Topik diikuti
Pergi ke BHkuSIT lancar sekolah baharu bagi pekerja dewasa tingkat kemahiran, tukar kerjaya
SIT lancar sekolah baharu bagi pekerja dewasa tingkat kemahiran, tukar kerjaya
Pekerja dewasa yang mahu meningkatkan kemahiran atau menukar kerjaya kini mempunyai satu lagi saluran sokongan. Institut Teknologi Singapura (SIT) menubuhkan sebuah sekolah baharu pada 1 September bagi membantu mereka mengharungi kehidupan bekerja.
Sekolah Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pembangunan Kerjaya SIT, atau SITLearn, akan membantu individu menilai kemahiran sedia ada, memperoleh pengetahuan dan menangani peralihan kerjaya, di samping menghubungkan mereka dengan bakal majikan.
Sekolah itu akan menawarkan kursus yang dibangunkan bersama rakan industri untuk melengkapi pekerja dengan kemahiran dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI) dan operasi pusat data yang mampan.
Pekerja dewasa juga boleh mendapatkan bimbingan kerjaya untuk mengenal pasti jurang kemahiran dan merancang langkah kerjaya seterusnya.
Presiden SIT, Profesor Chua Kee Chaing, berkata sekolah baharu itu ditubuhkan ketika AI mengubah bentuk pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakannya.
Memetik unjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF), Profesor Chua berkata pada majlis konvokesyen SIT pada 12 Oktober bahawa hampir empat daripada 10 kemahiran yang digunakan di tempat kerja hari ini dijangka berubah atau menjadi ketinggalan zaman menjelang 2030.
Apabila laluan kerjaya semakin sukar diramal, universiti juga mesti memikirkan semula peranannya dalam menyediakan orang ramai untuk dunia pekerjaan, katanya.
“Jika kerjaya tidak lagi mengikut satu laluan yang boleh diramal, pendidikan juga tidak boleh begitu. Sesebuah universiti tidak boleh sekadar menyediakan anda untuk pekerjaan pertama lalu menganggap tugasnya selesai,” ujarnya lagi.
SITLearn juga akan bekerjasama dengan syarikat untuk mengenal pasti jurang kemahiran, membangunkan program latihan yang disasarkan dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan bagi transformasi perniagaan.
Sebuah hab SITLearn khusus sedang dibangunkan di kampus SIT di Punggol dan disasarkan dibuka pada separuh pertama 2027.
Timbalan presiden SIT dan dekan SITLearn, Encik Bernard Nee, berkata sekolah baharu itu ditubuhkan sebagai tindak balas terhadap permintaan tenaga kerja yang berubah dan jangka hayat kemahiran yang semakin singkat.
Program yang dibangunkan bersama industri termasuk program oleh syarikat perunding AI, Straits Interactive, untuk membantu pekerja dan syarikat menggunakan AI secara bertanggungjawab.
Program itu merangkumi bidang seperti tadbir urus AI, pengurusan risiko dan perlindungan data.
Penubuhan SITLearn juga menyokong peralihan ke arah ekonomi berasaskan kemahiran, kata Encik Nee.
Dalam ekonomi sebegini, kemahiran yang diperoleh melalui pengalaman kerja dan projek mendapat pengiktirafan lebih besar, bukan hanya kelayakan formal. Kemahiran itu semakin boleh mempengaruhi pengambilan pekerja, kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya.
SITLearn juga bekerjasama dengan Nxera, perniagaan pusat data Singtel, untuk melengkapkan profesional dengan kemahiran dalam operasi pusat data yang mampan, termasuk pengurusan tenaga dan sistem penyejukan.
Yuran kursus di SITLearn, yang kini menawarkan lebih 500 kursus, berbeza-beza. Kursus profesional dua hari berharga kira-kira $1,700 sebelum subsidi, manakala program yang lebih panjang mungkin berharga sekitar $10,000.
Rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) yang layak boleh menggunakan subsidi pemerintah untuk mengurangkan kos.