Bagi menjamin keberkesanan sistem pendidikan khas, Presiden Pusat Sumber Autisme (ARC), Cik Denise Phua, menekankan kepentingan menjaga kesihatan dan kesejahteraan mental serta fizikal guru dalam bidang itu.
“Keletihan mental daripada mengendalikan keperluan pelajar yang kompleks serta menepati jangkaan ibu bapa bakal membawa keletihan mental dan emosi kepada guru keperluan khas.
“Tanpa sistem sokongan yang teguh dan mudah diakses, kami berisiko mengalami keletihan dan keadaan di mana guru pendidikan khas mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan mereka.
“Ini akan menjejas ketekalan dan mutu pendidikan pelajar keperluan khas,” kata Cik Phua, dalam wawancara e-mel bersama Berita Harian (BH).
Guru pendidikan khas bertanggungjawab mendidik pelajar yang mempunyai keunikan neurodivergent – otak berfungsi mengikut cara berbeza berbanding individu neurotipikal atau biasa – yang meliputi diagnosis seperti autisme, Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), palsi serebrum, Sindrom Down dan lain-lain.
Mereka terdiri daripada individu dengan tiga tahap berbeza, iaitu keperluan rendah, sederhana dan tinggi.
Pengesanan tahap akan menentukan bentuk bimbingan dan strategi yang perlu diberi guru masing-masing.
Pelajar berkeperluan khas biasanya menghadapi cabaran komunikasi dan berinteraksi, lantas tidak boleh mempelajari sesuatu melalui pendekatan tradisional, seperti diberi arahan secara lisan atau membuat tugasan bertulis.
“Tiada pendekatan umum terbaik apabila mendidik pelajar pendidikan khas.
“Guru-guru, sebaliknya, perlu kreatif dan tabah mencipta pendekatan unik untuk memperkasa kemahiran setiap murid.
“Ada yang memerlukan kandungan visual atau dengaran. Terdapat juga pelajar kinestetik yang belajar melalui pergerakan seluruh badan,” jelas Presiden My Inspiring Journey (MIJ) Hub, Cik Faraliza Zainal, yang berpengalaman sebagai guru pendidikan khas selama 14 tahun.
Beliau turut mendidik anak lelakinya, Encik Mohd Ashraf Mohd Ali, 25 tahun, yang mengalami autisme agar mampu memperkasa dirinya.
Cik Faraliza menekankan kepentingan guru dalam menenangkan pelajar yang mengalami meltdown, iaitu keadaan apabila seseorang hilang kawalan terhadap tingkah lakunya dan mengamuk.
Dalam pada itu, guru pendidikan khas dan pakar yang dihubungi BH turut menekankan tentang keletihan mental dan emosi akibat rutin harian dalam memenuhi keperluan pelajar berkeperluan tinggi.
Ini ditambah dengan jangkaan ibu bapa yang kadangkala tidak munasabah.
“Guru pendidikan khas perlu banyak sabar dan kuat semangat apabila digores secara emosi atau fizikal tatkala berdepan dengan pelajar yang hilang kawalan emosi dengan tidak sengaja,” ujar Cik Faraliza.
“Sebagai pendidik, kita perlu peka dan sensitif terhadap apa yang sebenarnya pelajar itu cuba sampaikan.”
Beliau menambah, terdapat segolongan ibu bapa yang bertindak kurang munasabah dengan guru pendidikan khas, menyebabkan guru hilang motivasi.
Ternyata, guru-guru pendidikan khas memerlukan sokongan yang lebih menyeluruh.
Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada Mac 2024, Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan peningkatan gaji sebanyak 12 peratus untuk guru pendidikan khas sedia ada, dari 2024 hingga 2026.
Gaji pembantu guru (TA) pula akan ditambah 15 peratus mulai 2024.
Mulai 2024 juga, gaji permulaan bagi guru darjah dalam aliran pendidikan khas akan dinaikkan sehingga 15 peratus, dan sebanyak 17 peratus bagi TA.
Namun begitu, pengorbanan dan usaha guru pendidikan khas juga boleh dihargai dengan menyediakan lebih banyak sokongan kepada penjagaan kesihatan mental dan emosi mereka.
Ketua Jabatan (HOD) Pendidikan Sains di Sekolah Pathlight, Cik Nurazlina Mohamed Abdul Rashid, berkata:
“Saya percaya masyarakat kita telah maju dalam menghargai nilai individu berkeperluan khas, tetapi ada lebih ruang untuk mengiktiraf tugas guru dan pelatih pendidikan khas.”
Guru pendidikan khas di Sekolah St. Andrew’s Mission, Cik Hafizah Hamzah, pula menambah:
“Ibu bapa boleh anggap kami sebagai rakan sekutu dan mengukuhkan strategi pengajaran di rumah untuk mewujudkan persekitaran pengajaran konsisten untuk kanak-kanak.
“Pada masa yang sama, kami mungkin memerlukan lebih banyak latihan berterusan, akses kepada sumber dan sokongan emosi untuk menepati tuntutan pekerjaan dalam jangka masa panjang.”
Cik Phua menekankan kepentingan menyediakan sokongan seperti kaunseling peribadi, menjadualkan kegiatan bagi menenangkan diri seperti senaman yoga dan juga kegiatan yang dapat memberi ganjaran.
Tugas guru pendidikan khas juga boleh dihargai dengan kerjasama ibu bapa dalam membantu memperkasa kebolehan anak-anak ini.
Cik Phua menambah: “Penting bagi ibu bapa menganggap diri mereka sebagai rakan kongsi yang dapat bekerjasama dalam kemajuan anak mereka, dan bukannya ‘pelanggan’ yang tuntutannya perlu dipenuhi.
“Justeru, ini akan mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong dan kurang menimbulkan tekanan untuk pendidik kami.”
Cik Nurazlina yang sudah mengajar di Sekolah Pathlight sejak 2008 pula berkata:
“Saya harap akan ada kesedaran dan penghayatan yang lebih mendalam tentang kerumitan dan kesan positif tugas kami dan pengiktirafan masyarakat yang lebih besar terhadap nilai tugas kami.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg