Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SJI atasi Madrasah Aljunied; muncul juara Bahas 4PM 2024

Mar 2, 2024 | 6:02 PM
Institusi St. Joseph (SJI) yang diwakili (dari kiri) Amir Hamza Shahbudin, Ariel Aiman Noorisman, Gerald Aurelius Panenthe dan Mario Sebastian merupakan pemenang pertandingan Bahas 4PM 2024.
Institusi St. Joseph (SJI) yang diwakili (dari kiri) Amir Hamza Shahbudin, Ariel Aiman Noorisman, Gerald Aurelius Panenthe dan Mario Sebastian merupakan pemenang pertandingan Bahas 4PM 2024. - Foto EYERIS STUDIOS

Institusi St. Joseph (SJI) muncul juara keseluruhan Bahas 4PM tahun ini.

SJI yang diwakili Ariel Aiman Noorisman, Amir Hamza Shahbudin, Mario Sebastian dan Gerald Aurelius Panenthe berjaya mengatasi lawan mereka dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Anis Madihah Mohamed Hafiz, Arinal Haque Muhammad Zuhal, Muhammad Suhail Sulaiman dan Darwisy Hashim di pusingan akhir yang berlangsung di Auditorium SingPost pada 2 Mac.

Sebanyak 22 pasukan dari 21 sekolah menengah telah menyertai pertandingan Bahas 4PM 2024.

Selepas pembahasan yang sengit mengenai topik, Pelaburan dalam sukan di Singapura bukanlah sia-sia semata-mata, akhirnya SJI yang merupakan pihak pembangkang berjaya meyakinkan anggota panel penilaian dengan penyampaian mereka.

Kemenangan SJI ke atas Madrasah Aljunied Al-Islamiah, yang merupakan pihak pencadang, bermakna pasukan juara itu membawa pulang Piala Cabaran Izzuddin Taherally selain baucar bernilai $100 setiap seorang.

Sementara itu, pasukan pembahas Madrasah Aljunied Al-Islamiah pula membawa pulang baucar bernilai $80 setiap seorang.

Pasukan SJI yang ditemui melahirkan penghargaan kepada guru-guru dan rakan sekolah mereka.

“Kemenangan ini datang daripada pelbagai usaha, bukan sahaja daripada kami bahkan juga guru-guru dan rakan- rakan yang membantu kami buat kajian dan sebagainya,” kata Amir Hamza.

Rakan sepasukannya, Ariel Aiman, berjaya menerima anugerah pembahas terbaik dalam kesemua pusingan (awal, suku akhir, separuh akhir, akhir) dan turut merangkul pembahas keseluruhan terbaik pertandingan itu.

“Sebenarnya saya tidak percaya saya mampu mendapatkan anugerah ini. Ini kerana pada pendapat saya ada pelajar yang setaraf atau lebih baik daripada saya semasa penyampaian mereka,” kata beliau.

“Terima kasih kepada guru-guru saya yang telah menyokong saya secara keseluruhan dari segi persiapan. Tanpa bantuan mereka saya tidak akan dapat menerima anugerah ini,” tambah beliau.

(Dari kiri) Pengerusi Akademi Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat; Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain; pemenang pembahas terbaik, Ariel Aiman Noorisman; dan tetamu terhormat, Anggota Parlimen, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, bergambar semasa majlis penyampaian anugerah pertandingan itu.
(Dari kiri) Pengerusi Akademi Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM), Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat; Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain; pemenang pembahas terbaik, Ariel Aiman Noorisman; dan tetamu terhormat, Anggota Parlimen, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, bergambar semasa majlis penyampaian anugerah pertandingan itu. - Foto EYERIS STUDIOS

Bagi pihak Madrasah Aljunied Al-Islamiah, guru mereka, Cik Nurhayati Ahwan, menyifatkan peningkatan pelajar-pelajar beliau sebagai pencapaian yang cukup besar.

“Saya beritahu pelajar saya bahawa untuk sampai ke peringkat akhir pertandingan ini juga merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Tidak mudah untuk capai ke tahap ini,” kata guru tersebut.

“Tidak kira apa keputusannya, saya amat berbangga dengan pencapaian mereka selama ini,” tambah beliau.

Tetamu terhormat acara itu, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar (Kolam Ayer) juga melahirkan kepuasan beliau terhadap tahap kemahiran yang ditunjukkan semasa pertandingan tersebut.

“Saya amat gembira melihat prestasi bahas yang sangat baik daripada pelajar-pelajar kami,” kata beliau.

“Amat penting untuk memberi satu landasan di mana mereka dapat terus berbincang dan berkomunikasi secara yakin. Saya harap kita dapat teruskan legasi bahas ini,” tambah beliau.

Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat, juga melahirkan kekaguman beliau terhadap para peserta Bahas 4PM pada 2024.

“Prestasi dalam pertandingan ini memang cemerlang, mereka dapat membentangkan isu dengan bahasa baku yang hebat sekali, menggunakan frasa berbunga, peribahasa dan pantun-pantun pada masa yang sesuai,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg