Kos akibat kepimpinan yang sederhana adalah jauh lebih besar berbanding kos membayar gaji menteri secara wajarnya, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Beliau menambah, terutama sekali dalam dunia yang penuh ketidakpastian, kepimpinan yang berkaliber tinggi amat penting untuk memandu Singapura mengharunginya.

Encik Lee berkata demikian di Facebooknya pada 8 September, bagi menzahirkan sokongannya terhadap keputusan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk menerima cadangan Jawatankuasa Semakan Gaji dan menyesuaikan gaji pemegang jawatan politik.

Lantas beliau turut menggesa seluruh rakyat Singapura agar menyokong langkah strategik tersebut demi menjamin masa depan negara.

“Kos yang perlu ditanggung negara akibat kepimpinan yang sederhana adalah jauh lebih besar berbanding kos membayar gaji pemimpin politik secara wajar.

“Semakan semula gaji ini bakal membantu memastikan negara kita terus berada dalam tangan yang selamat untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.

Di Parlimen pada 8 September, Encik Wong telah memberikan respons pemerintah terhadap semakan semula gaji bagi pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP) yang telah lama ditangguhkan.

Semakan semula itu, yang telah ditangguhkan beberapa kali sejak 2023, dimuktamadkan tahun ini (2026), dengan PM Wong menyatakan bahawa pemerintah akan menerima cadangan tersebut.

Encik Lee berkata bahawa pelarasan gaji itu merupakan satu langkah strategik yang dipertimbangkan untuk membolehkan Singapura terus menampilkan barisan kepimpinan yang paling kuat.

“Kita tidak mengubah formula gaji yang telah dimuktamadkan pada 2012 dan masih sesuai digunakan.

“Namun, kita telah menangguhkan kemas kini pengiraannya sejak itu, dan kita tidak harus melengahkannya lagi.

“Walaupun dengan kemas kini itu, penanda aras menteri baharu akan tetap diberi diskaun 40 peratus berbanding penanda aras sektor swasta (mengikut formula tersebut), bagi mencerminkan semangat berkhidmat demi orang ramai,” tulisnya.

Encik Lee mengakui bahawa perdebatan mengenai gaji politik bukanlah satu perkara yang mudah, dan memahami mengapa rakyat Singapura mempunyai pandangan serta emosi yang mendalam mengenainya.

Bahkan, beliau berkata bahawa ketika menjadi Perdana Menteri, isu itu sentiasa menjadi keutamaannya kerana ia sangat penting bagi menjamin kepimpinan politik yang baik dan pentadbiran yang berkesan di Singapura.

“Ramai yang kerap bertanya mengapa perkhidmatan awam tidak boleh bersandarkan semata-mata kepada idealisme dan semangat perjuangan.

“Namun, semangat perjuangan sahaja tidak mampu memelihara sistem ini merentasi generasi. Kita juga perlu bersikap praktikal,” katanya.

Encik Lee menambah bahawa pencapaian luar biasa Singapura pada dasarnya bergantung kepada barisan pemimpin politik yang bersih, jujur dan berkaliber.

Singapura juga perlu menarik individu berkaliber di kemuncak kerjaya untuk menyertai politik, walaupun ia menuntut pengorbanan besar, risiko kerjaya, dan sorotan awam yang ketat, katanya.

“Jika komitmen ini juga memerlukan pengorbanan kewangan yang terlalu berat atau tidak munasabah, ramai individu yang mampu memberi sumbangan besar kepada Singapura akan enggan memilih laluan ini.

“Kumpulan calon yang boleh diambil akan mengecil, dan standard kepimpinan politik akan merosot. Lama-kelamaan, kualiti pentadbiran pemerintah kita sudah tentu akan menurun.

“Justeru pelarasan gaji ini adalah satu langkah strategik yang penting bagi membolehkan Singapura terus ketengahkan pasukan kepimpinan paling kukuh,” ujar beliau.