Topic followed successfully
Go to BHkuSkim pulang bekas minuman S’pura bermula, tapi bekas dengan pelekat tanda deposit sukar ditemui
Skim pulang bekas minuman S’pura bermula, tapi bekas dengan pelekat tanda deposit sukar ditemui
Skim pulang bekas minuman S’pura bermula, tapi bekas dengan pelekat tanda deposit sukar ditemui
Satu skim untuk menggalak orang ramai mengitar semula botol dan tin minuman dengan memulangkannya ke dalam mesin layan diri telah bermula pada 1 April.
Namun, berdasarkan tinjauan, tiada bekas minuman yang layak dipulangkan ditemui di pasaran.
Di bawah skim pemulangan bekas minuman, pengguna perlu membayar deposit 10 sen bagi minuman botol dan tin bersaiz antara 150 milimeter dengan 3 liter.
Bekas minuman tersebut perlu mempunyai tanda deposit, yang merangkumi logo bulat dengan perkataan ‘10c SG Return’ yang dilekatkan padanya.
Deposit tersebut akan dikembalikan kepada pelanggan melalui kad EZ-Link atau dompet digital DBS PayLah! selepas mereka memulangkan bekas tersebut di lebih 1,000 mesin yang diletakkan di serata negara.
Hanya bekas dengan pelekat tanda deposit sahaja boleh dipulangkan melalui mesin tersebut.
Menurut tinjauan The Straits Times (ST) di 11 pasar raya, pusat makan dan kedai – termasuk AMK Hub, Pasar dan Pusat Makan Mayflower serta Parkway Parade – mendapati tiada satu pun bekas minuman dengan tanda deposit Singapura dijual.
Namun, logo bagi skim serupa dari luar negara kelihatan pada beberapa bekas minuman termasuk air botol Evian, jus Snapple dan air kelapa dalam tin.
Bekas itu tidak boleh dipulangkan melalui mesin layan diri tersebut.
Pemilik gerai minuman yang ditemui ST berkata mereka tidak akan mengenakan caj tambahan 10 sen bagi bekas yang tidak mempunyai tanda deposit Singapura.
Pasar raya juga didapati tidak mengenakan deposit 10 sen kepada para pelanggan.
Meskipun begitu, orang ramai dilihat cuba memulangkan bekas tanpa tanda deposit ke dalam mesin tersebut.
Apabila ditanya mengenai ketersediaan bekas minuman yang boleh dipulangkan melalui skim itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) merujuk ST kepada hantaran Facebook mereka pada petang 1 April, yang menyatakan:
“Bekas minuman dengan tanda deposit akan mula berada di rak-rak peruncit secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang.”
Agensi tersebut menambah, para duta telah ditempatkan di mesin terpilih untuk membantu penduduk dan membimbing mereka melalui proses pemulangan tersebut.
Ketiadaan bekas minuman dengan tanda deposit di pasaran bukan sesuatu yang tidak dijangka.
Pada Januari, NEA mengumumkan tempoh peralihan selama enam bulan antara April dengan 30 September bagi pengeluar dan pengimport minuman untuk menghabiskan bekalan sedia ada yang tidak mempunyai tanda deposit.
Ini bermakna, kebanyakan bekas minuman yang layak untuk bayaran balik 10 sen itu berkemungkinan besar hanya akan mula dijual menjelang akhir tempoh peralihan tersebut, iaitu sekitar Ogos, jelas NEA sebelum ini.
Skim tersebut, yang kali pertama diumumkan pada 2020, bertujuan meningkatkan kadar kitar semula domestik Singapura, melalui pengumpulan botol plastik dan tin bersih.
Kadar kitar semula isi rumah Singapura pada 2024 merosot ke tahap paling rendah iaitu 11 peratus.
Secara keseluruhan, hanya 5 peratus daripada sisa plastik Singapura dikitar semula.
NEA menyasarkan pemulangan 60 peratus botol dan tin di pasaran dalam tahun pertama pelaksanaan skim itu.
Dalam tempoh tiga tahun pula, matlamatnya adalah mencapai kadar pemulangan sebanyak 80 peratus.

