Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkim subsidi rawatan jerebu bagi warga bermula 12 Okt
Ye Kung: Keadaan berjerebu dijangka berlarutan lagi beberapa minggu
Skim subsidi rawatan jerebu bagi warga bermula 12 Okt
Rakyat Singapura yang mengalami masalah kesihatan berkaitan jerebu boleh mendapatkan rawatan bersubsidi di poliklinik dan klinik keluarga (GP) tertentu mulai 12 Oktober.
Kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah, warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, serta mereka yang memiliki kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) dan Kad Pengecualian Bayaran Perubatan tidak akan dikenakan bayaran melebihi $10 apabila mereka mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan berhubung jerebu di poliklinik dan GP yang menyertai skim Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC).
Warga emas yang memiliki kad Generasi Perintis dan Generasi Merdeka pula tidak akan dikenakan bayaran melebihi $5.
Warga yang menyertai skim Bantuan Awam menerima subsidi jagaan penuh di bawah Skim Subsidi Jerebu (HSS).
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung mengumumkan pada 11 Oktober bahawa pemerintah akan mengaktifkan kededua skim bantuan HSS dan PHPC memandangkan mutu udara kian merosot akibat jerebu rentas sempadan.
Masalah kesihatan yang boleh dirawat di dengan kadar subsidi termasuk alahan hidung, semput, bronkitis, mata merah atau konjunktivitis, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), jangkitan saluran pernafasan (URTI) dan kerumitan berhubung penyakit ini.
Bercakap kepada media semasa beliau menghadiri acara masyarakat di Bukit Canberra, Encik Ong berkata jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan bagi masalah pernafasan di jabatan kecemasan hospital dan poliklinik telah bertambah.
“Saya rasa ini bukan hanya disebabkan jerebu, tetapi juga kerana musim jerebu tahun ini berlaku serentak dengan musim selesema (Influenza A). Jadi, kedua-duanya memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Encik Ong turut menggesa orang ramai yang mengalami masalah pernafasan yang tidak serius supaya mendapatkan rawatan di klinik GP dan tidak terus mengunjungi jabatan kecemasan.
“Pergilah ke klinik. Doktor boleh merawat anda. Biarkan kemudahan jabatan kecemasan digunakan oleh mereka yang mengalami keadaan serius dan memerlukan rawatan segera,” katanya.
Sehingga pagi 11 Oktober, hampir 1,000 daripada 1,370 klinik GP dalam rangkaian PHPC telah memberikan maklum balas positif untuk menyediakan rawatan bersubsidi.
Semua rakyat Singapura layak menerima subsidi HSS di poliklinik, tanpa mengira usia atau pendapatan.
HSS diperkenalkan pada 2013 dan kali terakhir diaktifkan pada 2015, semasa krisis jerebu 2015, apabila Indeks Pencemaran Standard (PSI) mencecah 341 – kadar bahaya – pada 25 September.
Pada tahun tersebut, skim subsidi itu dilaksana dari 16 September hingga 22 November.
Mengulas mengenai keadaan jerebu kali ini, Encik Ong berkata keadaan kali ini berbeza daripada keadaan jerebu teruk pada 2015.
Walaupun tahap pencemaran kali ini belum mencapai paras tersebut, beliau berkata jerebu dijangka lebih berpanjangan.
Singapura masih berada dalam musim peralihan monsun, dengan keadaan angin dan hujan dijangka tidak banyak berubah, katanya, menambah.
“Saya rasa keadaan tidak akan bertambah baik dalam beberapa minggu akan datang. Kita harus menjangkakan keadaan sekarang mungkin berlarutan untuk beberapa waktu,” katanya.
Buat masa ini, hospital telah melaksanakan langkah berjaga-jaga, termasuk menutup tingkap di wad dan koridor, menghidupkan sistem pengudaraan serta menyediakan alat pembersih udara.