Daripada mengemudi Singapura mengharungi masa mencabar seperti pandemik Covid-19 dan menangani isu sensitif negara seperti perlindungan takrif perkahwinan, kepada penglibatan yang mendalam dan berterusan bersama masyarakat Melayu/Islam.
Dedikasi dan sumbangan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, saban tahun kepada Singapura dan kepada masyarakat Melayu/Islam, amat berharga dan merupakan teladan yang harus dicontohi, kata beberapa pemimpin Melayu/Islam.
Dengan sikap terbukanya untuk mendengar dan komitmennya menghadiri acara anjuran badan Melayu/Islam (MMO), pemimpin masyarakat yang bercakap dengan Berita Harian (BH) berkata Encik Lee telah menunjukkan komitmen mendalam untuk menyokong dan meningkatkan prestasi masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Pada 20 September, lebih 600 pemimpin masyarakat dan sukarelawan telah berkumpul di Singapore Expo untuk memberi penghargaan kepada Encik Lee yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi sebagai Perdana Menteri ketiga Singapura selama 20 tahun dari 2004 hingga 2024.
Beliau juga dihadiahkan cenderamata khas berupa arca yang diperbuat daripada tanah liat yang dihasilkan oleh pakar tembikar dan pemenang Pingat Budaya, Encik Iskandar Jalil.
Dalam mengimbau sumbangan beliau, pemimpin masyarakat berkongsi bahawa kepimpinan beliau telah memupuk keharmonian, kemakmuran dan perpaduan sosial – meninggalkan kesan yang ketara dalam usaha membangunkan Singapura yang berbilang bangsa dan agama.
Secara khusus, mereka menekankan sikap tenang dan mantap beliau yang membantu mengemudi Singapura melalui masa-masa mencabar seperti pandemik Covid-19, serta menangani isu sensitif negara seperti dasar berkenaan pemakaian tudung, pelaksanaan skim pengiktirafan asatizah dan perlindungan takrif perkahwinan.
“Kepimpinan mantan Perdana Menteri Encik Lee, sepanjang dua dekad lalu adalah kepimpinan yang terbuka dan kolaboratif, sesuatu yang amat kami hargai,” kata Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SM Lee atas sokongan padu beliau terhadap AMP semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
“Kebijaksanaan beliau yang tidak ternilai dan pendekatan yang jujur dengan kami memberikan pandangan yang berharga, membolehkan kami berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat Islam dan Singapura secara amnya,” ujar beliau.
Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, berkata dedikasi Encik Lee untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura adalah satu teladan, antaranya, dalam cara beliau mendekati rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat dan usahanya menguasai pertuturan dalam bahasa Melayu.
Menukil beberapa acara dan pertemuan bermakna antara PPIS dengan Encik Lee selama bertahun-tahun, Cik Hazlina berkata Encik Lee tidak pernah lelah untuk mendekati masyarakat Melayu dengan kerap bagi memahami aspirasi dan keprihatinan masyarakat
“Kehebatan beliau bertutur dalam pelbagai bahasa, terutamanya bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu, adalah bukti komitmen beliau terhadap pertukaran pendapat yang bermakna.
“Kami berterima kasih kepada SM Lee atas dedikasinya berkhidmat kepada Singapura. Sumbangan beliau telah membina asas yang kukuh untuk kerjasama berterusan antara pertubuhan masyarakat, sektor swasta dengan pemerintah.
“PPIS berharap dapat membina legasi SM Lee dalam meneruskan perkongsian 3P (sektor awam, swasta dan rakyat) untuk membina sebuah Singapura yang kami banggakan,” kata Cik Hazlina.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg