Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: S’pura perlu urus integrasi pendatang baru secara sensitif

Gesa rakyat S’pura bantu golongan itu sesuaikan diri secara progresif dengan amalan kebiasaan, norma, etos sosial
Jan 12, 2025 | 6:39 AM
Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong berkata rakyat Singapura harus  mengalu-alukan pendatang baru untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar kita.
Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong berkata rakyat Singapura harus mengalu-alukan pendatang baru untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar kita. - Foto ST

Singapura amat bergantung kepada pendatang dan pekerja asing – yang meningkatkan sensitiviti politik dalam banyak masyarakat – untuk menambah jumlah penduduk dan kumpulan bakatnya, kata Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong.

Oleh itu, aliran masuk dan integrasi pendatang baru mesti diuruskan dengan “sensitif dan berhati-hati bagi memastikan aliran itu seimbang dan mampan”, kata Encik Lee.

“Tetapi kita juga mesti berdiri teguh menentang nativisme (kebumiputeraan) dan xenofobia, dan mengalu-alukan pendatang baru untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar kita,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) dan 14 pertubuhan masyarakat India yang lain pada 11 Januari.

Encik Lee berkata rakyat Singapura harus membantu pendatang baru ini menyesuaikan diri secara progresif dengan amalan kebiasaan yang dilakukan di sini, dan dengan norma serta etos sosial negara.

Ia adalah proses berterusan yang memerlukan masa, tetapi secara beransur-ansur mereka akan berintegrasi dengan masyarakat setempat, tambahnya.

“Beginilah generasi terdahulu menjadi warga India Singapura dan ia akan berlaku dengan generasi ini, dan dengan pendatang baru daripada kumpulan dan tempat lain juga,” katanya.

Inilah caranya identiti Singapura boleh dikekalkan dan diperkaya, dan cara untuk membina masyarakat yang bersatu padu serta inklusif yang “berhubung dengan dunia, diperkukuh dan tidak berbelah bahagi dengan kepelbagaian kita”, katanya.

Encik Lee berucap kepada sekitar 2,000 tetamu, termasuk menteri Kabinet, Anggota Parlimen (AP), pemimpin India dan sukarelawan yang menghadiri majlis makan malam penghargaan di Marina Bay Sands.

Satu video penghormatan telah ditayangkan dan penganjur menghadiahkan Encik Lee arca gajah yang direka khas sebagai tanda penghargaan atas sokongannya kepada masyarakat India semasa menjadi Perdana Menteri dari 2004 hingga 2024.

Encik Lee berkata masyarakat India telah maju bersama negara dan memberikan sumbangan yang besar dalam banyak bidang.

Walaupun masyarakat India mungkin kecil, ia telah memainkan peranan penuh dalam masyarakat Singapura dan bekerjasama dengan kaum lain bagi menyumbang dalam pelbagai cara, tambahnya.

Ini menunjukkan kejayaan model berbilang kaum Singapura, yang telah mewujudkan peluang penuh dan sama rata, masyarakat yang harmoni dan kehidupan yang lebih baik untuk semua, termasuk masyarakat minoriti, kata Encik Lee.

Beliau mengiktiraf pendatang daripada banyak bahagian di benua kecil India – termasuk Tamil, Malayalee, Telugu, Sindhi, Punjabi, Bengali dan Sinhalese – yang datang ke Singapura pada hari-hari awalnya untuk mencari masa depan yang lebih baik, dan yang membentuk sebahagian daripada kisah Singapura.

“Kumpulan berbeza ini berakar umbi di sini, membentuk ikatan antara satu sama lain, dan daripada latar belakang kaleidoskop ini, secara beransur-ansur muncul masyarakat India Singapura yang tersendiri dan membanggakan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg