Pelaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) Penuh – sistem yang membenarkan pelajar mengambil mata pelajaran pada tahap lebih tinggi atau lebih rendah berdasarkan kekuatan mereka – telah meningkatkan keyakinan pelajar dalam menangani mata pelajaran pada pelbagai tahap.
Kelas yang kini merangkumi pelajar berbeza keupayaan juga telah memupuk semangat terangkum dan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan pelajar.
Demikian dinyatakan Ketua Tahun (menengah atas) Sekolah Menengah Pasir Ris, Encik Mohamed Ashiq, semasa lawatan media pada 8 Januari sewaktu sesi orientasi untuk 290 pelajar Menengah 1 – kohort kedua sekolah tersebut di bawah sistem SBB Penuh.
Beberapa pelajar turut berkongsi bahawa fleksibiliti yang ditawarkan SBB Penuh memberi mereka peluang meneroka potensi tanpa tekanan, berbeza dengan sistem aliran Ekspres, Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal) sebelum ini.
Sekolah Menengah Pasir Ris merupakan salah satu daripada 120 sekolah di Singapura yang menyepadukan SBB Penuh ke dalam kurikulum mereka semasa pelaksanaannya secara berperingkat antara 2020 dengan 2024.
“Sememangnya terdapat pelajar daripada pelbagai tahap di dalam sesebuah kelas.
“Mereka juga akan ke bilik darjah berbeza untuk mata pelajaran akademik masing-masing, dan ini membantu mereka bergaul merentasi pelbagai tahap berbeza.
“Hasilnya, kita dapat melihat mereka menjadi lebih bersatu,” jelas Encik Ashiq.
Sekolah Menengah Pasir Ris menerapkan SBB Penuh pada 2024, melibatkan seramai 251 pelajar bagi kohort pertama di bawah sistem itu.
Di bawah sistem SBB Penuh, pelajar ditempatkan ke dalam tiga kumpulan – G1, G2 atau G3.
G1 seperti aliran Normal (Teknikal), G2 seperti Normal (Akademik) dan standard G3 seperti Ekspres.
Pelajar Sekolah Menengah Pasir Ris kini lebih yakin menangani mata pelajaran bertahap tinggi, tambah Encik Ashiq.
Pelajar Menengah 2 daripada kohort pertama sistem itu, Danysh Hazeeq Budiman, berkata:
“Sistem ini bukan sahaja memberi peluang untuk kami berinteraksi dengan pelajar lain, malah membantu kami mengenali kekuatan yang berbeza.
“Ada yang cemerlang dalam komponen akademik, manakala yang lain menonjol dalam bidang lain seperti pendidikan makanan dan pengguna atau reka bentuk teknologi.
“Sepanjang perjalanan ini, saya bertemu dengan pelbagai pelajar daripada kumpulan berbeza seperti G1 atau G2, dan saya banyak belajar daripada mereka.”
Danysh yang berada dalam G3, berkata fleksibiliti yang ditawarkan amat membantu, terutama mereka yang berada dalam kumpulan lebih rendah.
Menurutnya, ini kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk cemerlang dalam subjek yang benar-benar sesuai mengikut kekuatan mereka.
Dia turut menambah bahawa sistem itu tidak terhad kepada penilaian akademik semata-mata, malah turut mengiktiraf pelbagai kemahiran lain.
Sekolah Menengah Pasir Ris menyambut pelajar Menengah 1 kohort kedua dengan orientasi selama tiga hari dari 8 hingga 10 Januari.
Kegiatan orientasi termasuk permainan membangun semangat sepasukan dan sesi perkongsian oleh pelajar Menengah 2.
Antara pelajar menghadiri orientasi itu, Noman Naushad, berkata:
“Saya tidak begitu memahami sistem baru ini dan tidak mempunyai sebarang jangkaan terhadapnya. Namun, saya berharap dapat mempelajari sedikit sebanyak melalui orientasi ini.”
Menurut kenyataan MOE pada 2023, sistem SBB Penuh dilaksanakan di 120 sekolah menengah di Singapura.
Sistem itu bermula dengan program perintis di 28 sekolah pada 2020 sebelum diperluaskan secara berperingkat sestiap tahun antara 2022 dengan 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg