Topik diikuti
Pergi ke BHkuSistem penggajian masjid, madrasah digodam
Sistem penggajian masjid, madrasah digodam
Sistem penggajian bagi masjid dan madrasah yang diselia oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah digodam.
Dalam emelnya kepada Berita Harian, jurucakap MUIS mengesahkan berlakunya insiden siber keselamatan melibatkan sistem pengurusan sumber manusia (HRMS) yang dikendalikan oleh Avelogic Pte Ltd, sebuah syarikat perisian yang berpangkalan di Singapura.
Namun MUIS enggan menyatakan sekiranya sistem itu telah ditahan bagi wang tebusan.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan organisasi yang terjejas, Avelogic dan pihak berkuasa berkaitan mengenai tindakan susulan yang perlu diambil,” kata jurucakap MUIS itu dalam emelnya itu pada 15 September.
“Insiden ini tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam atau perkhidmatan pemerintah. Langkah-langkah kesinambungan perniagaan telah dilaksanakan bagi menyokong fungsi penting sumber manusia dan penggajian, manakala kakitangan yang terjejas diberikan panduan serta sokongan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
MUIS enggan mendedahkan bilangan masjid dan madrasah yang terjejas, serta jenis maklumat sensitif – termasuk aset yang diuruskan dan butiran kakitangan – yang telah terdedah.
Ia juga enggan mendedahkan sama ada wang tebusan telah dibayar atau sama ada data telah berjaya dipulihkan, dengan berkata siasatan masih sedang dijalankan.
Menurut laporan The Straits Times, sistem yang terjejas itu dipercayai mengandungi maklumat sensitif kakitangan di berpuluh-puluh masjid dan madrasah, termasuk nama, butiran hubungan, gaji serta nombor akaun bank mereka.
Sistem HRMS dibekalkan kepada masjid dan madrasah oleh Mosque-Madrasah-Wakaf Shared Services, iaitu sebuah jawatankuasa di bawah naungan MUIS.
Terdapat 72 buah masjid di Singapura.
Dalam serangan perisian tebusan, penggodam sama ada mencuri data dan mengancam untuk mendedahkannya kepada umum, atau mengunci data yang terjejas dengan menyulitkannya, sekali gus mengganggu operasi.
Mangsa diminta membayar wang tebusan, sama ada untuk mengelakkan data sensitif mereka daripada didedahkan kepada umum atau untuk membuka semula pangkalan data supaya operasi dapat diteruskan.
