Menteri Kanan Lee Hsien Loong adalah antara pemimpin asing terpilih yang dijemput Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar, untuk menghadiri istiadat pertabalan beliau sebagai Raja Malaysia ke-17.
Encik Lee akan mengadakan lawatan ke Malaysia dari 19 hingga 22 Julai bagi istiadat pertabalan itu, yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara di Kuala Lumpur pada pagi 20 Julai.
Beliau akan juga menghadiri jamuan diraja pada malam majlis itu, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 18 Julai.
Ini kali pertama seorang wakil Singapura diundang ke majlis perasmian raja Malaysia, yang diadakan setiap lima tahun.
Menurut satu laporan The Straits Times, Sultan Ibrahim menyampaikan jemputan itu secara peribadi kepada Encik Lee ketika beliau mengadakan lawatan negara ke Singapura 6 dan 7 Mei.
Ia salah satu lawatan besar terakhir oleh seorang kenamaan asing ke sini sebelum Encik Lee mengundur diri sebagai perdana menteri ketiga Singapura pada 15 Mei.
Semasa lawatan itu, Sultan Ibrahim, yang berasal dari Johor dan mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari, berkata beliau menganggap Encik Lee, yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, sebagai “rakan karib” Johor dan Malaysia, dalam jamuan negara yang diadakan di Istana sebagai penghormatan baginya.
Selain menghadiri majlis pertabalan itu, PMO berkata Encik Lee akan juga bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta beramah-tamah bersama beberapa sultan, menteri dan pemimpin Malaysia.
Beliau juga dijangka berucap di sebuah majlis jamuan malam Kelab Perniagaan Kuala Lumpur dan menghadiri majlis resepsi bagi warga Singapura di luar negara yang dihoskan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.
Encik Lee akan ditemani isterinya, Cik Ho Ching; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.
Sebelum lawatan ini, pengganti Encik Lee, Perdana Menteri Lawrence Wong, melakukan lawatan pengenalannya ke Malaysia pada 12 Jun.
Datuk Anwar menjadi hos jamuan tengah hari buat Encik Wong di kediaman rasminya, Seri Perdana, dengan mereka menekankan komitmen bersama untuk membawa perkongsian yang saling menguntungkan ke hadapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg