Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim pemulangan bekas minuman ditangguh setahun lagi

Aug 1, 2024 | 3:37 PM
Di bawah skim itu, pengguna perlu membayar deposit 10 sen bagi setiap bekas minuman botol plastik atau tin logam yang dibeli. Ia akan dikembalikan apabila bekas minuman kosong dipulangkan.
Di bawah skim itu, pengguna perlu membayar deposit 10 sen bagi setiap bekas minuman botol plastik atau tin logam yang dibeli. Ia akan dikembalikan apabila bekas minuman kosong dipulangkan. - Foto ST

Pelancaran satu skim pemulangan bekas minuman kosong untuk dikitar semula akan ditangguhkan setahun lagi.

Di bawah skim itu, pengguna perlu membayar deposit 10 sen bagi setiap bekas minuman botol plastik atau tin logam yang dibeli mulai satu tarikh baru – 1 April 2026.

Skim tersebut ditangguhkan atas permintaan pengeluar minuman, yang memerlukan masa tambahan untuk membuat penyesuaian dan mengendali skim tersebut, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media pada 31 Julai.

Skim Pemulangan Bekas Minuman (BCRS) itu, yang bertujuan mengurus sisa bungkusan di Singapura, dijadual bermula pada 1 April 2025.

Ia kini akan dilancarkan setahun kemudian pada 1 April 2026, kata NEA.

Skim tersebut pertama kali diumumkan pada September 2022.

Bayaran deposit 10 sen itu dikenakan ke atas harga bekas minuman antara 150 mililiter dengan tiga liter.

Deposit itu akan dikembalikan sepenuhnya apabila bekas minuman kosong dipulangkan di tempat pemulangan yang ditetapkan.

Skim itu akan dilaksanakan selama tujuh tahun, dari 1 April 2026 hingga 31 Mac 2033, selaras dengan tempoh lesen yang diberikan, lapor The Straits Times (ST).

Lebih 1,000 tempat pemulangan bekas minuman akan disediakan di pasar raya dan kawasan lain untuk kemudahan orang ramai dan sekali gus meningkatkan kadar pemulangan dan usaha mengitar semula bekas minuman kosong.

NEA menyasar mencapai kadar pemulangan 80 peratus bekas minuman pada 2029, iaitu tahun ketiga skim itu dilaksanakan.

Ini bermakna daripada anggaran satu bilion bekas minuman yang dikeluarkan ke pasaran setiap tahun, sekitar 800 juta bekas minuman dijangka dikembalikan untuk dikitar semula.

Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, dalam satu sesi perbincangan di Forum Tadbir Urus Iklim yang pertama di Singapura anjuran Institut Pengarah Singapura (SID) pada 31 Julai, berkata:

“Kami berharap (daya usaha) ini juga akan membantu memupuk budaya kitar semula dalam kalangan orang ramai, dan mengalihkan bahan kitar semula sangat berharga ini daripada loji pembakaran dan tapak pelupusan sampah kita.”

Syarikat Beverage Container Return Scheme Ltd (BCRS Ltd), sebuah syarikat bukan mencari untung yang dibentuk oleh satu konsortium pengeluar minuman terdiri daripada Coca-Cola Singapore Beverages, F&N Foods dan Pokka, akan menyelia proses mengumpul dan mengitar semula bekas minuman itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg