Kualiti udara di seluruh bahagian Singapura kekal buruk pada 18 Oktober, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian barat mencecah paras tertinggi bagi tempoh ini, iaitu 230 pada 10 pagi, sebelum turun sedikit kepada 227 pada tengah hari.

Pada tengah hari, bacaan PSI bagi kawasan lain kekal dalam julat “tidak sihat”, iaitu antara 127 hingga 180 – menjadikan bahagian barat satu-satunya kawasan yang berada dalam kategori “sangat tidak sihat”.

Di Singapura, bacaan PSI antara 0 dengan 50 berada dalam julat baik; 51 hingga 100 sederhana; 101 hingga 200 tidak sihat; 201 hingga 300 sangat tidak sihat; dan melebihi 300 berbahaya.

Bacaan PM2.5 satu jam pula – yang diukur dalam mikrogram bagi setiap meter padu– berada dalam julat antara “meningkat” dan “normal”.

Bacaan ini digunakan sebagai ukuran mutu udara semasa, sekaligus memberikan maklumat berguna mengenai keadaan pada waktu berkenaan.

Kebanyakan kawasan mencatatkan bacaan “meningkat” pada waktu tengah hari: barat (136), tengah (65), selatan (61), dan timur (58).

Hanya kawasan utara berada dalam julat “normal” dengan bacaan 52.

Bacaan PM2.5 daripada 0 hingga 55 adalah normal, 56 hingga 150 menunjukkan kepekatan zarah halus dalam udara yang meningkat, 151 hingga 250 dianggap tinggi, dan bacaan melebihi 251 diklasifikasikan sebagai sangat tinggi.

Bacaan PM2.5 tertinggi setakat ini pada 2026 dicatatkan pada pukul 3 petang, 14 Oktober, di bahagian barat negara dengan nilai 288.

Singapura kini sedang mengalami udara yang tidak sihat selama 14 hari berturut-turut sejak 5 Oktober.

Ini merupakan tempoh berterusan kualiti udara buruk yang paling lama dialami Singapura sejak krisis jerebu pada 2015.

Pada tahun tersebut, keadaan udara yang buruk berlarutan selama 14 hari, dari 23 September hingga 7 Oktober.

Dalam nasihat jerebu harian yang dikeluarkan pada petang 17 Oktober, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) meramalkan bacaan PSI berada dalam julat antara 150 (tidak sihat) hingga 220 (sangat tidak sihat).

Hujan dijangka turun di Singapura dan kawasan sekitarnya pada 18 Oktober, menurut NEA.

“Angin diramal beralih arah dan bertiup dari arah selatan-tenggara atau selatan, yang mungkin mengurangkan pergerakan jerebu dari Kalimantan ke Singapura.

“Walau bagaimanapun, sebahagian jerebu dari Sumatra mungkin bergerak ke arah Singapura,” kata agensi tersebut.

Kata NEA lagi, lebih banyak hujan juga diramalkan berlaku di Singapura dan sebahagian kawasan Kalimantan pada 19 dan 20 Oktober.

Menurutnya, angin dijangka semakin lemah secara beransur-ansur dan bertiup dari arah tenggara atau selatan, yang mungkin dapat mengurangkan lagi pergerakan jerebu dari Kalimantan ke Singapura.