Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee minta warga waspada penipuan ‘deepfake’ susuli video palsu

Jun 2, 2024 | 6:31 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang sekali lagi dipaparkan mempromosikan produk pelaburan dalam satu penipuan mendalam atau ‘deepfake’ meminta orang ramai agar berhati-hati dan melindungi diri mereka daripada gejala sebegini.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang sekali lagi dipaparkan mempromosikan produk pelaburan dalam satu penipuan mendalam atau ‘deepfake’ meminta orang ramai agar berhati-hati dan melindungi diri mereka daripada gejala sebegini. - Foto FACEBOOK LEE HSIEN LOONG

Penduduk Singapura harus terus berwaspada dalam melindungi diri mereka dan orang sekeliling daripada gejala penipuan pemalsuan mendalam atau ‘deepfake scam’, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Dalam satu hantaran Facebook pada 2 Jun, Encik Lee menjelaskan beliau sekali lagi dipaparkan mempromosikan produk pelaburan dalam satu penipuan sedemikian.

Menurutnya, terdapat video palsu tentang beliau meminta penonton mendaftar bagi produk pelaburan yang mendakwa mempunyai pulangan terjamin.

Encik Lee juga menyertakan dalam hantaran Facebook itu, tangkapan skrin video yang diedarkan dalam talian dengan sari kata: “Saya gembira untuk mengemukakan kepada anda satu pelaburan baru.”

Beliau mengulas: “Video ini tidak benar!”

Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pemalsuan mendalam ini menjadi lebih baik dari hari ke hari, tambahnya.

Menurutnya lagi, bukan sahaja si penipu meniru suaranya dan membuat lapisan audio palsu ke atas rakaman sebenar sewaktu beliau menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2023, mereka juga segerakkan pergerakan mulutnya untuk diseiringkan dengan audio tiruan itu.

“Ini amat membimbangkan. Orang yang menonton video itu mungkin tertipu dengan menyangka bahawa saya benar-benar mengucapkan kata-kata itu,” tulisnya.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan berhati-hati jika menonton video seperti ini.

Beliau menggesa rakyat Singapura supaya tidak mempercayai iklan penipuan promosi produk pelaburan membabitkan dirinya atau mana-mana pemegang jawatan awam Singapura.

Pengguna boleh melaporkan hal ini dengan menggunakan Bot ScamShield Pemerintah menerusi WhatsApp di laman go.gov.sg/scamshield-bot

“Kita mesti sentiasa berwaspada untuk melindungi diri kita dan orang di sekeliling kita,” ujar Encik Lee.

Pada Disember 2023, beliau juga memberi amaran kepada penduduk Singapura tentang video palsu yang tersebar dalam talian, di mana beliau kelihatan menyokong skim mata wang kripto dalam temu bual dengan saluran berita China Global Television Network yang berpangkalan di Beijing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg