Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: Australia perlu pererat hubungan dengan Asia, beri lebih banyak ruang untuk majukan kepentingan sendiri
SM Lee: Australia perlu pererat hubungan dengan Asia, beri lebih banyak ruang untuk majukan kepentingan sendiri
SM Lee garis tiga bidang untuk Australia tingkat penglibatan dengan Asia - ekonomi, pertahanan dan keselamatan, hubungan rakyat
SM Lee: Australia perlu pererat hubungan dengan Asia, beri lebih banyak ruang untuk majukan kepentingan sendiri
Australia perlu mempererat hubungan dengan negara Asia, khususnya di Asia Tenggara, dengan meningkatkan pelaburan di rantau ini serta mengekalkan kehadiran pertahanannya, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Langkah tersebut juga akan memberikan Australia lebih banyak ruang untuk memajukan kepentingannya sendiri di tengah-tengah persaingan yang kian sengit antara Amerika Syarikat dengan China, tambahnya.
“Semakin erat hubungan anda di seluruh Asia, semakin luas ruang yang anda miliki untuk memajukan kepentingan sendiri,” kata Encik Lee dalam bahagian keempat dan terakhir siri Ceramah Boyer 2026, yang disiarkan menerusi radio ABC di Australia dan dalam talian pada 8 November.
Beliau turut menyentuh tentang peluang yang luas bagi kerjasama dalam bidang seperti ekonomi digital dan hijau, kesihatan awam serta usaha memerangi keganasan, yang boleh membantu negara melihat satu sama lain sebagai rakan dalam pembangunan, dan bukan semata-mata menerusi sudut pandangan persaingan Amerika-China.
“Australia bukan negara Asia Tenggara, tetapi ia harus menjadi rakan rapat Asean, khususnya dalam era di mana negara kuasa kecil dan sederhana perlu bekerjasama lebih daripada sebelumnya,” ujar Encik Lee.
Kenyataan beliau dibuat ketika Amerika sedang menilai semula peranannya di dunia dan mengharapkan sekutunya memikul tanggungjawab yang lebih besar bagi pertahanan masing-masing.
Walaupun negara di rantau ini masih mahu Amerika terus memainkan peranan, banyak negara juga yang kini berusaha untuk menjadi lebih bergantung pada diri sendiri sambil melindungi kepentingan strategik masing-masing, kata Encik Lee.
Australia merupakan sekutu perjanjian Amerika dan rakan kongsi dalam Aukus, sebuah kerjasama keselamatan bersama Amerika dan Britain yang membolehkan Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.
Namun di Australia sendiri, wujud gesaan supaya negara itu lebih bergantung pada diri sendiri, ujar Encik Lee.
Beliau merujuk kepada mantan Perdana Menteri Australia, Encik Malcolm Turnbull, yang sebelum ini menggesa rakyat Australia supaya mencorak masa depan mereka sendiri, dan akur bahawa kepentingan mereka mungkin tidak selaras dengan kepentingan Amerika pada setiap masa.
Bagaimanapun, usaha untuk menjadi lebih bergantung pada diri sendiri perlu disertai dengan jalinan kerjasama bersama negara lain dan bukan bersikap tertutup dalam menghadapi rantau yang semakin bergolak, kata Encik Lee.
Tambahnya, rangkaian sedemikian boleh menjadi sumber daya tahan semasa krisis.
“Geografi juga tidak berubah. Negara-negara perlu terus melabur dalam hubungan dengan negara terdekat mereka.
“Mereka akan menanggung akibatnya jika mengabaikan negara jiran,” ujar beliau.
Encik Lee berkata Singapura lebih cenderung kepada rantau yang terbuka dan inklusif, berbanding rantau yang didominasi satu kuasa tunggal atau terbahagi kepada kelompok yang bertentangan.
Beliau menjelaskan bagaimana negara Asean mengekalkan “lingkaran sahabat yang saling bertindih”, bekerjasama dalam integrasi ekonomi, daya tahan bekalan makanan dan tenaga, serta keselamatan serantau, di sebalik hubungan mereka yang berbeza dengan kuasa-kuasa besar.
Dalam ceramah yang disampaikannya, Encik Lee menggariskan tiga bidang utama yang membolehkan Australia mempertingkat penglibatannya dengan Asia iaitu memperluas hubungan ekonomi, memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan, serta memupuk hubungan sesama rakyat.
Australia boleh melabur lebih banyak di Asia Tenggara, di mana jejak pelaburannya masih agak sederhana meskipun terdapat perdagangan yang besar dan berkembang dengan rantau ini, ujarnya.
Menyentuh aspek pertahanan dan keselamatan, Encik Lee menggesa Australia mengekalkan kehadirannya di Asia dan memperkukuh kerjasama yang sudah lama terjalin dengan negara yang sehaluan.
Selain aspek perdagangan dan keselamatan, Encik Lee menyeru Australia memupuk hubungan sesama rakyat dengan Asia, sambil merujuk kepada masyarakat Asia yang besar di negara itu dan program pertukaran pendidikan yang sudah lama wujud sebagai sumber muhibah dan hubungan peribadi.