Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: Pelarasan gaji penjawat politik penting bagi kekalkan mutu kepimpinan S’pura
SM Lee: Pelarasan gaji penjawat politik penting bagi kekalkan mutu kepimpinan S’pura
Dengan memastikan gaji penjawat awam dan gaji politik berada pada tahap yang munasabah, Singapura telah berjaya membina perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi, serta membentuk pasukan menteri yang kukuh dan berkeupayaan untuk berkhidmat dengan baik kepada Singapura, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong.
Melahirkan sokongan terhadap usaha pelarasan gaji pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen, Encik Lee menegaskan dalam satu catatan Facebook beliau pada 10 September, bahawa langkah itu penting bagi memastikan Singapura terus mampu menarik individu berkeupayaan untuk menyertai politik.
Encik Lee merujuk kepada penjelasan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong di Parlimen bahawa pelarasan gaji politik bertujuan membolehkan Singapura terus menarik individu yang berkaliber ke dalam politik dan menyediakan mutu pemerintahan yang diperlukan negara.
“Dengan memastikan gaji perkhidmatan awam dan gaji politik berada pada tahap yang munasabah, kita telah berjaya membina perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi, serta membentuk pasukan menteri yang kukuh dan berkeupayaan untuk berkhidmat dengan baik kepada Singapura,” kata Encik Lee di Facebook.
Beliau kemudian memberi amaran bahawa sekiranya gaji sektor awam dibenarkan ketinggalan daripada paras yang sewajarnya, mutu pentadbiran dan kepimpinan politik negara akan terjejas.
“Jika kita membiarkan gaji sektor awam ini ketinggalan daripada paras yang sewajarnya, mutu pentadbiran dan kepimpinan politik akan merosot, secara perlahan tetapi tidak dapat dielakkan,” tambahnya.
Beliau turut menyeru rakyat Singapura supaya terus menyokong dasar realistik dan praktikal bagi memastikan negara itu kekal unggul untuk tahun-tahun akan datang.
