Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skuadron 142 ‘terbang tinggi’ raih anugerah SAF

Kemenangan keempat sebagai Skuadron Pejuang Terbaik selepas rangkul gelaran sama pada 2001, 2019 dan 2024
Jun 28, 2025 | 12:00 PM
 Skuadron 142, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, Skuadron Pejuang Terbaik, Pertandingan Unit Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) 2025
Pegawai Komand (CO) Skuadron 142 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, menekankan kepentingan latihan tekal bagi memastikan skuadron sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengiktiraf pencapaian cemerlang unit-unit terbaik dalam Pertandingan Unit Terbaik 2025, dengan Batalion Komando Pertama (1 CDO), RSS Indomitable daripada Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Skuadron 142 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) masing-masing muncul sebagai pemenang anugerah Unit Tempur Terbaik, Unit Keselamatan Marin Terbaik dan Skuadron Pejuang Terbaik. Berita Minggu (BM) mewawancara individu daripada unit tersebut.

Juruterbang dan pegawai sistem persenjataan mengenakan seragam juruterbang lengkap, lalu berlari dengan pantas menuju ke jet pejuang masing-masing.

Deruman enjin pesawat mengaum di landasan Pangkalan Udara Paya Lebar.

Demikian suasana yang digambarkan pada 15 Oktober 2024, apabila Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) segera mengerahkan dua jet F-15SG dari Skuadron 142 susulan ancaman bom terhadap satu penerbangan Air India Express.

Jet pejuang tersebut bergegas memintas pesawat AXB684 di ruang udara menuju ke Singapura, dari bandar selatan India, Madurai, sebelum mengiringinya dengan selamat ke Lapangan Terbang Changi.

Meskipun ancaman bom itu disahkan sebagai palsu, Pegawai Komand (CO) Skuadron 142, Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, menekankan bahawa operasi pengaktifan pertahanan udara, atau scramble seperti itu sering dilaksanakan sebagai sebahagian daripada latihan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan tertinggi sentiasa dikekalkan.

“Untuk melaksanakan misi-misi tersebut, kami perlu bersedia menghadapi spektrum ancaman yang luas – yang memerlukan latihan intensif dan konsisten.

“Kami memang kerap menjalankan latihan dan simulasi scramble, tapi ia hanyalah sebahagian daripada keseluruhan operasi yang kami jalankan,” ujar Mejar Iskandar, yang akan dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel (LTC) pada 1 Julai.

Unit tersebut telah dinobatkan sebagai Skuadron Pejuang Terbaik dalam Pertandingan Unit Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) 2025.

Mereka mengatasi empat lagi skuadron pejuang lain, termasuk Skuadron 149 yang mengendalikan pesawat F-15SG dan Skuadron 143, yang menggunakan pesawat F-16.

Pertandingan tahunan SAF yang diperkenalkan pada 1969 itu mengiktiraf unit-unit cemerlang dalam aspek kesiapsiagaan tempur, kecekapan operasi dan kecemerlangan pentadbiran.

Ini di samping satu pertandingan berasingan untuk unit Perkhidmatan Negara (NS) yang telah diperkenalkan 1993.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut bagi Skuadron 142 sejak 2024.

Ini juga kali keempat skuadron itu memenangi anugerah tersebut selepas memenanginya pada 2001 dan 2019.

Semasa sesi wawancara bersama media di Pangkalan Udara Paya Lebar, Mejar Iskandar mengaitkan kemenangan itu atas kerja keras, dedikasi dan semangat berpasukan setiap anggota skuadron.

“Pengiktirafan ini adalah bukti kepada kerja keras, budaya, dedikasi dan semangat berpasukan yang telah ditonjolkan skuadron sepanjang dua tahun lalu.

“Kesiapsiagaan sebenar menuntut kita untuk tidak pernah berpuas hati dengan keadaan sedia ada.

“Dalam skuadron kami, kami menumpukan kepada pengukuhan asas seperti disiplin, mutu yang tinggi dan kerjasama berpasukan,” katanya, yang berusia 37 tahun.

Menyifatkan kesiapsiagaan operasi sepanjang masa dan dorongan untuk terus mencabar batas kemampuan
sebagai “tidak dapat dipisahkan”, Mejar Iskandar menjelaskan bahawa kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.

Antaranya, penubuhan pasukan red team dalam Skuadron 142 untuk setiap sesi latihan yang bertanggungjawab menguji dan mencabar rancangan operasi skuadron.

“Peranan red team adalah untuk mencari kelemahan dalam rancangan kami, mencabar kami baik di darat mahupun di udara dan menilai sama ada rancangan itu mampu bertahan apabila diuji.

“(Dari situ), kami mengambil iktibar daripada pelaksanaan rancangan itu dan pasukan tersebut mendorong kami supaya terus mencabar batas keupayaan kami,” jelas Mejar Iskandar.

Skuadron tersebut turut mempunyai pasukan inovasi, yang bertugas meninjau teknologi terkini dan proses baru yang boleh membantu dalam meningkatkan kecekapan serta keberkesanan latihan dan operasi sebenar.

Dalam pada itu, Mejar Iskandar turut mengiktiraf peranan penting keluarga, yang menjadi tonggak sokongan kepada para anggota skuadron di bawah pimpinannya, yang sering berjauhan kerana tuntutan tugas.

“Sokongan daripada keluarga merekalah yang memberikan kestabilan dan ketenangan minda untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada misi serta memberikan yang terbaik setiap hari.

“Tanpa mereka, mustahil bagi kami untuk mengekalkan piawaian tinggi dan tahap kesiapsiagaan yang diharapkan daripada sebuah unit tempur barisan hadapan seperti Skuadron 142,” ujar beliau, yang sudah berumah tangga, dan merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik.

Di sebalik pengiktirafan

Pengiktirafan ini adalah bukti kepada kerja keras, budaya, dedikasi dan semangat berpasukan yang telah ditonjolkan skuadron sepanjang dua tahun lalu. Kesiapsiagaan sebenar menuntut kita untuk tidak pernah berpuas hati dengan keadaan sedia ada.  Dalam skuadron kami, kami menumpukan kepada pengukuhan asas seperti disiplin, mutu yang tinggi dan kerjasama berpasukan.
Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, Pegawai Komand (CO) Skuadron 142.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg