Meskipun Singapura telah mencatat kemajuan dalam mewujudkan masyarakat terangkum, lebih banyak usaha masih diperlukan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanak-kanak berkeperluan khas.
Ini amat penting, dalam usaha membina budaya prihatin dan mengambil peduli, yang memerlukan orang awam memberi perhatian dan bertindak dengan bijak apabila melihat seorang kanak-kanak sedemikian bersendirian.
Demikian kata Pengarah Tink It! Learning Loft, Dr Siti Mariam Mohd Hariht.
Beliau memberi komen itu susulan kematian seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Allahyarham Muhammad Hairil Muhammad Effendi, yang mayatnya ditemui di laut Taman East Coast pada malam 30 Ogos.
Penemuan itu berlaku sehari selepas Muhammad Hairil dilaporkan hilang, dengan kali terakhir dia dilihat di kawasan Blok 29, Marine Crescent, sekitar 11.05 pagi pada 29 Ogos.
Apabila berita tentang kehilangan Muhammad Hairil mula tular, warga Singapura daripada pelbagai latar belakang menggembleng tenaga, menyebarkan butiran di media sosial dan turut serta dalam usaha mencari kanak-kanak itu.
Muhammad Hairil didiagnosis dengan autisme dan merupakan salah seorang daripada sepasang kembar.
Dr Siti Mariam menekankan bahawa kekuatan kesatuan masyarakat bukan hanya ditonjolkan semasa tragedi sahaja, bahkan dalam kehidupan harian.
“Ini seperti belajar mengenali tanda-tanda bahawa seorang anak mungkin cemas atau tersesat, membina budaya yang mengambil peduli atau lebih prihatin apabila nampak anak kecil seorang diri, dan bertanya dengan sopan jika nampak keadaan mencurigakan, walaupun sekadar, ‘Adik, tunggu mak ayah di mana?’” ujar beliau kepada Berita Harian (BH), .
Selain memerhatikan seorang kanak-kanak yang memakai lambang menandakan identiti autistik kanak-kanak tersebut, termasuk lanyard atau gelang pengenalan, pengasas bersama perkhidmatan, My Inspiring Journey (MIJ) Hub, Cik Faraliza Zainal, berkata orang awam boleh bersikap proaktif apabila bertemu kanak-kanak berkeperluan khas yang kelihatan sesat atau cemas.
Ini seperti melihat kanak-kanak tersebut dari segi renungan mata, gerak-geri dan tingkah laku.
“Saya rasa yang paling kita boleh lakukan ialah menghampiri mereka tanpa menyentuh.
“Apabila anda nampak sesuatu yang tidak kena, anda boleh segera menghubungi pihak polis. Pada masa yang sama, anda boleh pantau kanak-kanak itu dari jauh,” jelas beliau.
Sambil itu, ibu bapa kepada kanak-kanak autistik yang dihubungi BH menekankan bahawa kesedaran dan empati kekal penting untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas berasa selamat, dihormati dan diterima.
Bagi Cik Noor Shahidah Bani Fawz Mohamed, keselamatan anaknya tidak hanya bergantung pada dirinya sendiri, malah kepada kesedaran dan sikap masyarakat.
Berusia 34 tahun, beliau adalah seorang ibu kepada tiga kanak-kanak lelaki berusia lapan, enam dan lima tahun yang menghidapi autisme.
“Seringkali, orang menganggap autisme sebagai salah laku, sesuatu yang perlu ‘dibaiki’ atau ‘diubati’... Ia adalah satu neurotype, iaitu cara otak berfungsi yang berbeza.
“(Oleh itu), keselamatan anak saya tidak hanya bergantung pada saya, bahkan kepada pilihan masyarakat sama ada untuk melindungi, menghormati, dan menghargai kanak-kanak seperti dia,” ujar beliau.
Menukil tentang salah tanggapan terhadap autisme, Encik Noorhaadi Kamil, akur bahawa masyarakat masih sukar memahami keperluan kanak-kanak autisme, dengan hanya sekitar 1 hingga 2 peratus yang pernah berinteraksi atau mempunyai sedikit pengetahuan tentang autisme.
Bapa empat anak itu berkongsi anak sulungnya menghidap autisme.
“Masyarakat masih sukar memahami tindak-tanduk kanak-kanak autisme dalam sekitaran sosial, tetapi ia agak sukar untuk dibendung ke arah yang positif kerana ramai masih kurang pengetahuan tentang masyarakat autisme.
“Walaupun begitu, salah itu bukan dengan masyarakat, tetapi dengan cara pemikiran individu terhadap masyarakat berkeperluan khas,” jelas beliau.
Meskipun cabaran tersebut wujud, bantuan orang awam amat penting dalam membantu ketika berlaku keadaan terdesak atau apabila anak menjadi cemas di tempat awam.
“Walaupun mereka tidak biasa dengan autisme, ia amat membantu sekiranya orang tidak berpaling, sebaliknya kekal hadir dan peka sekiranya kanak-kanak itu cuba melarikan diri, serta sedia membantu sebelum kanak-kanak itu hilang dari pandangan,” kongsi Cik Nurul Indriati Darni.
Ibu lima anak itu berkongsi anak ketiganya menghidap autisme.
“
“Saya rasa yang paling kita boleh lakukan ialah menghampiri mereka tanpa menyentuh. Apabila anda nampak sesuatu yang tidak kena, anda boleh segera menghubungi pihak polis. Pada masa yang sama, anda boleh pantau kanak-kanak itu dari jauh.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg