Keceriaan musim perayaan datang awal bagi sekumpulan penduduk Teck Ghee yang menerima hongbao daripada Anggota Parlimen (AP) mereka, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam satu acara pada 12 Januari.
Sempena Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi, Jawatankuasa Perundingan Rakyat Teck Ghee mengadakan acara sambutan untuk sekitar 500 penduduk warga emas daripada keluarga berpendapatan rendah.
Setiap daripada mereka diberi hongbao mengandungi $150, baucar pasar raya Sheng Siong $50, pati ayam dan limau.
Hadiah tersebut diagihkan dalam acara yang diadakan di Kelab Masyarakat (CC) Teck Ghee di Ang Mo Kio Avenue 10.
Tahun Baru Cina bakal disambut pada 29 dan 30 Januari ini.
Antara penduduk yang menerima habuan tersebut ialah Encik Gazali Jaafar, seorang teknisyen kawalan serangga berusia 60 tahun.
“Alhamdulillah, hongbao dan baucar yang mereka beri ini amat berguna untuk perbelanjaan barang keperluan harian di tengah-tengah kos sara hidup yang meningkat,” kata beliau, yang turut menerima bantuan beg berisi makanan keperluan, seperti beras, minyak dan makanan dalam tin, setiap bulan dari Jawatankuasa Penduduknya.
Menyusuli acara di kelab masyarakat itu, Encik Lee juga telah mengunjungi sebuah pasar dan pusat makanan di Ang Mo Kio Avenue 10, bersebelahan CC Teck Ghee bagi menemui penduduk yang sedang berbelanja dan bersarapan serta beramah-tamah dengan peniaga gerai di sana.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg