Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: FTA S’pura-Uzbekistan boleh kurangkan risiko bagi firma tempatan
TASHKENT (Uzbekistan): Satu perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Singapura dengan Uzbekistan boleh mengurangkan risiko bagi syarikat tempatan dalam pasaran yang kurang dikenali, selain membuka peluang dalam perkhidmatan, pelaburan dan barangan terpilih, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 31 Ogos.
Walaupun perdagangan dan pelaburan masih agak rendah, terdapat peluang untuk berkembang dalam prasarana, perundingan, teknologi maklumat (IT) dan pendidikan, katanya ketika mengakhiri lawatan rasmi pertamanya ke Asia Tengah.
“Bagi banyak syarikat Singapura, Uzbekistan masih merupakan pasaran yang kurang dikenali. Keadaan itu menimbulkan risiko, dan FTA boleh membantu mengurangkannya,” ujar Encik Lee.
Hubungan ekonomi Singapura dengan Asia Tengah boleh berkembang empat atau lima kali ganda dalam sedekad akan datang, kata Encik Lee, sambil menyifatkan minat Changi Airport Group (CAG) terhadap satu projek lapangan terbang di Astana, Kazakhstan, sebagai antara peluang yang ada.
Beliau juga menyentuh tentang tenaga nuklear, dengan berkata apa yang dilihatnya dalam lawatan itu mengesahkan penilaian Singapura bahawa nuklear mungkin perlu menjadi sebahagian daripada gabungan tenaga sedang negara-negara beralih daripada bahan api fosil yang memanaskan planet, kepada tenaga boleh diperbaharui.
Pada 28 Ogos, Singapura dan Uzbekistan mengambil langkah rasmi pertama ke arah rundingan FTA dengan menandatangani satu kenyataan bersama bagi mengesahkan hasrat itu.
Uzbekistan, negara paling ramai penduduk di Asia Tengah dengan lebih 38 juta orang, sedang berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing ketika ia membuka ekonominya.
Ketika ditanya mengenai manfaat perjanjian itu, Encik Lee berkata terdapat beberapa peluang, walaupun perdagangan dan pelaburan antara Singapura dengan Uzbekistan masih rendah.
Beliau berkata perdagangan barangan mungkin lebih mencabar kerana jarak antara kedua-dua negara jauh, tetapi buah-buahan dan sayur-sayuran bermutu tinggi Uzbekistan boleh dibawa masuk ke Singapura jika hubungan penerbangan dibangunkan.
Uzbekistan mengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai kira-kira AS$2.1 bilion ($2.7 bilion) pada 2025, termasuk anggur, kismis, pic, ceri, bawang dan kubis.
Perdagangan perkhidmatan turut membuka peluang dalam prasarana, perundingan, IT dan pendidikan, ketika syarikat meneroka pelaburan di Uzbekistan.
Sebagai contoh, Encik Lee merujuk perjanjian yang dimeterai semasa lawatannya antara usaha sama Indorama-Wilmar dengan pemerintah Uzbekistan bagi projek agroteknologi utama di Tashkent.
Beliau berkata FTA yang menyediakan jaminan pelaburan melebihi ketetapan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga boleh memberi keyakinan tambahan kepada firma Singapura yang ingin berniaga di Uzbekistan.
Encik Lee berkata FTA semakin penting ketika WTO tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya sebagai sistem antarabangsa berasaskan peraturan.
“Justeru, FTA dua hala dan serantau diperlukan untuk memberi perlindungan yang tidak dapat disediakan WTO,” katanya.
“Rundingan FTA sentiasa memerlukan usaha, tetapi pasarannya menjanjikan peluang. Jadi kami akan berusaha mencapai persetujuan.”
Sebelum Uzbekistan, Encik Lee melawat Kazakhstan.
Beliau berkata “tanggapan paling mendalam” ialah penghormatan tinggi kedua-dua negara terhadap Singapura dan Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew.
Di Kazakhstan, penghormatan itu antara lain kerana mendiang Lee pernah melawat negara itu pada 1991 dan beberapa kali lagi selepas itu. Di Uzbekistan, beliau amat dihormati kerana nama dan buku-bukunya.
Kedua-dua negara Kazakhstan dan Uzbekistan berminat belajar daripada pengalaman Singapura dan melibatkan firma Singapura dalam projek tempatan.
Firma Singapura telah pun menemui peluang dalam pendidikan, pertanian, modal teroka dan perkhidmatan undang-undang, manakala firma Asia Tengah menggunakan Singapura untuk pengurusan kekayaan, pengumpulan dana dan sebagai pangkalan perniagaan di Asia Tenggara.
“Jika kita dapat mengembangkannya empat atau lima kali ganda dalam 10 tahun, ia akan membantu mempelbagaikan ekonomi kita,” kata Encik Lee.
“Hubungan ekonomi itu tidak akan menggantikan rakan dagang utama kita, tetapi menjadi pelengkap yang bernilai.”
Hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh boleh merapatkan hubungan rakyat, meningkatkan kerjasama sumber manusia dan program pertukaran belia, serta menambah rakan Singapura dalam forum antarabangsa seperti WTO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).
“Ini amat bernilai bagi kita sebagai negara kecil kerana kita mencari rakan kongsi dan sahabat serta saling menyokong,” kata Encik Lee.
Kazakhstan dan Uzbekistan merupakan pengeluar minyak dan gas, namun masih melihat tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada daya tahan tenaga mereka.
“Jika mahukan bekalan tenaga yang mantap dan berterusan, tenaga nuklear sukar diketepikan,” kata Encik Lee.
Singapura perlu meneliti tenaga nuklear “dengan amat mendalam”, walaupun belum bersedia membuat keputusan, kata Encik Lee.
Loji nuklear generasi baharu mungkin lebih sesuai untuk Singapura kerana lebih kecil, lebih selamat dan memerlukan jarak keselamatan lebih pendek, namun masih terlalu awal untuk menilai kejayaan teknologi ini.
Singapura akan memulakan Semakan Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) pada 2027 bagi menilai kesediaannya membuat keputusan mengenai tenaga nuklear.
