Kelab masyarakat di Singapura telah banyak berubah tetapi matlamat sosial strategik utamanya tidak pernah berubah, iaitu menyediakan ruang bersama bagi rakyat dan membolehkan pemerintah dan rakyat mendekati satu sama lain.
Mengatakan demikian, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menekankan bahawa matlamat itu sama di setiap kelab masyarakat di seluruh negara, tanpa mengira Anggota Parlimen di sesebuah kawasan atau sama ada ia terletak dalam kawasan pemerintah atau pembangkang.
“Ini kerana matlamatnya ialah memastikan rakyat Singapura dilayani dengan baik dan penduduk di setiap kawasan mempunyai rasa kekitaan dan persaudaraan dengan masyarakat yang lebih luas di sekeliling mereka,” kata beliau.
Encik Lee berkata demikian semasa merasmikan pembukaan Kelab Masyarakat Buangkok pada 28 Julai. Kelab masyarakat itu terletak di GRC Sengkang, yang diwakili di Parlimen oleh pembangkang Parti Pekerja (WP).
“Apabila kami mula-mula mendedahkan rancangan untuk Buangkok CC dalam kemudahan bersepadu ini, kawasan ini masih kawasan undi pemerintah.
“Namun walaupun GRC Sengkang bertukar tangan selepas Pilihan Raya Umum (GE) lalu, kami meneruskan kerja membina kelab masyarakat ini kerana pemerintah komited untuk mempertingkat kehidupan setiap warga Singapura, tanpa mengambil kira di mana anda tinggal,” ujar Enck Lee.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai ketua pergerakan buruh, Encik Ng Chee Meng, tewas kepada pasukan WP, yang diketuai Cik He Ting Ru dalam GE 2020.
Pasukan WP meraih 52.12 peratus undi, sementara PAP meraih 47.88 peratus undi.
Buat masa ini pasukan PAP yang berkhidmat di GRC Sengkang sebagai penasihat kepada pertubuhan akar umbi (GRO) terdiri daripada Dr Lam Pin Min, Profesor Madya Elmie Nekmat dan Cik Theodora Lai.
“Mereka akan mendapat sokongan penuh pemerintah,” kata Encik Lee.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkata kelab masyarakat hari ini tidak boleh dibandingkan dengan yang dahulu kerana ia telah menjalani penambahbaikan dengan pelaburan oleh Persatuan Rakyat (PA), pemerintah, dan sokongan daripada aktivis akar umbi dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CMCC), yang bekerja keras untuk mengumpul dana.
Beliau berkata: “Pada 1950-an dan 60-an, ketika kita mula membina kelab masyarakat, ia adalah jauh lebih kecil dan hanya menyediakan kemudahan asas.
“Kemudahan sukan, sebenarnya hanya tenis meja dan gelanggang sepak takraw, beberapa bilik darjah untuk kelas malam, dan mungkin sebuah televisyen di dalam kelab masyarakat – diletak di tempat tinggi, dikunci apabila tiada orang menonton, hitam putih – untuk keluarga berkumpul dan menonton pada waktu petang, kerana tidak ramai keluarga pada masa itu mempunyai televisyen di rumah.”
Dibina di sebelah stesen MRT Buangkok, Buangkok CC juga dekat dengan pusat beli-belah Sengkang Grand Mall dan pusat penjaja.
Antara lain ia menyediakan program dan lebih 70 kursus, seperti membuat kek bulan, kelas seni dan muzik dan latihan senaman K-Pop, serta kegiatan budaya seperti kumpulan kompang Melayu dan kumpulan genderang India.
Ia juga menyediakan ruang kerja, amfiteater mini untuk kanak-kanak, ruang belajar dan kawasan santai bagi warga emas berehat.
“Apabila pusat tukaran bas di sebelah selesai dibina tidak lama lagi, lewat tahun ini, ia akan memberi anda lebih banyak kemudahan dan ia akan menghubungkan kelab masyarakat ini kepada penduduk dan mereka yang tinggal agak jauh.
“Secara keseluruhannya, ia menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk memenuhi keperluan penduduk muda dan tua, ia mudah diakses, dan ia berada di tengah-tengah Buangkok,” ujar Encik Lee lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg