Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SkillsFuture, SIT rintis inisiatif bantu pekerja, majikan nilai kemahiran

PM Wong: Sejajar usaha pemerintah perkukuh ekosistem penilaian kemahiran di tengah-tengah landskap pekerjaan yang berubah
Sep 16, 2025 | 8:52 PM
PM Wong, SkillsFuture, SIT, pekerja, majikan nilai kemahiran
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), diberi taklimat semasa meninjau kampus Institut Teknologi Singapura (SIT) baru yang terletak di Daerah Digital Punggol (PDD) sebelum majlis pembukaan kampus baru tersebut pada 16 September. Bersama beliau adalah Presiden SIT, Profesor Chua Kee Chaing (kanan). - Foto ST

SkillsFuture Singapura (SSG) akan bekerjasama dengan Institut Teknologi Singapura (SIT) untuk membantu lebih ramai pekerja dan majikan menilai kemahiran mereka serta mengenal pasti pilihan untuk meningkatkan kemahiran, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Ia sejajar dengan usaha pemerintah untuk memperkukuh ekosistem penilaian kemahiran di tengah-tengah landskap pekerjaan yang berubah.

SSG dan SIT akan merintis inisiatif baru bagi pengesahan dan penilaian kemahiran dengan beberapa majikan, meliputi kemahiran asas dan berkaitan kecerdasan buatan (AI), umum Encik Wong semasa berucap di majlis pembukaan kampus SIT yang baru di Daerah Digital Punggol (PDD) pada 16 September.

Menurut satu kenyataan oleh SIT, universiti itu akan melancarkan inisiatif penilaian kemahiran dalam talian bagi kemahiran berkaitan AI dan kecekapan merentas bidang seperti huraian masalah dan komunikasi berkesan mulai Oktober 2025.

Antara syarikat yang akan membuat langkah pertama melaksanakan penilaian tersebut ialah syarikat telekomunikasi StarHub Ltd dan syarikat sektor pembuatan, Cragar Industries Pte Ltd.

Mereka akan menilai dan meningkatkan kecekapan teknikal tenaga kerja mereka, dengan fokus khusus pada kemahiran berkaitan AI.

“Penilaian ini akan membolehkan syarikat menilai dan memahami set kemahiran pekerja mereka, mendapatkan gambaran jelas mengenai tahap kemahiran kakitangan dan membantu pengurus pengambilan pekerja membuat keputusan dengan lebih yakin.

“Ini serta menyokong pekerja dalam usaha meningkatkan kemahiran dan perkembangan kerjaya mereka,” ujar SIT dalam kenyataan itu.

Dalam ucapannya, Encik Wong menjelaskan bahawa walaupun pekerja memperoleh kemahiran melalui pelbagai cara, masih tiada rangka kerja yang boleh dipercayai untuk mengesahkan kemahiran mereka.

“Ramai rakyat Singapura memperoleh kemahiran melalui pelbagai saluran, sama ada melalui kursus pendek, latihan di tempat kerja, atau bahkan melalui pengalaman hidup.

“Tetapi belum ada cara yang baik untuk menilai dan mengesahkan kecekapan ini. Majikan juga mungkin kekurangan rangka kerja yang boleh dipercayai untuk mengenal pasti,” ujar Encik Wong.

“Justeru, inisiatif ini dapat membantu lebih ramai pekerja dan majikan menilai, mengiktiraf dan mengesahkan kemahiran mereka, serta merancang pilihan untuk meningkatkan kemahiran.”

Inisiatif ini merupakan antara usaha universiti itu menjadikan kampusnya sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat yang bertenaga, menurut Encik Wong.

Dalam hal ini, SIT merupakan rakan kongsi utama dalam usaha nasional untuk latihan dan pendidikan berterusan.

“(Ia) membolehkan para pelajar dewasa meningkatkan kemahiran sedia ada dan mempelajari kemahiran baru sambil menyeimbangkan tanggungjawab kerja dan keluarga,” ujar beliau.

Kampus SIT baru itu akan menjadi tunjang bagi PDD sebagai tapak ujian berskala perbandaran pertama di Singapura, di mana syarikat boleh mengeksperimen, memperhalusi dan mengembangkan huraian dalam bidang seperti infrastruktur bandar pintar, robotik, AI, keselamatan siber kuantum, dan kemampanan.

Ia juga dilengkapi dengan wadah baru iaitu Platform Perkhidmatan Inovasi (IaaS), yang syarikat kecil dan sederhana (SME) serta syarikat pemula boleh mengakses sumber dan kepakaran untuk membangunkan huraian bersama pelajar.

Mengulas lebih lanjut tentang IaaS, Presiden SIT, Profesor Chua Kee Chaing, berkongsi universiti itu berpeluang memberi huraian yang lebih menyeluruh kepada syarikat dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber daripada seluruh ekosistem rakan kongsi SIT.

“Jika kami dapat mewakili syarikat itu untuk memanfaatkan kepakaran dan sumber daripada seluruh ekosistem rakan kongsi kami, kami mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk memastikan kami dapat menyampaikan huraian menyeluruh kepada syarikat tersebut,” ujar beliau semasa ditemui media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg