Sambil helikopter Chinook CH-47F membelok tajam di ruang udara pada penerbangan pulang ke Warriors Den, pasukan media bersedia merakam gambar yang paling dinanti-nantikan – dua helikopter Apache AH-64D terbang dalam formasi di hadapan dua helikopter CH-47F sebagai sebahagian daripada misi pengangkutan anggota melalui udara.

Prosedur keselamatan dilaksanakan dengan ketat. Jurugambar rasmi diikat menggunakan tali keselamatan khas yang dipasang pada lantai berhampiran tanjakan belakang helikopter yang terbuka.

Sebelum penerbangan pulang itu, pihak media berpeluang menyaksikan sebuah helikopter Apache AH-64D mengisi minyak di Lapangan Terbang Glen, sebelum dua helikopter seumpamanya melaksanakan misi Operasi Pasukan Gabungan Heliborne (CFO) Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Sebuah helikopter ‘Apache AH-64D’ berlepas selepas mengisi minyak di sebelah kenderaan pengisi minyak di Lapangan Terbang Glen, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, pada 24 Oktober.
Sebuah helikopter ‘Apache AH-64D’ berlepas selepas mengisi minyak di sebelah kenderaan pengisi minyak di Lapangan Terbang Glen, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, pada 24 Oktober. - Foto ST

Saya pula kekal di tempat duduk dengan tali pinggang keselamatan terpasang sambil menjulurkan telefon bimbit melepasi jurugambar dan juruvideo lain untuk mendapatkan sudut terbaik.

Namun, ketika helikopter melakukan pergerakan dinamik, kadangkala ke kanan dan ke kiri, saya mula berasa loya apabila badan seolah-olah tidak lagi mampu menyesuaikan diri dengan pergerakan tersebut.

Syed Muhammad Firdaus (kiri), mengalami mabuk udara sehingga terpaksa menggunakan beg kertas semasa penerbangan pulang menaiki helikopter ‘Chinook CH-47F’ dari Lapangan Terbang Glen ke Warriors Den dalam Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Queensland, Australia, pada 24 Oktober.
Syed Muhammad Firdaus (kiri), mengalami mabuk udara sehingga terpaksa menggunakan beg kertas semasa penerbangan pulang menaiki helikopter ‘Chinook CH-47F’ dari Lapangan Terbang Glen ke Warriors Den dalam Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Queensland, Australia, pada 24 Oktober. - Foto ihsan SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Seperti yang ditunjukkan dalam taklimat keselamatan sebelum penerbangan, saya segera mengangkat tangan untuk meminta beg kertas di tengah-tengah penerbangan – sesuatu yang pastinya tidak termasuk dalam jadual liputan media saya di Latihan Wallaby (XWB) 2026.

Mujur Pakar Kru Udara yang berada di dalam helikopter itu dengan tenang menghulurkan beg kertas serta bekalan gula-gula beliau sendiri untuk membantu meredakan rasa mabuk saya.

Wartawan, Syed Muhammad Firdaus (kanan), bergambar bersama Pakar Kru Udara, Sarjan Pertama (1SG) Jonathan Ian Arokianathan, yang menghulurkan beg kertas dan gula-gula bagi membantu beliau mengatasi rasa loya akibat mabuk udara semasa penerbangan menaiki helikopter ‘Chinook CH-47F’ dalam Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Queensland, Australia, pada 24 Oktober.
Wartawan, Syed Muhammad Firdaus (kanan), bergambar bersama Pakar Kru Udara, Sarjan Pertama (1SG) Jonathan Ian Arokianathan, yang menghulurkan beg kertas dan gula-gula bagi membantu beliau mengatasi rasa loya akibat mabuk udara semasa penerbangan menaiki helikopter ‘Chinook CH-47F’ dalam Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Queensland, Australia, pada 24 Oktober. - Foto ihsan SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Bukan setiap hari berpeluang menaiki Chinook CH-47F, dan sepastinya penerbangan itu sukar untuk dilupakan.

Namun, itu hanyalah satu daripada pelbagai pengalaman sepanjang XWB 2026.

Selepas penerbangan semalaman dari Singapura ke Rockhampton, Queensland, dan meletakkan bagasi dalam hotel, saya bersama pihak media kemudian perlu menghadiri taklimat media di Warriors Den, kawasan operasi baharu Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) berdekatan Lapangan Terbang Rockhampton.

Pada hari-hari berikutnya, kami terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca yang ketara – daripada menjalankan sesi temu bual ketika hujan lebat pada petang yang dingin, hinggalah bergegas di bawah terik matahari Queensland pada keesokan harinya.

Perjalanan menaiki bas selama berjam-jam dari hotel ke kawasan luas dan berdebu di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA) turut menguji daya ketahanan fizikal kami.

Namun, saya bersama rakan-rakan media tidak mengambil masa yang lama untuk bergurau bahawa gegaran bas yang berterusan itu ibarat urutan seluruh badan secara percuma.

Di sebalik kesibukan dan cabaran fizikal itu, saya bersama rakan-rakan media berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana teknologi membentuk semula peperangan moden.

Semasa pameran Sistem Batalion Infantri Generasi Seterusnya (NGIB) di Kemudahan Latihan Operasi (UOTF) pada 22 Oktober, saya didedahkan kepada usaha Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menggabungkan keupayaan anggota dengan sistem tanpa pemandu.

Saya berpeluang mengendalikan dron di bawah pengawasan, memegang alat kawalan dan mengemudikannya di lapangan.

Pengalaman itu memberi gambaran bagaimana anggota boleh mendapatkan maklumat tentang kawasan operasi dari jarak jauh tanpa perlu menghampirinya secara fizikal.

Saya turut berpeluang menaiki Kenderaan Pengangkut Infantri (ICV) Terrex dan rasai sendiri daya membrek kuat kenderaan itu – pengalaman yang cukup menguji daya ketahanan fizikal.

Wartawan, Syed Muhammad Firdaus, bersama rakan-rakan media berpeluang menaiki Kenderaan Pengangkut Infantri (ICV) Terrex di Kawasan Latihan Operasi Bandar (UOTF), yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, pada 22 Oktober. Mencecah had kelajuan sehingga 105 kilometer sejam, ICV itu dilengkapi sistem ampaian bebas dan tayar lasak bersaiz besar yang meningkatkan keupayaannya bergerak merentasi pelbagai jenis bentuk muka bumi.
Wartawan, Syed Muhammad Firdaus, bersama rakan-rakan media berpeluang menaiki Kenderaan Pengangkut Infantri (ICV) Terrex di Kawasan Latihan Operasi Bandar (UOTF), yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, pada 22 Oktober. Mencecah had kelajuan sehingga 105 kilometer sejam, ICV itu dilengkapi sistem ampaian bebas dan tayar lasak bersaiz besar yang meningkatkan keupayaannya bergerak merentasi pelbagai jenis bentuk muka bumi. - Foto ihsan SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Mencuba teknologi tersebut membuat saya terfikir tentang usaha yang diperlukan untuk membangunkan keupayaan sedemikian.

Kerjasama antara SAF dengan Komuniti Teknologi Pertahanan (DTC), termasuk Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), penting bagi memastikan sistem baharu bukan sahaja dapat dibangunkan, malah diuji dan diperhalusi berdasarkan maklum balas anggota yang menggunakannya.

Hakikatnya, latihan seperti XWB menyediakan ruang untuk menguji teknologi dalam persekitaran latihan yang lebih luas dan realistik.

Pada masa yang sama, semakin banyak sistem tanpa pemandu digunakan, semakin penting juga rangkaian komunikasi yang boleh diharap serta keupayaan mengesan dan menangani dron musuh.

Ini antara aspek yang diterokai menerusi sistem seperti Nod Komunikasi Udara (ACN), yang menyediakan sambungan rangkaian kepada unit hadapan, dan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu-Lawan (C-UAS) untuk mengesan serta meneutralkan dron musuh.

Nod Komunikasi Udara (ACN) berfungsi dengan menggunakan dron yang dilengkapi teknologi rangkaian selular 5G, sekali gus menyediakan liputan rangkaian dalam lingkungan 400 meter di sekelilingnya.
Nod Komunikasi Udara (ACN) berfungsi dengan menggunakan dron yang dilengkapi teknologi rangkaian selular 5G, sekali gus menyediakan liputan rangkaian dalam lingkungan 400 meter di sekelilingnya. - Foto ST
Antara dua sistem utama yang diuji oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dapat membantunya mencapai kejayaan dalam ruang pertempuran masa kini yang semakin sesak dan saling berhubung menerusi rangkaian adalah Sistem Pesawat Tanpa Pemandu-Lawan (C-UAS), yang mengesan serta meneutralkan dron musuh.
Antara dua sistem utama yang diuji oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dapat membantunya mencapai kejayaan dalam ruang pertempuran masa kini yang semakin sesak dan saling berhubung menerusi rangkaian adalah Sistem Pesawat Tanpa Pemandu-Lawan (C-UAS), yang mengesan serta meneutralkan dron musuh. - Foto ST

Namun, di sebalik kemajuan teknologi, satu perkara tetap jelas bagi saya – sistem canggih sekalipun masih memerlukan anggota yang berkemahiran untuk mengendalikannya dan memberi kata putus dalam membuat keputusan.

Dalam kesibukan membuat liputan, saya turut berpeluang mengunjungi Kem Tilpal, salah satu kawasan penginapan utama anggota SAF untuk XWB di Queensland.

Kemudahan baharu di sana pada 2026 adalah gimnasium luar, yang memberi anggota pilihan untuk mengekalkan kecergasan fizikal.

Di pusat perubatannya pula, unit pemanas pesakit diperkenalkan bagi membantu merawat anggota yang mengalami hipotermia, memandangkan suhu di SWBTA boleh turun sehingga 10 darjah Celsius dan melebihi 30 darjah Celsius.

Satu alat baharu yang diperkenalkan di pusat perubatan Kem Tilpal adalah unit pemanas pesakit yang digunakan untuk membantu pasukan perubatan merawat anggota tentera yang mengalami hipotermia akibat suhu badan yang terlalu rendah. Ini memandangkan suhu di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, boleh berubah antara 10 darjah Celsius dengan melebihi 30 darjah Celsius semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026, yang berlangsung dari 6 September hingga 2 November.
Satu alat baharu yang diperkenalkan di pusat perubatan Kem Tilpal adalah unit pemanas pesakit yang digunakan untuk membantu pasukan perubatan merawat anggota tentera yang mengalami hipotermia akibat suhu badan yang terlalu rendah. Ini memandangkan suhu di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, boleh berubah antara 10 darjah Celsius dengan melebihi 30 darjah Celsius semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026, yang berlangsung dari 6 September hingga 2 November. - Foto ST

Hidangan di dewan makan kem itu, termasuk menu tempatan seperti laksa dan sup bihun, turut membawa sedikit suasana ‘rumah sendiri’ kepada anggota yang berjauhan daripada keluarga.

Hidangan makan tengah hari yang disediakan di dewan makan Kem Tilpal semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, Queensland, Australia. Menu yang disajikan secara bergilir-gilir, termasuk hidangan tempatan seperti laksa dan sup bihun, dan ia bertujuan memastikan anggota mendapat makanan yang menyelerakan selepas menjalani latihan.
Hidangan makan tengah hari yang disediakan di dewan makan Kem Tilpal semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, Queensland, Australia. Menu yang disajikan secara bergilir-gilir, termasuk hidangan tempatan seperti laksa dan sup bihun, dan ia bertujuan memastikan anggota mendapat makanan yang menyelerakan selepas menjalani latihan. - Foto ihsan SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Satu lagi pengalaman menarik adalah lawatan ke Lapangan Terbang Williamson, kira-kira tiga jam perjalanan dari penginapan kami, untuk mencuba simulator pesawat udara tanpa pemandu (UAV) Orbiter-4.

UAV tersebut digunakan untuk menjalankan pemantauan medan perang bagi meningkatkan kesedaran situasi dan membantu komander di darat membuat keputusan.

Pihak media berpeluang menyaksikan pelancaran pesawat udara tanpa pemandu (UAV) Orbiter-4 di Williamson Airfield, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, semasa Latihan Wallaby pada 26 Oktober.  Orbiter-4 merupakan antara aset udara yang dibawa oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bagi latihan tersebut.
Pihak media berpeluang menyaksikan pelancaran pesawat udara tanpa pemandu (UAV) Orbiter-4 di Williamson Airfield, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, semasa Latihan Wallaby pada 26 Oktober. Orbiter-4 merupakan antara aset udara yang dibawa oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bagi latihan tersebut. - Foto ST

Di hadapan konsol skrin sentuh, saya dapat mengemudi UAV itu pada peta maya, menentukan laluan penerbangannya, mengukur jarak antara lokasi dan memerhatikannya mengorbit secara automatik.

Ia seperti menentukan laluan penerbangannya, mengukur jarak antara satu tapak dengan tapak seterusnya, dan memerhatikannya mengorbit secara automatik.

Selepas pesawat tanpa pemandu (UAV) Orbiter-4 itu dilancarkan ke udara, wartawan, Syed Muhammad Firdaus, berpeluang mencuba simulator UAV tersebut dengan mengemudi pesawat berkenaan menerusi konsol skrin sentuh, semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Lapangan Terbang Williamson, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, pada 26 Oktober.
Selepas pesawat tanpa pemandu (UAV) Orbiter-4 itu dilancarkan ke udara, wartawan, Syed Muhammad Firdaus, berpeluang mencuba simulator UAV tersebut dengan mengemudi pesawat berkenaan menerusi konsol skrin sentuh, semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026 di Lapangan Terbang Williamson, yang terletak di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, pada 26 Oktober. - Foto ihsan SYED MUHAMMAD FIRDAUS

Pengalaman itu mengingatkan saya kepada permainan video taktikal, tetapi dengan perbezaan besar bahawa setiap pergerakan mempunyai implikasi operasi sebenar.

Mengimbau kembali pengalaman sepanjang XWB 2026, daripada rasa sedikit mabuk ketika menaiki helikopter hingga mencuba teknologi baharu untuk medan peperangan masa kini, saya akur persiapan menghadapi cabaran masa hadapan memerlukan SAF untuk sentiasa meneroka pendekatan baharu dan mempertingkatkan keupayaannya.

Teknologi dapat membantu anggota mengesan ancaman dengan lebih pantas dan beroperasi dengan lebih selamat, tetapi kecekapan, daya ketahanan dan semangat anggota tentera tetap menjadi tunjang kejayaan sesuatu misi.