Ketika usianya tiga tahun, Encik Afeef Ikhwan Mohammad Ariffin, masih belum mampu menyebut perkataan mudah.
Kebimbangan yang dirasakan mendorong ibu bapanya membawa beliau menjalani sesi penilaian di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), dengan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan beliau menghidap autisme berfungsi tinggi.
Walaupun pengesanan doktor itu mencetus kerisauan, keluarganya bertindak pantas.
Mereka segera mengusahakan proses campur tangan awal melalui terapi pertuturan dan cara kerja.
Ibunya, Cik Melati Muhaiyah, 49 tahun, seorang guru, pula menjadi tonggak utama yang sabar mendidik anaknya di rumah dengan kad imbas dan bimbingan berterusan.
“Proses campur tangan awal benar-benar membantu anak saya. Ia membuka ruang untuk dia belajar kemahiran asas dan menyesuaikan diri dengan lebih baik,” ujar Cik Melati.
Usaha berterusan itu membuahkan hasil.
Sepanjang zaman persekolahan, Encik Afeef, anak sulung empat beradik, berdepan cabaran, khususnya dalam memahami isyarat sosial orang lain dan menyesuaikan diri dalam kumpulan besar.
Namun, sokongan keluarga secara tekal menjadikan beliau lebih berdikari dan mampu mengawal tekanan.
Menurut Encik Afeef, kanak-kanak berkeperluan khas sering melihat dunia dengan cara berbeza kerana keupayaan mereka memahami dan mengolah maklumat.
“Saya belajar untuk menerima perbezaan diri saya, sambil membina kekuatan daripada cabaran,” katanya.
Kini, pada usia 22 tahun, beliau merupakan mahasiswa tahun kedua jurusan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang menjadikan pengalaman peribadi sebagai pemangkin menyumbang semula kepada masyarakat.
Sewaktu di tahun pertama di NUS, beliau menyertai NUS Mekar, satu inisiatif di bawah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS), yang memberi tumpuan kepada program kesedaran tentang autisme dan keperluan khas.
Sebagai ahli jawatankuasa NUS Mekar, Encik Afeef mendapat peluang berinteraksi dalam kelompok pergaulan lebih luas, sekali gus membina keyakinan dirinya.
Beliau turut melibatkan diri secara sukarela di pertubuhan tidak mengaut untung, MIJ Hub, sambil membantu kanak-kanak dan remaja autistik.
“Dengan cara ini, saya dapat menyumbang kembali kepada masyarakat, terutama kepada mereka yang melalui pengalaman serupa dengan saya,” jelasnya.
Bagi Encik Afeef, kisah hidupnya menjadi bukti kuasa transformasi dek proses campur tangan awal.
Cik Melati pula menekankan mendapatkan bantuan bukanlah sesuatu yang memalukan.
“Kalau kami tidak bertindak awal, saya rasa Afeef mungkin tidak berada di tahap yang beliau capai hari ini.
“Apabila seseorang dikesan dengan kondisi seperti ini, ia bukan penamat, malah ia permulaan untuk membantu anak ini bersedia menghadapi kehidupan.
“Jangan takut untuk mendapatkan bantuan. Ia bukan tanda kelemahan, tetapi usaha untuk memastikan anak-anak mendapat peluang terbaik,” pesannya.
Namun, perjalanan keluarga Encik Afeef tidak mudah.
Ini kerana dalam masyarakat Melayu, stigma terhadap autisme masih wujud, dengan kanak-kanak autistik dilabel nakal kerana tingkah laku mereka yang berbeza.
Tekanan sebegini menyebabkan sesetengah keluarga memilih untuk berdiam diri atau menangguhkan rawatan lanjutan kerana bimbang dengan tanggapan masyarakat, kongsi Cik Melati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg