “papan pemuka kesalahan” telah diwujudkan untuk menilai kemungkinan pelanggaran peraturan yang dikesan sistem itu, seperti kenderaan luar waktu sibuk (‘off-peak’) yang dikesan pada waktu terhad, serta lori yang dipandu tanpa langkah keselamatan yang cukup.

Sebanyak 26 kamera lagi telah dipasang, tetapi kemas kini tersebut tidak menyatakan lokasi pemasangannya dan kamera-kamera itu masih belum beroperasi.

Sehingga akhir Mac, terdapat 162 peserta dalam percubaan itu, dan ketepatan kamera-kamera itu dalam mengenal pasti nombor plat kenderaan adalah 95.4 peratus.

Kos ujian ini mencecah $362,773 dalam tiga bulan pertama 2025.

ST mendaftar untuk ujian ini pada Mac menggunakan pautan web ini.

Untuk menyertai ujian ini, peserta perlu mengemukakan maklumat seperti jenis kenderaan dan peranti mudah alih (iOS atau Android).

Pemohon yang berjaya akan menerima mesej WhatsApp dengan arahan untuk memuat turun aplikasi ujian ERP X, yang hanya boleh diakses dengan jemputan.

Aplikasi ini membolehkan beberapa nombor pendaftaran dimasukkan, serta menunjukkan ringkasan transaksi, laluan, dan jarak yang dilalui kenderaan.

Sementara itu, peralihan ke ERP 2.0 di seluruh Singapura sedang berlangsung.

Setakat ini, sekitar 430,000 kenderaan daripada lebih satu juta kenderaan di Singapura telah dipasang dengan unit di dalam kenderaan yang baru itu, kata LTA.

Pemasangan perkakasan tersebut dalam kenderaan berdaftar Singapura dijangka selesai menjelang 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg