TASHKENT (Uzbekistan): Persaingan kuasa besar yang semakin meningkat serta menjadikan perdagangan sebagai senjata telah menyebabkan negara-negara kecil mempunyai ruang semakin terhad untuk menentukan hala tuju mereka sendiri, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Namun, negara seperti Singapura dan Uzbekistan tidak boleh bertindak balas dengan berpaling ke dalam, kata beliau dalam ucapan di Parlimen Uzbekistan, Oliy Majlis, di ibu kota Tashkent, pada 31 Ogos. 

Sebaliknya, kedua-dua negara perlu terus terbuka dan mengukuhkan hubungan dengan rakan negara yang sehaluan.

“Pergantungan kepada perdagangan kini semakin dijadikan senjata. Sebagai tindak balas, negara-negara mula menitikberatkan daya tahan dan keselamatan berbanding saling kebergantungan ekonomi dan kemakmuran bersama.

“Dalam persekitaran sebegini, negara bersaiz kecil dan sederhana berdepan ketidakpastian yang lebih besar, memperoleh lebih sedikit peluang, dan mempunyai ruang antarabangsa yang lebih terhad untuk mengejar hala tuju bebas masing-masing.

“Ini membimbangkan kami di Singapura, dan sudah pasti turut membimbangkan anda di Uzbekistan,” tambahnya.

Encik Lee berkata susunan antarabangsa berasaskan peraturan yang diamalkan selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin telah memberikan negara kecil tahap perlindungan dan kebolehramalan tertentu.

Singapura dan Uzbekistan turut mendapat manfaat besar daripada susunan antarabangsa berasaskan peraturan itu, termasuk sistem perdagangan multilateral yang berpusat pada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), jelasnya.

Namun, multilateralisme kini semakin terhakis, dengan persaingan dan ketegangan antara kuasa besar yang terus meningkat. 

Sedang negara besar mungkin mampu mengejar keupayaan berdikari dan membina sekatan dagangan untuk melindungi pasaran domestik mereka, negara kecil pula sentiasa terpaksa menjalankan urus niaga dengan dunia luar.

“Mengasingkan diri dan berpaling ke dalam sememangnya sesuatu yang mustahil. Kita perlu terus terbuka serta berpandangan ke luar, dan mencari rakan-rakan yang sehaluan yang mahu bekerjasama dengan kita untuk menyokong serta mempertahankan peraturan pelbagai hala,” kata Encik Lee.

Beliau turut menyatakan rasa gembiranya berkaitan penyertaan Uzbekistan yang bakal menyertai WTO tidak lama lagi, sambil berkata langkah itu membuktikan bahawa negara-negara masih terus mahukan keterbukaan, perdagangan berasaskan peraturan dan saling kebergantungan ekonomi, walaupun sistem perdagangan global sedang berdepan tekanan.

Uzbekistan, sebuah negara yang mempunyai kira-kira 38 juta penduduk, mula memohon menyertai WTO pada 1994, namun proses itu terbantut selama bertahun-tahun.

Rundingan disambung semula pada 2020 sedang negara itu meneruskan reformasi ekonomi dan membuka ekonominya di bawah Presiden Shavkat Mirziyoyev. Kini, ia menyasarkan untuk menjadi anggota WTO pada 2026.

Penyertaan dalam WTO akan memberikan Uzbekistan akses lebih luas kepada pasaran global, sedang keperluan negara itu mematuhi peraturan perdagangan antarabangsa akan menyediakan keadaan lebih mudah dijangka bagi peniaga dan pelabur asing.

Encik Lee berkata penyertaan Uzbekistan akan mengukuhkan “gabungan negara-negara sehaluan” yang berusaha memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala.