Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkim subsidi jerebu: Ramai belum sedar dapat manfaat rawatan murah
Skim subsidi jerebu: Ramai belum sedar dapat manfaat rawatan murah
Segelintir warga Singapura masih belum menyedari bahawa mereka boleh memanfaatkan Skim Subsisdi Jerebu (HSS) bagi merawat penyakit berkaitan jerebu, menurut beberapa doktor keluarga yang dihubungi Berita Harian (BH).
Jenis penyakit di bawah skim ini termasuk alahan rinitis (allergic rhinitis), semput, bronkitis, konjunktivitis, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), jangkitan saluran pernafasan atas, serta komplikasi berkaitan.
Pakar perubatan yang dihubungi menasihati pesakit supaya menyemak kriteria kelayakan dan menelefon klinik terlebih dahulu untuk memastikan sama ada mereka menawarkan skim subsidi jerebu tersebut.
Skim itu, yang mula berkuat kuasa pada 12 Oktober, boleh didapati di klinik di bawah skim Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) serta semua poliklinik, dan pesakit warga Singapura yang layak perlu membayar antara $5 hingga $10.
Kali terakhir HSS diaktifkan ialah pada 2015, berdasarkan laman web rasmi kesihatan pemerintah, healthhub.sg.
Sekitar 77,000 rakyat Singapura telah mendapat manfaat daripada skim itu pada 2015, berbanding 17,000 orang pada 2013 apabila skim tersebut kali pertama diperkenal.
Dr Amir Adhha Abdullah, doktor keluarga di Klinik Perubatan Ar-Raudhah di Bukit Batok, berkongsi bahawa beliau telah merawat empat hingga lima pesakit sehari bagi masalah kesihatan berkaitan jerebu sejak skim itu dikuatkuasakan.
“Skim ini amat berguna terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan tambahan kerana kos yang berpatutan ini membolehkan lebih ramai pesakit tampil mendapatkan rawatan perubatan berkenaan jerebu,” kata Dr Amir.
Memberi contoh, beliau berkongsi telah merawat seorang kanak-kanak yang mengalami demam tinggi ekoran keadaan jerebu teruk pada 2015.
“Apabila saya memberitahu ibu kepada anak itu bahawa kos rawatan hanya berharga $10, ibu itu tanya jika saya boleh merawat tiga lagi anaknya yang menunggu di luar bilik pemeriksaan.
“Ibu itu kata beliau hanya mampu untuk membayar rawatan bagi satu anak tapi kerana terdapat subsidi ini, beliau boleh membayar kos untuk anak-anak yang lain.
“Itu membuat saya sedar betapa bagusnya skim HSS ini,” ujar Dr Amir.
Selain itu, Dr Elly Sabrina Ismail, pemilik Banyan Clinic, berkongsi bahawa belum ada peningkatan mendadak bagi pesakit yang datang disebabkan masalah berkaitan jerebu di kliniknya.
Menurut beliau, ini mungkin disebabkan oleh kesedaran rakyat Singapura, termasuk golongan rentan, yang sentiasa menjaga diri mereka seperti memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.
“Berdasarkan pemerhatian saya, rakyat Singapura secara umum mendengar nasihat pemerintah dan patuh dengan langkah berwaspada.
“Tetapi terdapat keadaan di mana saya perlu memaklumkan kepada pesakit yang kunjungi klinik saya bahawa mereka boleh memanfaatkan skim HSS jika saya dapati mereka layak,” kongsi Dr Elly.
Namun, beliau menasihati agar pesakit memeriksa kelayakan terdahulu.
Golongan warga Singapura yang layak memanfaatkan skim itu di klinik PHPC termasuk kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah, warga emas berumur 65 tahun dan ke atas, individu yang menerima bantuan di bawah skim Bantuan Awam (PA), Generasi Perintis (PG), Generasi Merdeka (MG), pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) berwarna biru dan jingga, serta pemegang Kad Pengecualian Bayaran Perubatan.
Dalam pada itu, mutu udara di seluruh bahagian Singapura kekal buruk pada 18 Oktober, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian barat mencecah paras tertinggi setakat ini, iaitu 230 pada 10 pagi, sebelum turun sedikit kepada 227 pada tengah hari.
Awal daripada itu, dalam satu sidang media Pasukan Bertindak Jerebu pada 16 Oktober, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata jerebu di Singapura berisiko mencapai tahap berbahaya, dengan bacaan PSI melebihi 300 dalam beberapa hari mendatang.
Namun, tempoh peralihan monsun – yang dijangka bermula dalam tempoh tiga hingga empat minggu – kemungkinan besar akan meningkatkan mutu udara, tambah Cik Fu.