Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee puji keberanian mangsa gempa Kinabalu yang kembali selesaikan pendakian

May 24, 2025 | 8:31 PM
Emyr Uzayr Mohamed Sadri, Prajesh Dhimant Patel, Lee Hsien Loong
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, memuji Encik Emyr Uzayr Mohamed Sadri (kiri) dan Encik Prajesh Dhimant Patel atas keberanian mereka untuk pulang ke Gunung Kinabalu baru-baru ini. Mereka berdua adalah antara kumpulan murid Sekolah Rendah Tanjong Katong yang menyertai ekspedisi ke Gunung Kinabalu pada 2015, yang malangnya terhenti akibat gempa bumi. - Foto FACEBOOK LEE HSIEN LOONG

Pada 2015, Encik Emyr Uzayr Mohamed Sadri dan Encik Prajesh Dhimant Patel merupakan sebahagian daripada kumpulan murid Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) yang menyertai ekspedisi ke Gunung Kinabalu di Sabah, Malaysia, namun malangnya terhenti akibat gempa bumi.

Sedekad selepas insiden tragik itu, Berita Harian (BH) berhubung semula dengan kedua-dua pemuda tersebut, yang kini berusia 22 tahun.

Ini setelah mereka kembali ke Gunung Kinabalu pada 21 Mei untuk menamatkan pendakian yang tidak sempat mereka dan rakan-rakan selesaikan dahulu, sebagai satu penghormatan buat mereka.

Akhirnya, mereka berjaya menawan puncaknya pada awal pagi 22 Mei.

Kisah mereka yang diterbitkan BH menarik perhatian pembaca, termasuk Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang memuat naik satu catatan di laman Facebook beliau pada 24 Mei, dengan menyatakan beliau berasa amat terharu dengan kisah tersebut.

“10 tahun telah berlalu sejak peristiwa tragik itu. Kini berusia 22 tahun, mereka kembali ke Gunung Kinabalu untuk menamatkan pendakian ke puncak sebagai penghormatan buat mereka yang terkorban.

“Ini satu langkah berani untuk mengatasi trauma emosi. Kami sangat bangga dengan Emyr dan Prajesh.

“Saya berharap keluarga dan rakan-rakan mangsa telah menemui sedikit ketenangan dalam mengenang insan tersayang,” tulis Encik Lee dalam catatan Facebook beliau.

Tragedi yang berlaku pada 5 Jun 2015 itu meragut nyawa 10 warga Singapura – tujuh murid dan dua guru TKPS, serta seorang jurulatih program pengembaraan.

Catatan itu turut dibanjiri komen daripada pengguna Facebook yang meluahkan kata-kata semangat dan tahniah kepada Encik Emyr dan Encik Prajesh atas keberanian mereka menghadapi masa silam lalu terus melangkah ke hadapan dengan penuh ketabahan.

Encik Emyr dan Encik Prajesh turut disertai oleh jurupandu pengembara mereka – Encik Billy Sapinggi dan Encik Cornelius Sanan – yang juga terlibat dalam ekspedisi 2015 itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg