Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SkillsFuture perketat kriteria kursus yang dibiayainya menjelang 2026

Nov 23, 2024 | 10:13 PM
Mulai 1 Januari 2025, kursus yang dijadualkan untuk pembaharuan mesti mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus kadar kehadiran pelajar, dan memastikan kursus mereka relevan dengan keperluan industri.
Mulai 1 Januari 2025, kursus yang dijadualkan untuk pembaharuan mesti mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus kadar kehadiran pelajar, dan memastikan kursus mereka relevan dengan keperluan industri. - Foto ZAOBAO

SkillsFuture Singapura (SSG) sedang menyemak kursus latihan yang mempunyai penilaian rendah dan dikenakan piawaian lebih tinggi sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan mutu program sedemikian.

SSG akan menggantung kursus sebegitu untuk sekurang-kurangnya tiga bulan, dan sepanjang tempoh tersebut, penyedia latihan tidak dibenarkan memasarkan atau menerima pelajar baru. 

Mereka juga perlu membuktikan bahawa kursus mereka telah dipertingkatkan sebelum dimasukkan semula dalam direktori kursus SkillsFuture.

Langkah baru ini, yang telah dikuatkuasakan sejak Oktober, adalah antara langkah yang akan dilaksanakan oleh SSG secara progresif menjelang 2026 untuk meningkatkan kualiti kursus.

Mulai 1 Januari 2025, kursus yang dijadualkan untuk pembaharuan mesti memenuhi kriteria baru - termasuk mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus kadar kehadiran pelajar, dan memastikan kursus mereka relevan dengan keperluan industri.

Menjelang Jun 2026, kursus yang dibiayai SSG juga perlu mencapai sekurang-kurangnya 75 peratus kadar maklum balas dalam tinjauan peserta, dan tidak boleh berada dalam kategori kursus dengan kualiti paling rendah, kata Cik Angela Tan, pengarah kumpulan regulasi dan kualiti SSG, dalam temubual bersama The Straits Times.

Cik Tan berkata, langkah baru ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SSG untuk memperkukuh mutu kursus.

Terdapat lebih daripada 29,000 kursus SkillsFuture yang ditawarkan oleh lebih 600 penyedia latihan, dan pada 2023, sebanyak 520,000 peserta telah menyertai program latihan yang disokong SSG, dan sekitar 200,000 daripada mereka adalah pekerja pertengahan kerjaya (mid-career).

Sebelum ini, kriteria pembaharuan kursus termasuk menunjukkan aktiviti semasa tempoh sah mereka, seperti mengeluarkan sijil latihan atau membuat tuntutan bayaran.

Sejak Oktober, kursus yang gagal memenuhi keperluan tertentu akan digantung, kata Cik Tan.

Kursus dengan penilaian kualiti terendah dalam tinjauan TRAQOM (Pengukuran Hasil Kualiti Latihan) akan dikeluarkan dari direktori kursus sebelum tamat tarikh ia dijadualkan untuk pembaharuan, tambah Cik Tan.

Tinjauan TRAQOM mengandungi 30 soalan maklum balas mengenai kepuasan peserta terhadap kursus tersebut.

Penyedia latihan yang mendapat penilaian rendah buat sesuatu kursus akan diberi tempoh tiga bulan untuk menghentikan pemasaran dan penerimaan peserta baru untuk kursus tersebut, serta menyelesaikan program bagi peserta yang sudah mendaftar sebelum itu, kata Cik Tan.

Selepas itu, mereka perlu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk membuat penambahbaikan sebelum dibenarkan untuk memohon kepada SSG untuk memasukkan kursus mereka semula ke dalam direktori SkillsFuture.

Sejak November 2023, SSG telah menilai 170 penyedia latihan, dengan fokus pada kualiti latihan, sokongan pentadbiran, dan penilaian kursus.

Sekitar 25 penyedia latihan telah digantung atau menarik diri, disebabkan prestasi yang lemah.

Penyedia yang gagal memenuhi piawaian akan dikeluarkan dari pendaftaran SSG, dan boleh memohon semula selepas 12 bulan.

Nama penyedia latihan yang telah dikeluarkan boleh didapati di Training Partners Gateway, sebuah laman web yang menawarkan perkhidmatan digital buat penyedia latihan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg