Kedaulatan undang-undang yang kukuh telah menjadi asas kepada model Singapura dan telah menyokong kemajuan Singapura sebagai sebuah negara, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Di peringkat antarabangsa pula, antara negara, kedaulatan undang-undang juga sama penting – sesuatu yang difahami dengan baik oleh negara kecil seperti Singapura – yang mana semua negara bergantung pada perintah global yang stabil dan berasaskan peraturan.
“Ia adalah di mana negara besar dan kecil boleh bekerjasama, bersaing dan menyelesaikan perbezaan secara aman dalam rangka kerja peraturan yang diterima umum, agar semua negara boleh mempertingkat kehidupan rakyat mereka dalam satu dunia ini,” jelas beliau.
“Alternatifnya – dunia tanpa peraturan, di mana yang berkuasa menentukan betul salah – akan menjadi dunia yang bermasalah, walaupun untuk kuasa besar.
“Ia pastinya amat mencabar bagi negara kecil seperti Singapura, yang mana peraturan dan perjanjian adalah instrumen penting bagi melindungi kepentingan sah mereka.”
Encik Lee berkata demikian ketika berucap di majlis jamuan malam persidangan sempena ulang tahun ke-10 Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura (SICC) di Hotel ParkRoyal Collection Marina Bay Singapore pada 14 Januari.
Ditubuhkan pada 5 Januari 2015 sebagai sebuah divisyen Mahkamah Tinggi Singapura, SICC menyediakan forum neutral untuk mengendalikan pertikaian komersial rentas sempadan, termasuk kes yang dikawal undang-undang luar negara.
Sempena ulang tahun mereka itu, Akademi Undang-Undang Singapura (SAL) bekerjasama dengan SICC untuk menganjurkan persidangan selama dua hari dari 14 hingga 15 Januari, bagi menyediakan wadah untuk memupuk perbincangan tentang peranan mahkamah komersial dalam menguruskan pertikaian rentas sempadan yang rumit.
Di Singapura, negara ini telah membangunkan dan mengubah sistem undang-undang yang diwarisi penjajah British supaya ia dapat memenuhi konteks unik negara ini, kata Encik Lee.
Hari ini, kedaulatan undang-undang meresapi setiap aspek tadbir urus Singapura – rakyat Singapura menikmati undang-undang dan ketenteraman; perniagaan menikmati kepastian komersial; dan pelabur asing mempercayai pelaburan mereka di sini selamat.
“Pada masa sama, pemerintah mempunyai kebebasan tindakan untuk melakukan apa yang ia perlu lakukan, untuk melaksanakan pentadbiran awam dengan berkesan. Namun, ini dengan mematuhi undang-undang dan batasan yang jelas dan praktikal, supaya ia sentiasa kekal bertanggungjawab,” kata beliau.
Di peringkat global, kedaulatan undang-undang juga sama penting dalam hubungan antarabangsa dan perdagangan, tambah Encik Lee.
Khususnya dalam dunia perdagangan, beliau berkata terdapat dua cara di mana kedaulatan undang-undang boleh mempermudahkan perdagangan rentas sempadan antara perniagaan.
Yang pertama adalah melalui peraturan dan undang-undang antarabangsa yang dikenakan pada semua, termasuk peraturan tentang bagaimana pertikaian harus diselesaikan.
Kedua pula adalah pilihan bagi perniagaan membuat aturan privet untuk menyelesaikan pertikaian komersial.
Contohnya, perniagaan boleh mendapatkan penimbangtaraan komersial atau bersetuju bagi pertikaian mereka dibicarakan di mahkamah negara tertentu pilihan mereka.
Mereka juga boleh melalui litigasi antarabangsa di Mahkamah Komersial Antarabangsa, yang telah ditubuhkan beberapa negara khusus untuk menyelesaikan pertikaian komersial rentas sempadan.
Ini, kata Encik Lee, adalah konteks di balik keputusan negara ini mewujudkan SICC sedekad lalu.
Antara kes mercu tanda mahkamah itu termasuk kesnya yang pertama pada 2015, berhubung pertikaian $1.1 bilion antara sebuah anak syarikat Singapura milik syarikat Australia dengan firma Indonesia.
Penghakiman yang pertama daripada dua dalam kes itu telah disifatkan media antarabangsa sebagai “ulung” dalam menangani peraturan interpretasi, dasar awam dan implikasi syarat.
Bagaimanapun, dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, negara semakin enggan menyelesaikan pertikaian melalui mekanisme pelbagai hala dan bidang kuasa forum antarabangsa.
Namun begitu, Encik Lee menekankan bahawa kedaulatan undang-undang antarabangsa tetap wujud dan bahkan, menjadi lebih penting.
Beliau berkata negara tetap perlu saling wujud dalam harmoni dan bekerjasama antara satu sama lain, dan perniagaan antarabangsa masih perlu dilakukan, dan pihak-pihak masih perlu bersetuju tentang peraturan yang dikenakan.
Mereka juga perlu bersetuju dengan cara menyelesaikan pertikaian komersial rentas sempadan apabila isu timbul.
“Malah, dalam persekitaran ini, apabila perniagaan menentukan di mana dan bagaimana kontrak mereka harus diadili dan pertikaian diselesaikan, reputasi dan keadilan sesuatu bidang kuasa itu dan institusinya menjadi pertimbangan yang lebih penting,” kata beliau.
Encik Lee berkata SICC berada dalam kedudukan baik untuk mengambil kesempatan daripada realiti itu.
“Ia akan mendapat manfaat daripada reputasi dan rekod prestasi Singapura. Ia boleh mengharapkan sokongan sistem perundangan Singapura yang matang, mantap dan berpandangan ke hadapan; dan sokongan pemerintah yang kekal terletak pada kejayaan dan keberkesanan sistem keadilan komersial transnasional,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg