Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE: Keputusan penempatan Menengah 1 ‘sebanding’ tahun-tahun lalu walau kohort besar

Dec 24, 2024 | 2:03 PM
Sama dengan tahun-tahun sebelumnya, lebih daripada sembilan dalam 10 mendapat tempat di salah satu daripada enam sekolah yang mereka pilih, kata MOE.
Sama dengan tahun-tahun sebelumnya, lebih daripada sembilan dalam 10 mendapat tempat di salah satu daripada enam sekolah yang mereka pilih, kata MOE. - Foto fail

Keputusan penempatan sekolah Menengah Satu baru-baru ini “sebanding” dengan kohort sebelumnya, dengan lebih 80 peratus pelajar ditempatkan di sekolah pilihan pertama, kedua, atau ketiga mereka.

Selain itu, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, lebih sembilan dalam 10 pelajar mendapat tempat di salah satu daripada enam sekolah yang dipilih mereka, kata Kementerian Pendidikan (MOE).

Bagi kes pemilihan terikat, keputusan bagi kebanyakan pelajar ditentukan mengikut kewarganegaraan dan urutan pilihan sekolah, dengan kira-kira satu dalam 10 melalui undian menggunakan komputer, seorang jurucakap MOE.

Trend ini serupa dengan tahun-tahun lalu.

Sejak keputusan penempatan Menengah Satu diumumkan, beberapa ibu bapa menggunakan forum dalam talian untuk meluahkan kebimbangan bahawa anak mereka tidak ditempatkan di sekolah menengah pilihan, lapor The Straits Times (ST).

Mereka berkata ada perubahan ketara dalam mata kelayakan (bagi memasuki sesebuah sekolah) dan tertanya-tanya apakah disebabkan saiz kohort ‘Naga’ yang lebih besar.

Pada 2024, seramai 40,894 pelajar menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), berbanding 38,088 pada 2023, 37,095 pada 2022, dan 39,119 pada 2021.

Tahun Naga berlaku sekali setiap 12 tahun dalam kitaran zodiak Cina, dan setiap kali ia akan mencatatkan kelahiran tinggi di Singapura.

Semua ibu bapa yang anak mereka melalui proses penempatan Menengah Satu pada 2024 memberitahu ST bahawa mereka perasan mata kelayakan telah berkurangan sekurang-kurangnya satu mata. 

Menurut ibu bapa tersebut, mata kelayakan bagi Sekolah Perempuan Raffles, contohnya, turun daripada enam kepada lima dan bagi Hwa Chong Institution daripada tujuh kepada enam.

Ada yang berkata anak mereka tidak ditempatkan di satu pun daripada enam sekolah pilihan mereka, walaupun mereka mendapat mata yang sepatutnya memenuhi syarat pada tahun-tahun lalu.

Ibu bapa tersebut menyebut kemungkinan peningkatan permintaan bagi pelbagai sekolah disebabkan kohort Tahun Naga 2024 yang lebih besar.

Sebagai respons kepada pertanyaan mengenai pengurusan saiz kohort yang berubah-ubah, MOE berkata: “Perancangan tempat di sekolah mengambil kira permintaan pada peringkat kebangsaan dan tempatan bagi memastikan tempat mencukupi bagi semua pelajar Menengah 1 yang layak.”

MOE menambah bahawa keputusan penempatan “sebanding” menunjukkan pelajar dan ibu bapa membuat pilihan sekolah yang bijak dengan memilih julat sekolah dengan mata kelayakan yang berbeza, termasuk yang anak mereka boleh penuhi.

Dalam sistem pemarkahan baru yang dimulakan pada 2021, setiap pelajar akan diberi markah Tahap Pencapaian (AL) dari satu hingga lapan bagi setiap subjek, bukan gred seperti A* hingga E. 

Jumlah markah PSLE pelajar adalah jumlah AL bagi setiap daripada empat subjek, dengan empat merupakan markah terbaik yang boleh diraih oleh seseorang pelajar.

Sistem AL baru itu bertujuan mengurangkan tekanan berbanding sistem T-score lama, kerana pelajar tidak perlu mengejar markah untuk mengatasi rakan sebaya mereka.

Sekiranya dua atau lebih pelajar yang mempunyai markah PSLE yang sama merebut untuk tempat terakhir di sekolah, mereka akan dipilih mengikut pertama, kewarganegaraan; kedua, pilihan sekolah; dan kemudian undian menggunakan komputer.

Mata kelayakan menjadi “rujukan paling penting” bagi ibu bapa apabila memilih sekolah menengah.

Mata kelayakan sebenar tidak ditentukan terlebih dahulu sebelum penempatan dan boleh berubah setiap tahun bergantung pada keputusan PSLE pelajar dan pilihan sekolah mereka untuk tahun tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg