Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Tarif AS mungkin berpanjangan, lepasi tadbiran Trump

Justeru penting bagi pelbagai negara sesuaikan diri, pererat hubungan dagangan
Jul 16, 2025 | 9:34 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri) dan Presiden Persatuan Ekonomi Singapura (ESS), Encik Euston Quah, semasa majlis makan malam ESS pada 15 Julai. 
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri) dan Presiden Persatuan Ekonomi Singapura (ESS), Encik Euston Quah, semasa majlis makan malam ESS pada 15 Julai.  - Foto ST

Negara yang menyokong perdagangan bebas harus memperkukuh kerjasama dan berganding bahu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan perdagangan sejagat yang kian berubah, sebagai tindak balas terhadap pendirian Amerika Syarikat yang semakin mengamalkan dasar perlindungan.

Ini penting kerana mungkin sukar bagi Amerika dan seluruh dunia untuk kembali kepada keadaan sebelum 2 April, apabila Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memperkenalkan “dasar perdagangan timbal balik”, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Mantan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Persatuan Ekonomi Singapura (ESS) pada 15 Julai, lapor The Straits Times (ST).

Encik Lee menegaskan bahawa apabila tarif dikenakan, dan perniagaan baru yang bergantung kepada perlindungan tersebut muncul, adalah sukar dari segi politik untuk menarik balik tarif tersebut.

Ini kerana perniagaan baru itu mempunyai kepentingan sendiri dan akan menentang sebarang langkah untuk menarik balik tarif berkenaan.

“Dunia tidak akan kembali kepada status quo dari segi dasar perdagangan dan dasar ekonomi.

“Sebaik sahaja anda mengambil langkah ini, ia tidak boleh ditarik balik,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa mantan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, tidak membatalkan tarif awal yang dikenakan oleh Encik Trump ke atas China semasa penggal pertamanya.

Menurut Encik Lee, masih belum jelas sama ada Amerika akan meninggalkan pendirian yang bersifat perlindungan pada masa depan.

Namun, itu tidak harus menghalang negara lain daripada memperkukuh kerjasama antarabangsa antara satu sama lain, katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa Amerika kini mengambil pandangan perdagangan antarabangsa yang lebih sempit, dua hala dan bersifat transaksi.

Namun begitu, rangka kerja Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), walaupun masih tidak sempurna, telah membolehkan perdagangan bebas secara meluas dalam kalangan banyak negara.

“Kita perlu lihat sama ada ini masih boleh diteruskan, kerana apabila ekonomi terbesar di dunia mengambil pendekatan yang begitu berbeza – bukan sekadar menarik diri (daripada perjanjian), tetapi turut menyuarakan rasa tidak setuju terhadap sistem WTO, ia pasti membawa kesan,” ujar beliau.

Menurut Encik Lee, Amerika akan mendapati sukar mengekalkan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang ekonomi dan kepentingan negara lain.

“Satu perkara yang saya pelajari dalam pemerintah – anda boleh gagal mengikuti prinsip ekonomi, tetapi anda tidak dapat memansuhkan undang-undang ekonomi.

“Sama ada anda mematuhinya atau tidak, undang-undang ekonomi tetap wujud.

“Itulah hakikat dunia. Itulah cara masyarakat manusia beroperasi.

“Jika anda tidak mengikutinya, dan anda mungkin ada alasan sendiri dan ingin mengatasinya dengan melakukan sesuatu yang berbeza, namun kuasa pasaran, dorongan untuk orang ramai bertindak dengan cara tertentu demi kepentingan mereka, adalah sangat kuat,” jelas beliau.

Beliau menyatakan bahawa Amerika masih perlu berdagang dengan dunia luar, contohnya, untuk mendapatkan galian nadir bumi.

“Mungkin suatu hari nanti anda (Amerika) boleh kembali dan mengambil bahagian semula secara lebih terbuka dan membina, tetapi itu adalah senario terbaik.

“Ia mungkin berlaku, dan mungkin juga tidak.”

Apabila ditanya apakah yang boleh dilakukan oleh negara lain ketika ini, Encik Lee berkata mereka boleh membina kerjasama dengan negara yang berfikiran sehaluan di rantau seperti Asean, kumpulan lebih luas seperti Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), atau melalui pakatan perdagangan lebih luas seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg